PILIHAN RAYA Negeri (PRN) Melaka sepatutnya lebih terbuka kepada persaingan.
Biarlah tiga atau empat penjuru sekali pun. Kerana hanya inilah gelanggangnya yang akan melenyapkan segala prasangka sesama politikus Melayu.
UMNO dengan cara UMNO, Pas cara Pas manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan gayanya. Begitu jugalah dengan Pejuang, Putra, Muda dan lain-lain.
Sesuatu yang saya cukup akur, tiada pensyarah politik, waima melangit ilmu kajian sains politik yang dipelajarinya, upaya mengajar ilmu politik sedalam dan seluas pengalaman yang telah dialami seseorang pengamal politik. Pengalaman – guru yang paling berkesan.
Saya sengaja gunakan perkataan ‘politikus’ kerana di Indonesia, seseorang ahli politik biasanya digelar politikus. Tetapi di Malaysia, istilah politikus ini amat kurang sopan bunyinya. Seolah-olah politician atau ahli politik itu semacam tikus yang sentiasa menyental barang makanan orang. Ia membawa pembayang kurang menyenangkan.
Tikus juga membawa imbasan suka lari daripada alam nyata ke sudut-sudut atau rongga yang sukar diteliti orang.
Tetapi dalam konteks PRN Melaka, meminjam kata-kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa “mereka yang menjadi penyebab kerajaan Melaka runtuh kerana berkehendak kuasa wajar mohon maaf kepada rakyat negeri itu” adakah boleh dilabelkan sebagai politikus? Saya serahkan kepada pengundi Melaka untuk fikir-fikirkan.
Sebenarnya sudah letih untuk kita mengingatkan tentang perpecahan orang Melayu (akibat kemelut sebilangan politikusnya). Selalu saya peringat, malah pertajamkan lagi hujah dalam perkongsian dengan pembaca Utusan Malaysia akan perkara cukup penting dan getir ini. Bahawasanya – kita orang Melayu sudah tidak ada apapun di ‘Tanah Melayu’ Malaysia ini. Ekonomi sudah dikuasai orang lain. Pendidikan? Mereka juga. Kekayaan? Kita maklum kaum itu jua lah.
Yang kita orang Melayu ada kini, itupun ‘sekelumit’ yang tinggal hanyalah kuasa politik. Dan berdikit-dikit pula ‘dirampas’ pihak sebelah sana. Sepatutnya dan sewajarnya pun hari ini kita semua parti politik Melayu – berdamailah.
Gelisah
Sebenarnya sungguh banyak pencapaian dan kejayaan diraih orang Melayu hari ini sejak negara merdeka 64 tahun lalu. Merata, sama ada di dalam dan luar negara.
Namun, saya resah gelisah sekiranya dek permainan politikus Melayu tertentu mengakibatkan proses kejayaan ini terencat seketika. Sudahlah dalam setahun lebih ini sudah disekat darihal pandemik koronavirus.
Kita orang Melayu harus diperingatkan bukan mudah untuk orang Melayu sampai ke tahap seperti hari ini. Massa Melayu itu sendiri dalam zaman penjajah teramat direndahkan taraf atau darjat kemanusiaannya.
Salah satu contoh yang baik dari timbunan penjajah ialah tulisan E. Innes bertajuk The Chersonese with the Gilding off. Tulisan-tulisan beliau penuh dengan contoh-contoh menghina massa Melayu. Beliau menganggap massa Melayu malas tidak seperti bangsa lain dan bersikap bahawa massa Melayu itu layak cuma untuk diperkudakan oleh bangsa penjajah. Ambil sahaja komen beliau tentang kain sarung yang merupakan sebahagian daripada kebudayaan massa Melayu. Mengikut Innes, jikalau seseorang rakyat Melayu disuruh bekerja, dia akan habiskan masa mengikat dan memperbetulkan kainnya. Unsur-unsur menghina, prasangka dan kejahilan jelas terbayang dalam komen-komen tulisannya.
Innes juga dalam buku sama menceritakan bagaimana beliau dan suaminya, seorang pegawai tadbir Inggeris keluar bersiar-siar melawat kampung Melayu diiringi seorang mata-mata Melayu. Dalam perjalanan, ketiga-tiga mereka terpaksa meniti batas di sebuah paya dengan mata-mata Melayu itu mengikuti kedua-duanya dari belakang.
Kemudian pasangan suami isteri Inggeris itu ingin berpatah balik untuk pulang. Ini menimbulkan masalah besar. Innes berpendapat sebagai orang Inggeris, dia suami isteri tidak wajar menyuruh mata-mata Melayu berpatah balik meniti batas sambil diikuti oleh mereka. Ini menjatuhkan maruah dan martabat bangsa Inggeris. Orang Inggeris mesti berjalan dahulu, diikuti oleh orang Melayu. Ini kononnya mengekalkan rasa hormat massa Melayu terhadap bangsa penjajah.
Dan mahu tak mahu terpaksalah kedua-dua suami isteri itu bersusah payah melangkah memintas mata-mata Melayu tadi di atas batas yang sempit itu. Ini bertambah rumit lagi memandangkan mata-mata Melayu itu berbadan agak gemuk pula. Hampir-hampir ketiga-tiganya jatuh bergelimpangan dalam lumpur. Begitu keangkuhan dan biadabnya kaum penjajah terhadap massa Melayu.
Kejayaan
Tetapi hari ini, massa Melayu sudah mengecap banyak kejayaan. Seperti saya kata tadi telah menerjah dunia lagi.
Politik Melayu itu harus melibatkan perbuatan meneladani alam sekeliling – manusia dan alam. Belajar dari yang lampau, memandang kepada yang baik.
Perjuangan melalui politik bukan perjuangan untuk diri sebenarnya, walaupun pada mulanya seseorang itu tidak menyedari hal itu. Elemen pengorbanan tetap ada dalam perjuangan. Apa-apa yang kita ambil daripada sistem itu akhirnya akan berbalas dengan apa yang kita sumbangkan dalam bentuk khidmat. Jika pengorbanan itu melebihi ‘pengambilan’ daripada sistem itu, satu hari kejayaan akan datang dengan sendirinya. Boleh dikatakan ini semacam karma politik yang sebenar.
Makanya, jika persaingan tiga atau empat penjuru – bukannya dua penjuru – itu sahaja yang boleh melenyapkan prasangka atau syak wasangka kalangan parti Melayu di Melaka, 20 November nanti, ayuh kita teruskan.
Dan moga iktibar dan teladan berguna terserlah nanti.










