PADA awal Oktober ini, bermulalah kemasukan mahasiswa baharu ke kebanyakan universiti awam. Pada minggu pertama berada di kampus adalah minggu suai kenal yang mesti dilalui oleh setiap mahasiswa baharu.
Apakah yang perlu dilakukan dalam minggu suai kenal ini?
Secara mudah sesuai dengan namanya, minggu suai kenal bertujuan memperkenalkan mahasiswa baharu ini kepada dunia baharu yang bakal ditempuhnya selama tiga atau empat tahun. Dunia kampus dan cara kehidupan dan pengajaran-pembelajaran di universiti adalah berbeza dengan kehidupan dan pengajaran-pembelajaran di sekolah.
Dalam tahun-tahun 1970-an dan 1980-an, minggu suai kenal membawa makna besar kepada seseorang mahasiswa baharu. Pemikiran asas seseorang mahasiswa mengalami perubahan besar sebelum dan selepas minggu suai kenal. Mahasiswa baharu mengenali apa itu dunia kampus dan prinsip asas pengajaran-pembelajaran universiti yang bakal ditempuhinya.
Setidak-tidaknya seseorang mahasiswa baharu dapat merasakan dia sekarang berada dalam dunia baharu, perlu peranan baharu yang perlu dimainkan, perlu tanggungjawab baharu. Secara mudahnya, mula terbina satu falsafah baharu dalam dirinya. Ini adalah satu permulaaan yang penting dan langkah pertama dalam dunia kampus.
Adakah ini masih berlaku sekarang? Pendedahan awal oleh profesor-profesor besar yang bersifat falsafah disampaikan dalam bahasa mudah yang menarik tetapi mempunyai makna besar di sebaliknya. Masih ramaikah profesor berjiwa besar yang boleh berucap dan mempengaruhi pemikiran mahasiswa baharu tanpa slaid dan skrin?
Adakah pihak universiti masih dapat mengangkat dan memberi peluang kepada mereka yang berjiwa besar dan mempunyai idea kreatif, bercakap dalam bahasa mudah yang menarik dan secara spontan? Atau mereka yang kreatif ini ‘disekat’ oleh pihak universiti daripada memberikan syarahan yang boleh membina pemikiran terbuka atas alasan remeh dan pilih kasih? Ataukah mereka ini dari awal disekat kenaikan pangkat ke profesor penuh dengan alasan ‘akademik sempit’ yang disahkan?
Pemilihan penceramah yang benar-benar boleh membina pemikiran mahasiswa dan membawa kepada asas baharu pembinaan falsafah pemikiran adalah sangat perlu.
Janganlah minggu suai kenal disusun dengan ceramah besifat taklimat demi taklimat yang sebenarnya boleh dibuat dengan cara dan kaedah lain.
Antara taklimat yang diberikan adalah panduan mengisi borang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan borang biasiswa, taklimat pemilihan kursus, taklimat kokurikulum dan seumpamanya yang boleh disampaikan dengan cara lain. Taklimat-taklimat ini sebenarnya boleh dilakukan dengan menyediakan buku panduan dan penerangan bertulis jelas. Mahasiswa bukan lagi pelajar sekolah menengah atau murid sekolah rendah.
BISU
Dalam atur cara minggu suai kenal bersama fakulti juga penuh dengan taklimat dan pengenalan tidak begitu berguna dan boleh dicari sendiri oleh seseorang mahasiswa.
Tidak kurang juga diatur pengenalan staf satu persatu yang pada asasnya tidaklah begitu berguna serta tidak mungkin dapat diingat oleh mahasiswa baharu itu.
Semua ini boleh dicari sendiri selepas minggu suai kenal dan dapat mengenali pensyarah masing-masing apabila kuliah bermula. Ini semua aktiviti membuang masa yang tidak sepatutnya dilakukan dalam program bersama fakulti.
Sepatutnya program ini digunakan bagi memperkenalkan sesebuah fakulti pengajian itu secara ilmiah dan bersifat falsafah. Kenapa fakulti ini penting? Misalnya mahasiswa fakulti sains sosial perlu dijelaskan apa itu sains sosial dan kenapa ia penting dalam bahasa mudah yang boleh difahami.
Buka perdebatan awal kepada mahasiswa baharu bagi mengemukakan apa jua soalan berkaitan. Ini penting bagi meyakinkan seseorang mahasiswa mengenai bidangnya adalah sesuai dan tidak tersalah pilih serta bagi membina dan mengukuhkan semangat.
Seseorang yang menyampaikannya adalah seseorang bertaraf profesor ‘sebenar’ yang benar-benar memahami dengan mendalam serta dapat berhujah dengan baik dan berkesan. Elak menggunakan slaid pembentangan kaku, bisu dan mati yang penuh dengan istilah-istilah sukar untuk difahami oleh insan baru menjejak kaki ke alam kampus.
Apa yang lebih penting, pembinaan jiwa baharu mahasiswa, membina semangat baharu dan perjalanan kehidupan sebenar dunia kampus. Tanpa benih-benih asas falsafah yang benar-benar mendalam terbina dalam diri, sukar bagi membina dan menjadi mahasiswa baharu berjaya.
Walaupun telah berada di universiti, pemikirannya masih tidak ubah sebagai pelajar sekolah menengah seperti dahulu. Gaya pembelajaran masih lagi bersifat menghafal tanpa penerokaan mendalam. Penguasaan bahasa Inggeris masih tidak berkembang dan tidak meyakinkan serta masih menjadikan rujukan utama berasaskan bahasa Melayu.
Kita berharap minggu suai kenal menjadi satu minggu penuh makna bagi mahasiswa baharu. Minggu yang mampu terhasilnya benih-benih pemahaman tentang alam kampus dan pengajaran-pembelajaran serta kehidupan dan mula terbina asas-asas baharu yang terus subur untuk tahun-tahun seterusnya.
Jawatankuasa minggu suai kenal perlu memikirkan dan menyusunnya dengan baik menepati realiti dan matlamat sebenar minggu suai kenal. Jangan jadikan minggu suai kenal hanya suatu minggu yang memenatkan dan membosankan bagi mahasiswa baharu yang gagal membina benih semangat dan falsafah baharu!
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Pensyarah di Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah. Pernah menjadi profesor pelawat di Universiti Antarabangsa Balkan, Skopje, Macedonia dan pernah mengajar di Universiti Antarabangsa Sarajevo, Bosnia-Herzegovina.










