SEJAK kerajaan bersetuju memberi kelonggaran dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) kepada negeri yang beralih ke fasa dua dan seterusnya, nampaknya orang ramai tidak ketinggalan mengambil kesempatan melakukan pelbagai aktiviti seperti riadah, membeli-belah, menginap di hotel mahupun menikmati hidangan di kedai makan atau restoran.
Mungkin inilah masa terbaik untuk ‘membalas dendam’ selepas empat bulan berkurung di rumah tanpa sebarang aktiviti. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula 1 Jun lalu memberi kesan kepada 33.8 juta penduduk di negara ini.
Sejak pandemik Covid-19 melanda, pelbagai cerita kedengaran berkaitan tekanan dialami ibu bapa ekoran terpaksa bekerja dari rumah. Pada masa sama perlu menjadi guru mengajar anak-anak di rumah selain melaksanakan tanggungjawab lain. Ada masanya seorang ibu berubah menjadi ‘singa’ ketika mengajar anak-anak di rumah.
Maklumlah mereka terkejar-kejar untuk melakukan banyak perkara dalam satu masa.
Namun, selepas hampir dua tahun menjalani rutin ini, saya percaya ramai sudah terbiasa dan dapat menyesuaikan diri serta mampu mengelakkan tekanan ketika bekerja dari rumah dengan perancangan dan susunan jadual yang betul.
Pun begitu, ada dalam kalangan masyarakat sudah mula rimas berada di rumah sehingga mengganggu kesihatan mental dan emosi. Jadi, inilah peluang terbaik untuk kembali cergas dengan menghirup udara segar serta kembali kepada hidupan normal bersama keluarga dan rakan.
Namun, sejak kelonggaran ini diberikan, ada juga terdengar suara sumbang yang mempertikaikan tindakan segelintir ibu bapa yang berani membawa anak-anak kecil dalam aktiviti mereka.
“Eh, dia ni tak takut Covid (Covid-19) ke bawa anak kecil masuk shopping mall, makan luar, pergi berkelah dan beriadah di taman rekreasi? Selagi tak kena batang hidung, selagi itulah berani.”
Pokoknya, siapa kita untuk mempertikaikan tindakan segelintir ibu bapa tersebut? Bagi saya, matematik mudah, kalau risau dijangkiti maka jangan bawa anak keluar. Tetapi sekiranya yakin serta mampu menjaga anak-anak, maka itu hak mereka dan kita perlu hormati pilihan tersebut.
Ini juga mungkin permulaan bagi sesebuah keluarga mempraktikkan gaya hidup norma baharu apabila negara beralih ke fasa endemik tidak lama lagi.
Pun begitu, lumrah anak-anak yang masih kecil mahukan suasana berbeza, mudah naik bosan dan mula membuat perangai kesan daripada duduk rumah terlalu lama. Jadi, mungkin inilah masa yang dirasakan sesuai bagi ibu bapa untuk melayan karenah anak dalam suasana yang sedikit berbeza.
Takut apabila saya membaca pandangan netizen di media sosial yang tidak habis-habis mengkritik, menghina tindakan yang dilakukan oleh segelintir ibu bapa yang membawa anak mereka keluar beraktiviti.
Kita tidak tahu apa yang sebenarnya dialami oleh sesebuah keluarga. Jadi, biarlah mereka menjalani kehidupan mengikut acuan sendiri asalkan mampu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Saya sendiri masih risau untuk membawa anak-anak keluar, cukuplah sekadar membawa mereka bermain di kawasan rumah pada waktu petang. Antara aktiviti yang boleh dilakukan bagi mengurangkan kebosanan anak adalah bermain basikal, badminton dan berenang pada hujung minggu. Ada masanya saya memberi sedikit kebebasan untuk bermain permainan video.
Tindakan saya ini mungkin berpunca daripada persekitaran pekerjaan yang memerlukan saya bertemu dengan ramai orang dan ada masanya perlu berada di pejabat. Jadi, saya masih mengehadkan aktiviti anak-anak di luar.
Ya, mungkin saya akan berubah fikiran dan sedikit berani untuk membawa mereka keluar melepasi zon kawasan perumahan setelah negara beralih ke fasa endemik. Anak sulung juga faham kerana berulang kali saya memberitahunya tentang bahaya Covid-19 sehingga pelbagai aktiviti termasuk persekolahan tidak dapat dilaksanakan secara bersemuka.
JANGAN RISIKOKAN ANAK
Bagi mengelakkan hentaman dan kata-kata negatif netizen, apa kata sebelum membawa ahli keluarga ke kawasan umum, pastikan anda sebagai ibu bapa mampu melindungi anak-anak daripada risiko.
Pertama sekali pastikan tahap kesihatan sesi keluarga berada pada paras yang optimum serta golongan dewasa sudah melengkapkan dos suntikan vaksin. Ini kerana kita sahaja yang mampu melindungi ahli keluarga sendiri.
Semasa beraktiviti, sentiasa patuhi SOP dan menjaga kebersihan diri. Didik anak untuk kerap membasuh atau sanitasi tangan selepas menyentuh barang atau sesuatu permukaan.
Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk tidak mengunjungi tempat yang sesak dengan orang ramai. Bijaklah memilih lokasi lebih-lebih lagi jika anak anda masih kecil dan jangan sesekali membenarkan orang lain menyentuh anak anda. Ini kerana kita tidak dapat pastikan latar belakang kesihatan mereka.
Setelah pulang ke rumah, terus pastikan seisi keluarga membersihkan diri dan elakkan berkunjung atau menerima jemputan daripada ahli keluarga atau rakan. Sentiasa pantau tahap kesihatan dengan melakukan ujian kendiri Covid-19.
Selain itu, amalan gaya hidup yang baik amat penting untuk mengekalkan tahap kesihatan. Amalkan mengambil suplemen seperti vitamin C bagi membantu memberi perlindungan kepada ahli keluarga.
Akhir sekali, terus bersikap positif dan tidak perlu pusing dengan kata-kata netizen di luar sana. Pilihan di tangan sendiri, sudah pasti anda dapat bezakan sesuatu yang baik dan buruk, bukan?










