Antara kaum, kita masih kosmetik - Utusan Malaysia

Antara kaum, kita masih kosmetik

PRESTASI dan peningkatan yang ditonjolkan dalam soal perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini tidak begitu memberangsangkan. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“IBARAT sepohon pokok, akar Keluarga Malaysia bertunjangkan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara manakala batang serta ranting menjulang kukuh nilai Keluarga Malaysia yang kemudiannya membuahkan hasil seperti daun, bunga dan buah yang subur dan inayahnya memanfaatkan rakyat. Inilah metafora Keluarga Malaysia,” begitulah ungkapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan sempena prapelancaran Keluarga Malaysia, baru-baru ini.

Di samping itu, tiga teras utama diangkat sebagai nilai yang mendasari konsep Keluarga Malaysia, iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran. Secara prinsipnya, metafora Keluarga Malaysia yang ditampilkan ini perlu dilihat sebagai kesinambungan kepada beberapa konsep yang telah diperkenalkan sebelum ini bertujuan memperkukuh dan memperkasa semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.

Misalnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan konsep Bangsa Malaysia, manakala Datuk Seri Najib Tun Razak tampil dengan konsep Satu Malaysia. Walaupun namanya berbeza tetapi objektif dan matlamat akhir semua konsep ini adalah sama, iaitu mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu serta hidup aman dan damai.

Cuma ironinya selepas 64 tahun merdeka serta mengharungi detik-detik yang mencemaskan ketika peristiwa 13 Mei 1969, tahap perpaduan kita masih membimbangkan.

Walaupun negara kita semakin maju dan membangun dalam pelbagai aspek tetapi prestasi dan peningkatan yang ditonjolkan dalam soal perpaduan tidak begitu memberangsangkan.

Ini menunjukkan negara dan rakyat memerlukan formula yang lebih berkesan dan efisien dalam memperkukuhkan tahap perpaduan nasional. Walaupun secara zahirnya rakyat kelihatan bersatu padu tetapi percayalah kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan antara kaum masih bersifat kosmetik atau pada tahap permukaan sahaja.

Misalnya, kita bersatu dan menzahirkan perpaduan mengikut musim dan situasi seperti ketika menyambut Bulan Kemerdekaan atau ketika menyokong atlet negara dalam sesuatu pertandingan sukan. Pada waktu lain, kita lebih selesa untuk menzahirkan semangat kekitaan bersama rakan sekaum kita sahaja. Ini adalah realiti kehidupan anggota masyarakat pada hari ini.

Kita tidak boleh membiarkan elemen kosmetik seperti ini terus menipu diri sendiri sebaliknya perlu ada inisiatif untuk mewujudkan ikatan yang lebih ampuh antara rakyat berbilang agama dan kaum.

Maka dalam konteks inilah kita amat setuju dengan metafora yang ditampilkan oleh Keluarga Malaysia berlandaskan nilai kekeluargaan yang sentiasa berperanan memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela.

Semangat kekeluargaan inilah yang perlu terus disuburkan dalam kerangka besar Keluarga Malaysia, iaitu anggota masyarakat yang berbeza agama, bangsa, budaya dan latar belakang boleh bersatu dan menerima orang lain sebagai ahli keluarga dan umpama darah daging sendiri.

CUBIT PAHA

Jujurnya, kita perlu sampai ke tahap di mana setiap warganegara sanggup berkorban apa sahaja demi melindungi keselamatan dan membela nasib rakan warganegara yang lain tanpa kira agama mahupun bangsa. Itulah metafora Keluarga Malaysia yang diimpikan.

Hakikatnya, kekuatan sesebuah keluarga itu terletak pada penghayatan nilai kebersamaan dalam menjalani kehidupan seharian dan ini akan membolehkan ikatan kekeluargaan yang terbentuk kekal utuh walau apa pun cabaran yang melanda keluarga tersebut. Maka kita perlu memaknai semangat itu melalui metafora Keluarga Malaysia ini.

Bak kata pepatah, cubit paha kanan, paha kiri pun terasa juga. Setiap anggota masyarakat perlu yakin dan percaya antara satu sama lain dan ini memerlukan nilai kebersamaan dan penerimaan yang tulen seperti jujur, ikhlas, tidak mementingkan diri dan kaum sendiri, rela berkorban untuk ahli keluarga yang lain yakni daripada agama dan bangsa berbeza serta bersedia untuk bertolak ansur demi membina sebuah keluarga bahagia.

Sudah tiba masanya seluruh Keluarga Malaysia buang jauh-jauh segala bentuk syak wasangka dan prejudis pada anggota keluarga lain yang selama ini terlalu berpaksikan kepada perbezaan agama dan bangsa. Malah ideologi politik perkauman juga wajar disekat dan dibanteras sepenuhnya.

Umumnya, apa jua perkara yang boleh memecah belahkan Keluarga Malaysia mengikut garis agama, bangsa, latar belakang dan ideologi politik perkauman perlu ditamatkan segera. Jika tidak, metafora Keluarga Malaysia ini hanya akan menjadi angan-angan mat jenin.

Hal ini sangat penting kerana sejarah negara ini membuktikan formula mujarab yang boleh mencetuskan perbalahan sesama kita dalam sekelip mata adalah isu berkaitan sentimen perkauman.

Justeru, perlu ada pelbagai inisiatif susulan daripada kerajaan untuk memastikan semangat metafora Keluarga Malaysia ini dapat dihayati dan dimaknai sepenuhnya oleh setiap anggota masyarakat merentasi sentimen perkauman. Jangan ada yang tertinggal mahupun terpinggir kerana kekuatan sebenar roh Keluarga Malaysia ini terletak pada nilai kebersamaan dan kesepaduan setiap ahli keluarga yang mewarnai negara bertuah ini.

Tuntasnya, sama-samalah kita berusaha untuk merealisasikan metafora Keluarga Malaysia yang diimpikan iaitu bersifat inklusif merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum. Pada akhirnya kita berharap dapat mencapai visi Keluarga Malaysia iaitu memulihkan negara, mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi sebagai aspirasi jangka panjang yang mampu membahagiakan seluruh Keluarga Malaysia.

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×