Plastik kita paling banyak di laut - Utusan Malaysia

Plastik kita paling banyak di laut

PENCEMARAN plastik di lautan adalah masalah global yang perlu ditangani secara lestari. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEWASA ini, penggunaan plastik menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian manusia. Menurut laporan Tabung Alam Sedunia (WWF), Malaysia menduduki tempat kedua di Asia bagi penggunaan plastik dengan berat 16.78 kilogram per kapita melebihi negara-negara lebih besar seperti China, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Namun, lebihan penggunaan terutama daripada aktiviti sosioekonomi manusia mengakibatkan lambakan sisa buangan plastik di tapak pelupusan sampah. Amalan pengurusan dan pelupusan sampah plastik yang tidak sistematik menyebabkan kehadiran bahan itu di lautan sehingga Malaysia disenaraikan antara negara di dunia menyumbang kepada sumber plastik yang besar di lautan. Hal ini bukan sahaja mencetuskan kesan buruk terhadap alam sekitar dan hidupan laut, malah turut menjejaskan imej negara di mata dunia.

Sesungguhnya tahap kebergantungan manusia terhadap lautan demi kelangsungan hidup adalah sangat tinggi. Lautan adalah sumber untuk makanan, tenaga dan air.

Pengumpulan plastik di lautan akibat penggunaan secara meluas telah memberi impak buruk terhadap kesejahteraan sejagat.

Kita sering kali melihat paparan video di laman sosial mengenai hidupan laut diliputi plastik sehingga menyukarkan pergerakan haiwan tersebut. Malah ada yang ditemui mati akibat termakan plastik.

Isu global ini seharusnya mendapat perhatian semua pihak demi keseimbangan pertumbuhan ekonomi dengan perlindungan alam sekitar selaras Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Justeru, program kesedaran tentang kesan buruk penggunaan plastik dalam kehidupan seharian perlu diadakan bagi mendidik masyarakat seiring dengan sasaran peningkatan mutu pendidikan sepanjang hayat.

Tahap kesedaran dan amalan menangani pencemaran plastik dalam persekitaran marin perlu ditingkatkan sebagai usaha melestarikan persekitaran lautan. Memetik dapatan kajian oleh penyelidik Universiti Malaysia Terengganu, secara purata masyarakat menyedari kesan buruk plastik terhadap persekitaran marin. Namun, mereka tidak mempraktikkan amalan tersebut dari segi penggunaan secara berleluasa, pengurusan dan pelupusan produk plastik.

Dengan demikian, program kitar semula bagi mengurus sisa buangan perlu dilaksanakan secara berkala kerana pencemaran plastik di lautan adalah masalah global yang perlu ditangani secara lestari. Selain itu, masyarakat perlu beralih kepada produk mesra alam sebagai alternatif kepada plastik juga dapat meminimumkan cabaran dan ancaman pada hidupan marin.

SEKOLAH

Ramai percaya sekolah dan institusi pengajian tinggi adalah platform paling sesuai untuk mendidik serta membentuk amalan masyarakat terutamanya generasi muda agar lebih prihatin terhadap kebersihan alam sekitar. Seterusnya, semua institusi pendidikan disaran mengadakan kempen menghindari penggunaan plastik sebagai cara paling berkesan untuk melaksanakan perubahan kerana pemikiran dan tindakan individu diyakini dapat dibentuk melalui pendidikan.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia (MESTECC) telah membangunkan Pelan Tindakan Malaysia Ke Arah Sifar Penggunaan Plastik Sekali Guna 2018-2030 bertujuan mengambil pendekatan yang sistematik, berdasarkan bukti dan merangkumi semua pihak berkepentingan untuk bersama-sama menangani pencemaran plastik di negara ini. Sebagai kesimpulan, usaha untuk melindungi lautan daripada pencemaran plastik bukanlah tanggungjawab kerajaan sahaja, malah sewajarnya dilatakan kepada semua pihak.

Masyarakat harus memainkan peranan terpenting dalam menangani masalah ini dengan menjadi seorang pengguna plastik yang bertanggungjawab dan bijak. Usaha ini diyakini mampu menjadi transformasi sikap masyarakat ke arah insan yang prihatin dan beretika terhadap alam sekitar terutamanya lautan.

DR. Izyan Munirah Mohd. Zaideen ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Maritim, Universiti Malaysia Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×