Pertanian dalam kampus cetusan idea Putra H.E.P.A. - Utusan Malaysia

Pertanian dalam kampus cetusan idea Putra H.E.P.A.

PENULIS (kanan) melawat tapak penanaman cili Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IDEA dan paradigma kelestarian dalam pembangunan sektor pertanian

semakin berkembang pesat dan menjadi topik perbahasan yang sentiasa dicakna oleh rakyat. Kelestarian sektor pertanian bermatlamat mengimbangi pencapaian daya maju ekonomi ladang, pengekalan sistem sosiobudaya masyarakat dan mengambil kira perlindungan dan pemuliharaan sumber asli dan alam sekitar di mana sistem pertanian amat bergantung kepadanya.

 

CETUSAN IDEA PUTRA H.E.P.A

Cetusan idea Putra HEPA menekankan konsep Holistic, Empowerment, Patriotism, Advancement (H.E.P.A.). Terdapat lapan teras dan 29 elemen yang diketengahkan dengan tumpuan kepada kelestarian pertanian, pendigitalan, kesukarelawanan, kebolehpasaran graduan, pengantarabangsaan, keusahawanan, patriotisme dan perpaduan serta kesejahteraan kehidupan.

Putra H.E.P.A. merupakan tema dan fokus utama Pelan Strategik Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) bagi tempoh 2021-2023 yang selaras dengan lima strategi utama Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai menara ilmu sebagaimana naratif Naib Canselor, Profesor Dr. Mohd. Roslan Sulaiman.

Lima strategi tersebut adalah memacu pertanian berteknologi tinggi, membangun karakter graduan UPM, melagang kampus pintar dan pendigitalan, mendukung kelestarian institusi mapan dan menatang pembudayaan norma baharu. Atas dasar itu UPM melalui entiti HEPA terpanggil untuk melestarikan konsep pertanian bandar atau pertanian moden yang sepatutnya diamalkan oleh komuniti bandar di Malaysia.

Ia digarap bersama oleh semua entiti HEPA dengan mengambil kira penglibatan staf dan pelajar. Bagi merealisasikan hasrat itu, Program Kelestarian Pertanian digerakan melalui 10 kolej kediaman UPM kampus Serdang, Selangor dan Bintulu, Sarawak diikuti oleh entiti HEPA seperti Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM), Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Pusat Sukan (PS), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Bahagian Perumahan dan Penempatan (BPP) dan Bahagian Kaunseling (BKUPM).

Konsep Program Kelestarian Pertanian direalisasikan melalui Satu Kolej Satu Produk yang dipraktikkan di kolej-kolej kediaman.

 

PROJEK KELESTARIAN PERTANIAN PUTRA H.E.P.A

Pertanian merupakan cabang penting untuk UPM dan HEPA menekankan kepentingan pertanian dalam kampus selain menjadi pusat rujukan pertanian setempat. Bukan semua program pengajian boleh diadakan secara maya. 

Namun begitu, kita terpaksa akur dengan norma baharu serta melihat keadaan semasa ini dari sudut positif dan apa peluang yang boleh kita ambil dalam memastikan para pelajar kita tidak ketinggalan meskipun tidak dapat bersemuka dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Pembelajaran secara maya ini memberi peluang lebih besar kepada para pelajar untuk menggunakan internet untuk mencari pelbagai informasi dalam proses pembelajaran mereka. Terdapat 10 kolej kediaman di kolej dan masing-masing mempunyai tapak untuk menjalankan aktiviti pertanian. 

Tanpa mengira latar belakang program ijazah, semua pelajar UPM mempunyai peluang untuk merasa sendiri bagaimana untuk bercucuk tanam serta menuai hasil yang ditanam. Setiap kolej kediaman juga menamakan kumpulan atau tema projek dan menjenamakan produk kelestarian pertanian kolej masing-masing mengikut identiti kolej:

  1. Kolej Canselor – KC Agro
  2. Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah – Gempur Tani KOSASS
  3. Kolej Tun Dr Ismail – KTDI Agro Garden
  4. Kolej Pendeta Za’ba – KPZfresh
  5. Kolej 10 – Vegeten
  6. Kolej 12 – Pertanian Bandaran@K12
  7. Kolej 13 – Projek Tani Lestari@K13
  8. Kolej 14 – Kebun@K14
  9. Kolej 17 – Agro@17
  10. Kolej Sri Rajang – BeranyiGadong@KSR

Para pelajar kolej diberi kebebasan untuk memilih tanaman dan juga kaedah penanaman mengikut kreativiti masing-masing. Pelajar banyak memilih kaedah fertigasi, hidroponik dan akuaponik kerana kaedah penjagaan yang lebih mudah dan hasil yang lebih efektif.

Namun demikian, terdapat juga pelajar masih berkeyakinan dengan kaedah tradisional atau kaedah penanaman batas. Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah sebagai contoh memilih kaedah intercropping iaitu dua atau lebih jenis tanaman yang ditanam di atas batas bersebelahan antara satu sama lain.

Selain itu, mereka digalakkan untuk menggunakan barang terpakai dalam penyediaan tanaman atau ternakan mereka seperti Kolej Canselor menggunakan tong terpakai untuk projek penternakan ikan tilapia merah mereka. Pada mulanya, adalah sukar bagi mereka kerana ia bukanlah kepakaran mereka, namun begitu, setelah mengambil langkah pertama dalam memulakan projek ini, mereka gembira dengan hasil tuaian mereka.

Selain itu, program penanaman ini juga dilakukan oleh pelajar yang sedang berada di rumah atau luar kampus. Lebih menarik apabila pelajar ini menggunakan ruang yang terhad di rumah mereka kerana ada yang duduk di banglo, rumah teres dan apartmen.

Sememanganya projek ini diberikan kepada pelajar untuk memberi mereka ruang untuk berfikir dan menjadi kreatif ketika pandemik. Melalui projek pertanian dalam kampus ini, pelajar dapat mempelajari apa kekurangan yang mereka hadapi daripada projek tersebut, tetapi itulah objektif pembelajaran ini iaitu untuk menggalakkan para pelajar kita berupaya mengenalpasti masalah dan apa langkah yang perlu diperlukan untuk memastikan tanaman mereka tumbuh dengan elok.

Sudah pasti pelajar perlu duduk sepanjang hari di depan komputer. Sekurang-kurangnya aktiviti bercucuk tanam ini dapat membantu menyegarkan minda mereka di samping memberi mereka satu kepuasan apabila tanaman mereka membuahkan hasil. Dalam projek ini, kesungguhan dan dedikasi pelajar ini dinilai dimana objektif utama kursus ini untuk menanam sifat faham akan pentingnya kelestarian pertanian untuk kelangsungan hidup manusia sejagat.

Projek itu memberi tumpuan kepada elemen kelestarian hijau dengan memastikan projek yang dilaksanakan adalah mesra alam dengan menekankan elemen agroteknologi iaitu memastikan projek yang diusahakan menggunakan teknologi pertanian. Hasil tanaman yang diusahakan akan dipasarkan melalui kerjasama dengan agensi luar bagi mencapai elemen agrobusiness yang terdapat dalam domain kelestarian pertanian.

 

INISIATIF MEGA PROGRAM KELESTARIAN PERTANIAN PUTRA H.E.P.A

  1. Projek Inkubator Top Agro @UPM – Fertigasi Rock Melon

Projek Inkubator Top Agro @UPM dilaksanakan oleh sekumpulan pelajar yang diketuai oleh Khairul Amirin Khairudin. Beliau bersama enam lagi rakan iaitu Firdaus Mohd Radzi, 23, Muhammad Imran Azman, 23, Muhamad Zahid Ahmad Fozi, 23, Muhammad Hafiz Aiman Mohd.

Khairuddin, 22, Nur Amirul Haakim Tumiran, 23 dan Ahmad Shukri Yahya, 22 memilih untuk menanam 1,300 pokok rock melon di Unit Fertigasi, Ladang Agrotek, Taman Pertanian Universiti (TPU) UPM.

Program tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Pusat Perhubungan Alumni (PPA) dan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM dengan kerjasama Fakulti Pertanian, Majlis Perwakilan Pelajar dan Malaysian Agro Entrepreneurial Club for University Students (MyAgrosis) dan TPU yang menyediakan khidmat guna tanah seluas dua hektar.

Projek bernilai RM14,000 itu dimulakan pada 1 Januari 2021 dan telah menuai hasil buah rock melon sebanyak tiga tan pada 8 Mac 2021. Khairul Amirin Khairudin dan kumpulannya menyahut cabaran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan universiti untuk merealisasikan harapan melahirkan graduan yang mempunyai atribut keusahawanan.

Projek kelestarian pertanian ini juga memberi pendedahan dan kemahiran tentang asas usahawan pertanian atau agropreneur kepada pelajar.

Selain itu, mereka diberi pendedahan latihan pertanian jangka panjang agar boleh mengusahakan pertanian menggunakan kaedah fertigasi sebagai mata pencarian mereka selepas bergelar graduan kelak. 

Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan asnaf menerusi kemahiran keusahawanan dan insaniah. Pokok rock melon mereka ditanam di dalam beg politin (polibag) menggunakan kaedah tanaman fertigasi iaitu tanaman moden tanpa menggunakan tanah.

Seorang pegawai pertanian yang merupakan alumni UPM menjadi mentor untuk memantau kejayaan projek berkenaan. Sepanjang tiga bulan mengusahakan tanaman tersebut, Khairul Amirin dan kumpulannya  berkongsi petua untuk memberi inspirasi kepada rakan pelajar yang berminat untuk mengusahakan tanaman berkenaan. Suatu kejayaan yang dapat dibanggakan.

 

  1. Program Structured Entrepreneurship Incubator Programme (SEIP) – Fertigasi Cili Kulai

Mohammad Arif Ramly bersama lima ahli kumpulan yang dianggotai oleh Nurazeyana Md. Othman, Chrissha Webster, Muhammad Amir Hakimi Adnan, Mior Muhammad Tahfiz Abdul Raof dan Thiery Maldini Maidin yang juga merupakan pelajar Bacelor Sains Pertanian mengaplikasikan semua ilmu yang diperoleh semasa di dalam pengajian untuk projek cili ini. Mereka berjaya menyemai sebanyak 1,000 anak pokok cili daripada benih

Sakata 461 atau nama komersilnya cili Kulai di Plot Penyelidikan Konservatori, Institut Biosains (IBS) UPM. Projek penanaman cili secara fertigasi itu telah dimulakan pada bulan April 2021. Pemilihan cili sebagai komoditi projek adalah sesuai dengan pasaran semasa yakni hanya 30 peratus pengeluaran cili dalam negara dapat menampung keperluan semasa. Cili jenis Sakata 461 ini menjadi pilihan kerana ia mempunyai permintaan yang tinggi dan sedikit rintang terhadap penyakit dan serangan serangga.

Tuaian pertama pada 24 Julai 2021 mencecah 100 kilogram (kg) dan sasaran pengeluaran sebanyak 1,000 kg sehingga akhir Ogos 2021. Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi menyalurkan dana sebanyak RM10,000 untuk keperluan program ini manakala Institut Biosains (IBS) UPM bermurah hati menjadi rakan kerjasama dengan membenarkan guna tanah milik mereka sebagai tapak penanaman.

Peserta bukan sahaja didedahkan dengan ilmu keusahawanan malah mereka juga akan mendaftarkan syarikat perniagaan sendiri dan akhirnya menjadi usahawan dengan menjual hasil pertanian. Keputusan menggunakan sistem fertigasi untuk projek ini adalah sangat bertepatan kerana UPM menggalakkan para pelajar menggunakan teknologi pertanian untuk projek-projek pertanian seiring dengan aliran semasa.

Sistem fertigasi dapat memudahkan operasi ladang dari segi pembajaan dan siraman. Oleh kerana sistem fertigasi ini dikawal secara automatik, maka peserta dapat juga menumpukan perhatian kepada pelajaran tanpa mengabaikan komitmen 100 peratus terhadap projek ini.

 

  1. HI Agro Ent. – Fertigasi Cili

Projek kerjasama Kolej Pendeta Za’ba (KPZ) dan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) di bawah program Kelestarian Pertanian – Inkubator Keusahawan Pelajar ini menumpukan projek penanaman cili sebanyak 1,000 pokok cili sebagai permulaan. HI Agro Ent. yang dianggotai oleh Mohd. Hakeem Mohd. Ibrahim, Muhammad Amin Abdullah Azhar, Balqis Mohamad, Muhamad Azeem Abdul Mubin dan Mohd. Syafiq Syazwan Rosli yang kesemua mereka merupakan pelajar UPM memulakan projek pada Julai 2021.

Suntikan modal daripada KPZ sebanyak RM5,000 untuk bantuan peralatan dan RM10,000 geran projek dari CEM membolehkan mereka merealisasikan impian untuk berkecimpung dalam bidang pertanian. Projek cili Kulai ini dijalankan di kawasan KPZ bersebelahan pejabat SUKSIS UPM. 

Kawasan yang dahulu hanya dilitupi rumput dan menjadi tapak letak kenderaan bertukar wajah menjadi pemandangan yang menarik dengan deretan pohon cili yang sedang lebat berbuah. Projek ini menghidupkan semula fungsi kawasan KPZ dan diharap KPZ mengembangkan lagi projek kelestarian pertanian mengambil kira KPZ masih mempunyai kawasan yang sesuai dan tidak digunakan untuk sebarang aktiviti.

Cili Kulai yang kini berusia 45 hst (hari selepas tanam) dijangka boleh dipasarkan dalam tempoh terdekat. Dengan konsep segar terus ke pelanggan, promosi jualan dijangka dijalankan tidak lama lagi. Selain merancang untuk menjual secara terus, HI Agro Ent. akan turut memasarkan jeruk cili sebagai produk hiliran. Semua produk segar dan proses ini akan dipasarkan dengan jenama KPZ Fresh.

Projek yang dijalankan bagi menyahut seruan untuk UPM kembali menjadi peneraju dalam bidang pertanian berteknologi tinggi. Kaedah ini juga adalah serampang dua mata yang mana di samping menggalak penglibatan pelajar dalam bidang pertanian, ia turut berfungsi membangun potensi graduan untuk menjadi usahawan, menepati konsep gradute as job createrDengan perkembangan yang berlaku sekarang ini, projek seumpama ini akan dikembangkan lagi dengan CEM dibawah Pejabat TNC HEPA UPM selaku peneraju. Semua pihak akan sentiasa bekerjasama agar agenda pemerkasaan graduan UPM dapat dicapai, selari dengan Seruan Al-Falah.

 

  1. Projek MegaChili ARCUPM – Fertigasi Cili

Projek berimpak tinggi ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar untuk bertani dan menjadikan pertanian sebagai perniagaan seterusnya menjadi usahawan apabila sudah tamat belajar dengan menggunakan pengalaman yang diperoleh disamping memenuhi aspirasi teras Kelestarian Pertanian dalam Pelan Strategik H.E.P.A (2021-2023).

Pemberian geran oleh Pusat Perhubungan Alumni (ARCUPM) berjumlah RM5,000 kepada setiap kolej kediaman bagi menjalankan program dan aktiviti jalinan alumni dapat memperhebatkan usaha mempromosi institusi ini dalam segala aspek akademik dan bukan akademik di samping berperanan untuk menjadi duta UPM dalam mempromosi UPM dan memperkasa ilmu pelbagai bidang yang telah diterokai dari UPM.

Tempoh perlaksanaan projek ini adala bermula pada Mac 2021 hingga Oktober 2022. Projek ini dijalankan dengan menggunakan teknik fertigasi. Sebanyak lima siri bengkel bersama barisan alumni dan sebanyak tiga siri sembang santai bersama pelajar bacelor UPM yang mahir dan mempunyai pengalaman dalam sistem fertigasi telah diadakan kepada peserta.

Keutamaan penglibatan adalah kepada pelajar tahun akhir atau pelajar bacelor lain yang berminat menjadikan sektor pertanian sebagai kerjaya pilihan. 

 

  1. KC Agro – Aquakultur

KC Agro memulakan projek penternakan ikan tilapia merah di kawasan lapang di Kolej Canselor dan mengamalkan konsep kelestarian alam sekitar, in-house training serta menggunakan barangan terpakai. Satu jawatankuasa khas diwujudkan oleh Majlis Perwakilan Kolej Canselor (MPK) dan diletakkan di bawah portfolio Naib Presiden Hal Ehwal Warga dan Pertanian untuk memperkasa agenda kelestarian pertanian KC Agro.

Pengurusan Kolej Canselor juga menyalurkan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi tujuan pembiayaan projek kelestarian pertanian KC Agro. Jawatankuasa ini turut dipantau oleh pihak pengurusan kolej bagi memastikan projek ini direalisasikan mengikut perancangan yang dijadualkan. Aktiviti penternakan ikan tilapia merah ini telah dijalankan bermula Januari 2021 dengan menggunakan tangki terpakai yang ada di kawasan kolej sebagai tangki utama penternakan ikan.

Pada peringkat permulaan, hanya sebuah tangki digunakan untuk anak ikan tilapia merah. Setelah ikan-ikan tersebut semakin membesar, tiga buah tangki tambahan digunakan untuk ternakan. Pelajar-pelajar yang terlibat telah menjalani proses pembelajaran in-house training yang sangat berguna. Pelajar didedahkan dengan ilmu penternakan ikan dari peringkat awal termasuk penyediaan kolam, penjagaan kualiti air, pemilihan benih ikan, proses pemakanan, penukaran air, pengkelasan saiz ikan, perakaunan dan seterusnya menuai hasil dengan memasarkan ikan-ikan tersebut.

Jualan pertama ikan dibuat pada 3 Ogos 2021 dengan hasil tangkapan 20 kg dan jualan kedua pada 21 dan 22 Ogos 2021 dengan jumlah hasil 30 kg. Untuk memastikan projek pertanian dan penternakan ini sentiasa berada dalam keadaan terbaik, jadual kerja harian pelajar-pelajar yang terlibat disediakan dan catatan-catatan penting akan diambil untuk rujukan mereka bagi memastikan semua perkara berjalan lancar.

Selain daripada memartabatkan agenda kelestarian pertanian yang termaktub dalam Pelan Strategik H.E.P.A. 2021-2023, pelaksanaan projek penternakan ikan tilapia merah ini pada asasnya bertujuan memberi pendedahan dan ilmu pertanian serta penternakan kepada pelajar-pelajar khususnya pelajar Kolej Canselor serta menerapkan sesuatu yang berbeza selain apa yang diperoleh dalam bilik kuliah.

Pengalaman sepanjang mengendalikan projek ini memberikan satu ilmu pengetahuan yang amat bermakna kepada pelajar. Proses pembelajaran yang 100 peratus berbeza daripada program pengajian formal yang diikuti di UPM memberi suatu ilmu yang di luar jangkaan sebelum menjejakkan kaki di universiti. Ilmu yang diperoleh sepanjang proses penternakan ikan dan pertanian lain amat berguna dan yakin ia boleh memberi nilai tambah kepada pelajar apabila bekerjaya nanti dan dapat dimanfaatkan oleh anggota masyarakat.

Kesimpulannya, pelajar melalui pelaksanaan program kelestarian pertanian ini dapat menimba ilmu dan kemahiran dalam bidang pertanian selain dapat memupuk rasa tanggungjawab, disiplin diri dan juga kerjasama berpasukan dalam menjayakan projek ini.

PROFESOR Dr. Arifin Abdu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya