TATKALA kita berasa lega apabila akhirnya program vaksinasi untuk kumpulan remaja berusia 12 hingga 17 tahun khususnya pelajar sekolah bermula, timbul persoalan cukup serius, iaitu bagaimana nasib anak-anak yang mungkin tidak mendapat kebenaran ibu bapa untuk menerima suntikan vaksin Covid-19?
Walaupun pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja masih di peringkat awal dan belum ada statistik mengenai perkara ini, memandangkan ada golongan dewasa yang enggan divaksin maka sudah pasti anak-anak mereka juga bakal mengikuti jejak sama. Justeru, semua mata kini tertumpu kepada kelompok ibu bapa yang enggan divaksin untuk diri sendiri dan ahli keluarga.
Hakikatnya, ini antara isu besar yang sedang bermain di pemikiran masyarakat kerana tindakan ibu bapa yang tidak membenarkan anak mengambil vaksin boleh meletakkan semua pihak dalam risiko besar. Natijahnya, baik anak tersebut mahupun orang di sekelilingnya boleh terkena jangkitan wabak.
Misalnya, kita sedia maklum sekolah bakal dibuka secara berperingkat tidak lama lagi. Timbul persoalan, bagaimana dengan keselamatan anak yang tidak dibenarkan divaksin oleh ibu bapa dengan anak yang telah divaksin? Ironinya, mereka akan berada di sekolah untuk suatu tempoh panjang serta menjalani sesi pembelajaran dan aktiviti lain secara bersemuka. Situasi ini sekali gus mula mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
Sudah tentu ibu bapa yang anak mereka lengkap divaksin bimbang jika mengetahui ada dalam kalangan rakan-rakan sekelas anak mereka tidak mendapat vaksin atau lebih tepat lagi tidak mendapat kebenaran ibu bapa untuk menerima vaksin. Akibatnya ada kemungkinan ibu bapa tidak akan membenarkan anak mereka hadir ke sekolah kerana lebih mengutamakan keselamatan apatah lagi kementerian juga memberi pilihan kepada ibu bapa untuk tidak menghantar anak ke sekolah. Bukankah senario ini akan menjejaskan pelajaran dan masa depan anak-anak?
Malah keengganan ibu bapa memberi kebenaran juga akan meletakkan anak mereka dalam keadaan cukup berisiko sepanjang masa di semua tempat. Harus diingat, anak ini tidak akan terkurung di rumah semata-mata sebaliknya pergi ke merata tempat untuk pelbagai urusan di mana mereka dengan mudahnya terdedah kepada risiko jangkitan. Sekali lagi kita meletakkan semua pihak dalam keadaan risiko tinggi.
SALAH LANGKAH
Jelas di sini, kuncinya sekarang ada pada ibu bapa kerana anak berusia 12 hingga 17 tahun ini masih di bawah tanggungjawab mereka sepenuhnya. Jadi, ibu bapa perlu bijak menilai segala risiko serta membuat keputusan bijak demi memberikan perlindungan keselamatan maksimum kepada ahli keluarga khususnya anak-anak.
Ringkasnya, ibu bapa tidak boleh salah langkah sehingga menggadai keselamatan dan masa depan anak-anak.
Dalam konteks ini, diharap ibu bapa yang enggan anak mereka divaksin akan sedar dan dapat teliti betul-betul data dan statistik dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan setakat ini. Secara umumnya dilaporkan kadar kematian bayi, kanak-kanak dan remaja akibat Covid-19 pada tahun ini meningkat seiring pertambahan kes jangkitan.
Sebanyak 41 kematian direkodkan sejak Januari hingga 30 Ogos lalu, berbanding enam kematian pada 2020 dengan 322,694 menjadi pesakit cilik Covid-19 sejak pandemik bermula. Lebih membimbangkan apabila data juga menunjukkan kategori usia 13 hingga 17 tahun menyaksikan peningkatan ketara tahun ini dengan 89,087 kes dan 16 kematian berbanding 4,142 kes serta dua kematian pada 2020.
Apakah data ini belum cukup menggerunkan kita? Jadi, janganlah kerana keegoan dan kedegilan kita sanggup menggadai keselamatan dan masa depan anak sendiri.
Dalam hal ini, memang betul kita tidak boleh memaksa apatah lagi tidak ada undang-undang mewajibkan pengambilan vaksin, namun itu bukan alasan untuk ibu bapa lari daripada tanggungjawab khususnya apabila tindakan kita turut membabitkan keselamatan orang lain.
Malah tindakan kita menghalang anak mengambil vaksin juga boleh memberi tekanan hebat serta menjejaskan emosi anak-anak. Hal ini kerana sudah tentu mereka malu dan takut untuk berhadapan dengan rakan-rakan yang sudah mendapat vaksin. Kita khuatir akhirnya anak ini akan murung, terjejas secara mental dan fizikal serta tidak mahu keluar rumah atau memilih untuk terus terperuk di rumah.
Jadi, jelas sekali jika ibu bapa tidak membuat keputusan bijak, ia bukan sahaja bakal merugikan masa depan anak-anak tetapi turut boleh mencetuskan pelbagai polemik dan kegusaran dalam kalangan anggota masyarakat lain.
Justeru, ibu bapa perlu berfikir masak-masak sebelum membuat keputusan dan jangan sesekali membuat keputusan yang merugikan masa depan anak-anak serta meletakkan semua pihak dalam risiko tinggi. Tuntasnya, kini pilihan di tangan ibu bapa sendiri dan buatlah pilihan bijak, betul dan rasional dengan mengambil kira kepentingan semua pihak terlibat.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.











