Memperingati Perang Armenia-Azerbaijan - Utusan Malaysia

Memperingati Perang Armenia-Azerbaijan

PEPERANGAN Azerbaijan-Armenia mula tercetus apabila Armenia mencabuli kedaulatan Azerbaijan dengan menyerang wilayah Nagorno-Karabakh pada awal 1990-an. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI INI adalah hari penting untuk diambil perhatian oleh seluruh masyarakat dunia terutama umat Islam. Peperangan dan konfrontasi  ganas antara Azerbaijan dan Armenia yang tercetus pada 27 September  hingga 10 November 2020 telah mengorbankan ribuan tentera dan orang awam tidak berdosa.

Peperangan yang berlangsung selama 44 hari itu berakhir dengan kenyataan bersama tiga hala anjuran Rusia selaku pihak tengah bersama Azerbaijan dan Armenia. 

Peperangan Azerbaijan-Armenia mula tercetus apabila Armenia mencabuli kedaulatan wilayah negara jirannya, Azerbaijan dengan menyerang wilayah Nagorno-Karabakh pada awal 1990-an dan beberapa wilayah lain. Kesemua wilayah yang diserang itu secara jelas telah diiktiraf oleh dunia sebagai sebahagian daripada wilayah Azerbaijan.

Azerbaijan telah berjuang bermati-matian demi mempertahankan tanah air mereka sehinggakan peristiwa tersebut digelar sebagai Perang Patriotik. 

Sekilas fakta tentang konflik Azerbaijan-Armenia, sekitar akhir 1980-an, Armenia menyerang komuniti Azerbaijan yang menetap di Armenia sehingga menyebabkan wujudnya pelarian dalam kalangan warga Azerbaijan secara besar-besaran. 

Pada masa sama, Armenia turut menyerang kota Khankandi di wilayah Azerbaijan. Waktu itu, Kesatuan Soviet sedang mengalami kejatuhan.

Kerakusan dan kekejaman Armenia terhadap Azerbaijan begitu banyak sekali untuk dicatatkan dan apa yang lebih menjijikkan, warga asing tidak kira umur, jantina atau status turut menjadi mangsa. 

Antaranya serangan terhadap helikopter awam MI-8 yang membawa pemimpin kanan dan sekumpulan pegawai tinggi kerajaan Rusia dan Kazakhstan di perkampungan Karakend yang terletak di kawasan Khojavand pada 20 November 1991. Kesemua penumpang maut!

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menetapkan resolusi 822 pada 30 April 1993 meminta supaya Armenia keluar dari semua wilayah Azerbaijan yang ditakluki. Namun, apa yang berlaku sebaliknya, Armenia menceroboh dan menjajah pula bandar Aghdara pada 7 Julai.

Sekalipun Armenia sebuah negara kecil dan tidak membangun, namun mereka tetap merasakan seolah-olah abang besar di wilayah Kaukasus tanpa menghiraukan segala amaran dan ancaman daripada pihak antarabangsa. Armenia dilihat lebih ingin membuli Azerbaijan dan bersikap begitu angkuh.

Apa yang sangat menjijikkan sewaktu penaklukan berlaku, Armenia telah menjadikan masjid-masjid sebagai ladang babi! 

Dua tahun sebelum kemenangan Azerbaijan, Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan dikatakan menari dalam keadaan mabuk di wilayah Azerbaijan yang telah dijajah dengan niat untuk memprovokasi  Azerbaijan! 

Sikap angkuh Armenia berterusan sehingga perang patriotik Azerbaijan. Kini Azerbaijan berharap kepada keamanan, keselamatan dan kerjasama di wilayahnya seperti yang disebut oleh Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev iaitu masalah di Nagorno-Karabakh telah pun diselesaikan.

ILHAM Aliyev menerangkan secara terperinci kekejaman Armenia kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam sesi perbincangan ke-75. – AFP

SUKARELAWAN

Azerbaijan sangat berterima kasih kepada Malaysia yang disifatkan sebagai bersaudara. Sebaik sahaja peperangan bermula pada 29 September 2020, Kementerian Luar Negari telah mengeluarkan kenyataan merujuk kepada ketetapan Majlis Keselamatan PBB yang menyebut Nagorno-Karabakh sebagai wilayah yang tidak dapat dipisahkan dari wilayah integriti Azerbaijan.

Pada 1 Oktober 2020 pula, Datuk Rosman Isli, iaitu ketua kumpulan Persahabatan Malaysia-Azerbaijan mengeluarkan kenyataan di Dewan Rakyat mengecam pencerobohan Armenia terhadap Azerbaijan pada 27 September. 

Antara tuntutan mereka adalah supaya kerajaan Armenia menghentikan serta-merta setiap perlakuan dan tindakan yang menyanggah undang-undang antarabangsa. Mereka juga meminta pemerintah Armenia segera mengikut rundingan konstruktif dalam mencapai jalan penyelesaian secara aman terhadap konflik dengan Azerbaijan.

Sejarah menunjukkan Azerbaijan sentiasa mencari jalan penyelesaian menerusi saluran diplomasi tanpa sengketa dan terbuka untuk berdamai dengan Armenia. Namun, ia sama sekali tidak dihiraukan Armenia.

Aliyev mengambil peluang pada sesi perbincangan ke-75 Perhimpunan Agung PBB dengan menerangkan secara terperinci tentang kejahatan Armenia. Beliau mendakwa Pashinyan telah menubuhkan sekumpulan tentera sukarelawan bersenjata terdiri daripada puluhan ribu penduduk awam yang diambil secara paksa dalam berhadapan Azerbaijan. 

Aliyev turut menyatakan konflik Armenia-Azerbaijan yang sedang berlangsung itu perlu diselesaikan dalam rundingan konstruktif mengikut neraca undang-undang antarabangsa serta mengiktiraf integriti wilayah Azerbaijan. 

Selaku rakyat Malaysia, kita seharusnya lebih peka dengan isu-isu yang berlaku di luar negara dan menyatakan pendirian yang teguh terhadap saudara-saudara kita di Azerbaijan.   

Thaqib Shaker ialah pengkaji hubungan Malaysia dan dunia luar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×