Siapa selamatkan Muafakat Nasional? - Utusan Malaysia

Siapa selamatkan Muafakat Nasional?

Yang terbaik sekali buat UMNO dan Pas adalah secara realistik membuat penilaian sekarang di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri mereka sama ada boleh menang atau tidak dalam Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA perkembangan gabungan Muafakat Nasional (MN) dianggotai UMNO dan Pas? Kali terakhir yang orang Melayu masih ingat, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sempat masuk MN. Tapi tidak lama kemudian, dalam sekelip mata Pas disambar Bersatu untuk membentuk Perikatan Nasional (PN).
Menerusi pilihan raya negeri Sabah 26 September 2020, PN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan ketua menterinya daripada Bersatu.
Lantas selepas itu ibarat ‘hidup segan mati tak mau’ MN meskipun terbukti UMNO-Pas telah menjulang kemenangan 7-0 dalam penyertaan siri pilihan raya kecil 2019/2020.
UMNO seperti ditinggalkan isteri. Masa beredar, suasana politik berubah dan kepimpinan negara bertukar tangan kembali kepada UMNO 21 Ogos lalu.
Maka, apakah MN akan bernyala kembali? Dan adakah MN jika hidup semula, khusus merujuk kepada UMNO, akan di bawah ketua yang baharu?
Ini susulan gesaan supaya pemilihan UMNO dipercepatkan sebelum Julai 2021. Khabarnya, akan berlaku perebutan jawatan presiden UMNO membabitkan pertembungan penyandang jawatan dengan lawan dari kalangan naib presiden?
Malah dengarnya calon jawatan presiden yang lepas dan kini dalam Kabinet, akan kembali berentap jawatan sama.

Belanda dapat tanah
Dengan pengaruh Bersatu masih utuh dalam kalangan sebilangan pemimpin kanan UMNO, tidak mustahil untuk MN dikepalai orang baharu daripada UMNO. Apatah lagi,
UMNO sebelum ini diberi julukan umpama ‘Belanda mendapat tanah’.
Kata pengkritiknya, sudahlah diberikan jawatan-jawatan menteri sejak Mac 2020, pendek kata “mati hidup semula lah” selepas buat pertama kali dalam enam dekad kuasa terlepas dari tangan, inikah balasan terhadap Parti Bersatu pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin?
Herdikan memperlekeh Bersatu, memperleceh gabungan PN, menyindir Bersatu tidak ada grassroot (akar umbi) dan macam-macam, tetapi bukankah Bersatu telah memberi cahaya kepada UMNO di hujung terowong?
UMNO kata pengkritiknya, tanpa Bersatu akan melukut di tepi gantang. Begitulah sebaliknya Bersatu tanpa UMNO. Justeru, mereka yang mendesak pemilihan UMNO dipercepat, mahukan MN jangan sesekali mengetepikan Bersatu.
Cuma, jawapannya – amat berat tanggungjawab ini jika Pas tetap mahukan Bersatu bersama dalam MN. Dan sukarnya nanti kerja-kerja pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri antara UMNO, Pas dan Bersatu.
Apa lagi sudah berulang kali presiden dan timbalan presiden UMNO menyatakan UMNO akan bertanding di semua kerusi yang ditandingi dalam PRU-14 – tidak sesekali menyerah kerusi kepada penyandang yang ‘lompat’.
Tegas mereka lagi, Bersatu tiada akar umbi seperti UMNO dan Pas. Berbaloikah untuk Bersatu diberikan lebih banyak kerusi atau sama kadarnya dengan UMN0 atau mungkin lebih?
Pengkritik juga bagaimanapun menarik perhatian satu hal ini, iaitu Bersatu tidak bolehlah mendakap pokok yang terlampau besar. Tidak terdakap tangan, tidak sampai ke seberang.
Carilah pokok yang kita boleh sampai tangan. Ini bererti mungkin mengikut bilangan yang sudah menang. Bersatu juga harus membuktikan di mana presiden parti dan rakan-rakan Pusat boleh mentadbir parti tadi secara berkesan dapat dinilai oleh orang di peringkat akar umbi.
Kalau hendak menetapkan dari segi teori memang sukar. Memang Bersatu tidak sebesar UMNO, tetapi jangan lupa, UMNO yang sebesar itu pun kalah sebabnya tidak sampai berita dengan apa yang dijanji.
Maka kata orang lama pula, perlu dikombinasikan ketiga-tiganya – UMNO, Pas dan Bersatu. Terbaik sekali terutamanya UMNO dan Pas – dua parti ini secara realistik membuat sekarang penilaian di setiap kawasan Parlimen mereka, boleh menang atau tidak.

122 kerusi Melayu
Ada kawasan yang saya (penulis) anggarkan, daripada 122 kerusi Parlimen yang bermajoriti Melayu boleh difikirkan contohnya kira-kira 35 kerusi diperuntukkan kepada Bersatu. Itu sudah kira lebih. Kalau dapat yang sekarang ini pun sudah memadai.
Dalam pada itu UMNO perlu melihat balik apa capaian setiap wakil rakyat Parlimen mereka. Ia lebih kepada capaian, berbanding tokoh semata-mata.
Itu jika berjalan lancar rundingannya. Tapi bagaimana kalau masing-masing enggan mengalah? Hal inilah yang harus dirungkaikan nanti.
Jangan hendaknya ada sebutan yang negeri ini untuk Pas, negeri ini untuk UMNO, negeri ini untuk Bersatu. Itu tidak bijak.
Di Kelantan misalnya hendaklah ada tali tiga sepilin. Ada UMNO, ada Pas, ada Bersatu. Untuk Pas majoriti, tapi selingan bawahnya ada. Ya, itu baru kita boleh letakkan tungku tiga sejerang tadi. Tungku tiga sejerang ini masaklah gulai. Kalau tidak, kita menjadi masalah.
Di Negeri Sembilan contohnya, Pas masuk bertanding. UMNO masuk, Bersatu pun masuk. Cuma nisbahnya itu terserah kepada perbincangan yang tepat dalam kalangan pemimpin kita.
Mengenai lambang mana yang perlu dipakai oleh MN, hendak pakai lambang BN, barangkali ramai pihak yang mungkin tidak setuju. Pas mungkin tidak setuju. Elok cari lambang baharu. Tetapi lambang baharu mestilah mudah hendak dihurai dan senang difahami, aspirasinya nampak.
Lambang baharu hendaklah diperkenalkan. Dan ketiga, dasar MN hendak membela Islam dan Melayu perlu jelas dan tidak apologetik.
Orang lain pula jangan marah. Hak anda ada tetapi kita dalam kancah Melayu dan Islam ini perlu jelas kepada ‘orang kita’.
Namun isu terbesar adalah isu ekonomi perut. Kalau rakyat merasakan isu ekonomi perut dapat diatasi ke perenggan 50 peratus lebih, sudah sangat baik bagi MN.
Golongan B40 perlu diperjuangkan hak mereka dan bagaimana orang yang jadi nelayan, penoreh jelas kepada MN.
Tak usah buat manifesto macam Pakatan Harapan. Bebankan semua orang. Tidak terbawa. Sangat teoritikal.
Cuma masalah kita di negara ini untuk mencapai matlamat ialah politik kekitaan yang begitu tebal. Tidak dapat mengatasi politik keislaman sejagat.
Justeru, kalau itu tidak tercapai, kita bercantum-bercantum pun tidak menjadi satu matlamat murni. Ia mesti diisi.
Dan sama ada MN mampu bernyawa, seterusnya bernyala kembali, akan bergantung kepada tarikh pemilihan UMNO yang diperbual mahu ‘disetkan’ sebelum PRU-15.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×