Endemik: Kita tidak tergesa-gesa - Utusan Malaysia

Endemik: Kita tidak tergesa-gesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KERAJAAN menjangkakan negara akan beralih dari fasa pandemik ke fasa endemik pada hujung Oktober ini ketika kes jangkitan harian Covid-19 masih merekodkan jumlah tinggi.

Pelbagai pihak melihat masih terlalu awal untuk melangkah ke fasa seterusnya terutama dengan kemunculan varian-varian baharu Covid-19.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, bagi Komander Bersama Pasukan Tindakan Khas Lembah Klang yang juga Pakar Perubatan Kesihatan Awam, BRIGEDIER JENERAL DR. MOHD. ARSHIL MOIDEEN, tidak boleh tidak, negara perlu melaluinya dengan strategi baharu dan bersifat menyeluruh.

Ikuti temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN dan jurugambar, FARIZ RUSADIO di Bahagian Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

UTUSAN: Boleh terangkan situasi pandemik sekarang?
MOHD. ARSHIL: Keadaan pandemik di negara ini bahkan di seluruh dunia sukar dijangka kerana ia sentiasa berubah dan bermutasi. Kemasukan varian-varian baharu menyebabkan perlindungan daripada jangkitan terkesan sekali gus menyukarkan capaian imuniti kelompok akibat jangkitan breakthrough terhadap mereka yang telah menerima dua dos suntikan lengkap vaksin.

Bagaimanapun, pengambilan dos vaksin lengkap masih efektif dalam melindungi pesakit daripada mendapat komplikasi teruk. Oleh itu, negara perlu bersedia mengawal penularan wabak menggunakan pelbagai strategi baharu iaitu berubah daripada pengurusan pandemik kepada endemik. Norma baharu yang digunakan adalah norma sebenar sehinggalah Covid-19 tidak wujud lagi.

Apa strategi ke arah endemik?
Sistem kawalan pandemik sedia ada yang masih bersifat manual seperti pengesanan, sistem penjejak kontak atau kawalan pergerakan perlu kita jadikan sebagai satu sistem automatik digital sepenuhnya supaya memudahkan sektor kerajaan, kesihatan serta masyarakat melakukan langkah kawalan tanpa membebankan sistem kesihatan awam. Sistem ini mesti merangkumi aspek diagnosis, pengesanan kontak rapat, perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO), pelepasan arahan sehingga seseorang dibebaskan daripada menjalani kuarantin.

Katakan terdapat 20,000 kes yang direkodkan dan menggunakan sistem pengesanan manual melalui telefon atau peranti lain, dalam tempoh 10 hari sahaja sudah ada 200,000 orang perlu dikesan. Ini amat mustahil dilakukan jika tiada sistem automatik sepenuhnya.

Kerajaan juga boleh mempertimbang mewujudkan sebuah pusat rawatan setempat yang lengkap mengikut zon tertentu terutama melibatkan fasiliti unit rawatan rapi (ICU) supaya tumpuan kepada perawatan penyakit-penyakit bukan Covid-19 tidak terjejas. Di Singapura, sudah buka hospital khusus untuk Covid-19 supaya tidak menganggu sistem kesihatan negara.

Ketika kita terlalu memberikan tumpuan kepada perawatan Covid-19, tanpa disedari kita mengabaikan perawatan-perawatan khusus bagi kes-kes bukan Covid-19 terutama penyakit kronik dan yang memerlukan pembedahan.

Impak yang akan dilihat selepas ini juga banyak komplikasi dan kadar kematian penyakit-penyakit kronik lain disebabkan jangkitan Covid-19 kerana mereka tidak mendapat rawatan sepatutnya dalam tempoh dua tahun ini.

Ada yang mendakwa kita tergesa-gesa ke arah endemik. Komen?
Tempoh kawalan pandemik selama setahun setengah, bukan lagi tergesa-gesa sebaliknya sudah terlalu lama. Kita memang perlu beralih tetapi bila masanya akan ditentukan oleh kerajaan dan ada indikator tertentu yang akan diteliti sebelum sedia beralih ke fasa ini. Bagi yang mendakwa usaha peralihan tergesa-gesa, jelas mereka tidak memahami konsep memelihara dan mengimbangi antara nyawa dan kehidupan.

Pertimbangan untuk beralih ke fasa ini?
Paling penting kena perkuatkan sektor kesihatan awam terutama di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) kerana peringkat ini merupakan barisan pertama dalam mengendalikan semua kes Covid-19. Kerajaan juga boleh mempertimbang khidmat atau pengamal klinik perubatan swasta (GP) dalam melaksanakan pengawasan secara dalam talian, membantu kerajaan mengenal pasti kes jangkitan yang teruk dan menghantar pesakit ke hospital kerana pusat penilaian Covid-19 (CAC) yang beroperasi kini bersifat sementara dan tidak ekonomik.

Ini termasuk fasiliti kesihatan awam?
Tidak, yang saya maksudkan bukan hospital atau pusat rawatan tetapi pejabat kesihatan dan penjagaan kesihatan primer yang merupakan benteng utama dalam mengendalikan dan memantau semua kes.

Jika pelaksanaan di pejabat kesihatan itu efisien merangkumi diagnosis, penjejakan kontak rapat serta isolasi kes-kes positif dengan pantas dalam tempoh 24 hingga 48 jam, penularan akan dapat dikawal. Jika tidak, penularan jangkitan akan lebih meluas dan berlaku lambakan kes yang tidak dipantau dengan baik dalam masa cepat sehingga ada sampai ke hospital, sudah terlewat.

Efisien atau tidak sistem kesihatan di peringkat daerah?
Masih banyak yang perlu diperbaiki dari aspek teknikal, akses kepada teknologi, penambahbaikan fasiliti serta tenaga kerja. Tapi saya percaya semua PKD berusaha sedaya upaya untuk berfungsi dengan efisien.

Langkah mudah boleh dilakukan semasa endemik?
Ujian kendiri di rumah secara berkala adalah langkah mudah boleh mencegah penularan dalam kalangan ahli keluarga atau di tempat kerja. Penggunaan konsep satu pulse oxymeter bagi satu rumah melalui pelbagai inisiatif kerajaan atau swasta boleh digunakan dengan meluas dan kosnya jauh lebih murah.

Pesakit Covid-19 mampu memantau kadar oksigen dalam darah secara kendiri di rumah dan boleh membantu mengesan kes-kes yang mula menunjukkan potensi menjadi lebih teruk jika jangkitan merebak ke paru-paru serta mengakibatkan keradangan.

Saya juga sarankan kawalan kendiri yang ketat menjadi norma hidup bagi semua orang kerana disiplin diri yang baik terbukti membantu mencegah jangkitan. Penggunaan cecair sanitasi dengan kerap serta pemakaian pelitup muka mesti dilakukan dengan betul. Walaupun terbukti berkesan mencegah penularan, ia sering diambil mudah ramai individu walaupun wabak telah lama menular.

Jika hidup bersama virus, bermakna kita sentiasa terdedah jangkitan?
Inilah yang dinamakan sebagai penyesuaian keadaan. Mungkin di peringkat awal Covid-19 melanda, kita memakai pelitup muka pun rasa lemas. Tetapi sekarang jika tidak memakainya, seperti ada sesuatu yang hilang. Bahkan kalau berbaris di bank akan ada orang yang bising kalau jarak kita sangat rapat dengan orang di depan.

Perlukah seseorang menjalani ujian saringan dan kuarantin setiap kali mempunyai gejala atau kontak rapat semasa endemik?
Ujian saringan memang akan diteruskan, namun hanya saringan gejala perlu dijadikan sebagai lapisan pertama di semua sektor apabila vaksinasi bagi pekerja-pekerja telah capai 100 peratus. Ujian swab hanya perlu dilakukan melibatkan pekerja bergejala atau kontak rapat. Tetapi ia bukan bermaksud kita tidak menggalakkan langsung ujian swab bagi yang tidak bergejala. Bagi mereka yang sangsi akan status mereka atau mempunyai risiko tertentu, mereka digalakkan melakukan ujian kendiri. Tetapi bagi ujian yang dilakukan oleh sektor kesihatan awam melibatkan penggunaan wang kerajaan, adalah lebih praktikal dan ekonomik untuk saringan dilakukan bagi yang bergejala sahaja.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih perlu dalam fasa endemik?
Hanya perlu apabila satu-satu kawasan mempunyai wabak yang menular dengan amat teruk sehingga keadaan menjadi tidak terkawal dan menyebabkan banyak kematian. Tetapi, ini hanyalah pandangan peribadi.

Benarkah kadar kematian di negara ini tinggi dan adakah ia mempengaruhi peralihan ke fasa endemik?
Kementerian Kesihatan yang layak memberi komen tetapi bagi negeri-negeri tertentu yang telah mencapai peratusan vaksinasi yang tinggi, kadar kematian telah menurun mengikut taburan tarikh kematian. Apa yang dilaporkan sekarang adalah backlog of cases (kes kematian daftar terdahulu).

Statistik kematian harian tidak semestinya berdasarkan tarikh kematian pada hari tersebut. Ia adalah data terkumpul dan perkara inilah kerajaan sedang berusaha memperbaikinya dengan mempercepatkan proses pelaporan supaya rekod kematian itu menjadi satu trend kematian yang terkini.

Sektor yang perlu dilonggarkan?
Kita perlu mengembalikan pelbagai sektor kepada seberapa normal yang mungkin tetapi tetap tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan langkah-langkah kawalan yang optimum.

Jika terdapat penularan jangkitan secara mendadak?
Dalam fasa endemik, parameter yang dilaporkan mungkin akan berubah dengan tidak lagi melihat jumlah kes jangkitan kerana ia tidak membawa makna tetapi merujuk kepada kes-kes pesakit kategori tiga, empat dan lima sahaja. Di Singapura dan banyak negara lain telah berhenti mengira jumlah kes tetapi melaporkan kes-kes bagi kategori yang disebutkan sahaja.

Apabila ramai yang membuat ujian kendiri dan didapati positif tetapi masih dalam kategori satu dan dua, adakah ia memberi sebarang makna dan keadaan semakin teruk?

Tidak. Kes jangkitan masih boleh meningkat walaupun program vaksinasi telah mencapai peratusan tertentu terutama apabila tempoh lengkap dos kedua sudah melangkaui tempoh perlindungan optimum vaksin tersebut. Sebab itu kerajaan telah mengumumkan keperluan untuk dos penggalak.

Bagaimana dengan varian baharu yang mungkin kebal vaksin?
Itu saya tidak boleh komen lagi. Kita akan hadapinya apabila sudah berlaku tetapi setakat ini semua varian yang dikatakan kebal vaksin tidak terbukti lagi secara menyeluruh menyebabkan kematian untuk semua penerima vaksin melainkan hanya terdapat peratusan tertentu orang yang mendapat kesan yang selalunya daripada golongan komorbid.

Dikatakan imuniti seseorang menurun selepas enam bulan menerima vaksinasi lengkap. Respons?
Selepas enam bulan, tidak bermakna imuniti dalam badan terus menjadi kosong cuma kadarnya lebih rendah. Ada petugas kesihatan kadar antibodinya kekal tinggi (imuniti semula jadi) walaupun selepas tamat tempoh enam bulan kerana mereka sentiasa terdedah kepada virus semasa rawatan harian.

Ini menyebabkan di peringkat antarabangsa berpendapat, walaupun kadar rendah selepas enam bulan, imuniti semula jadi mampu bertindak dan meningkatkan kembali antibodi apabila berdepan jangkitan.

Cuma tempoh yang diambil badan untuk meneutralkan virus mungkin memakan masa jika kadar antibodi seseorang telah turun ke tahap rendah dan bagi yang mempunyai risiko-risiko tertentu, ini boleh menyebabkan seseorang mendapat jangkitan yang teruk.

Sekiranya mengambil dos penggalak kurang dari tempoh enam bulan?
Tiada kajian yang dilakukan lagi dan tiada saranan pun mengambilnya kurang dari tempoh itu. Sama ada dos penggalak ini menggunakan vaksin yang sama, ia belum ditetapkan di peringkat antarabangsa. Tetapi ada juga negara luar membenarkan pengambilan jenis vaksin lain atau vaksinasi secara bersilang.

Selepas ini petugas barisan hadapan tidak lagi kelecuhan (burnout)?
Saya rasa berkurangan kerana kes-kes yang teruk pun semakin kurang. Jangan lupa, habis sahaja Covid-19, kes-kes bukan Covid-19 yang sebelum ini ada segelintir yang diabaikan akan mula memenuhi hospital dengan kadar jauh lebih tinggi daripada biasa.

Imuniti berkelompok pula bagaimana?
Kita tidak lagi menggunakan terma imuniti kelompok sebaliknya lebih kepada perlindungan untuk setiap individu. Didapati, sasaran imuniti berkelompok sukar dicapai disebabkan jangkitan breakthrough tadi. Namun, program vaksinasi masih mempunyai manfaat perlindungan menyeluruh yang signifikan kepada komuniti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini