BAGI yang menghayati frasa Keluarga Malaysia, pastinya merasakan ia adalah suatu konsep yang amat sesuai, tepat dan relevan dengan situasi semasa negara. Dalam ucapan pertama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau menyeru seluruh warga tanpa mengira agama dan kaum untuk saling bersama-sama menggembleng tenaga membina semula negara akibat wabak. Ia umpama semboyan menyuntik semangat perjuangan untuk sentiasa bersama di setiap lapisan masyarakat atau lebih tepat, Keluarga Malaysia.
Kelancaran Pelan Pemulihan Negara melalui konteks Keluarga Malaysia memberi sinar baharu kepada kehidupan komuniti yang teruk terjejas akibat wabak Covid-19. Sebagai contoh, ketua-ketua keluarga berasa kembali bersemangat dan berfungsi untuk menampung semula kehidupan keluarga. Anak-anak pula rasa teruja untuk ke sekolah dan mendaftar di institusi pengajian tinggi masing-masing.
Tidak ketinggalan para pengusaha dan pekerja yang terjejas atau kehilangan pekerjaan berpeluang membaik pulih kehidupan apabila banyak sektor ekonomi dibuka menjelang Oktober nanti. Lihat sahajalah, Pulau Langkawi yang dahulu sunyi kini kembali hidup dengan kunjungan pelancong dari seluruh negara.
Banyak hotel akan kembali beroperasi dan premis perniagaan bakal meriah semula. Genting Highlands, Pulau Tioman dan Bandaraya Bersejarah Melaka juga bersedia menerima ketibaan pelancong dari seluruh negara. Seluruh jiwa komuniti di Malaysia rasa bahagia kerana inilah saat yang ditunggu-tunggu sejak sekian lama terjejas akibat wabak. Mereka kembali berpeluang membawa keluarga keluar untuk beriadah, menikmati udara segar, melepaskan tekanan dan paling penting boleh kembali bekerja untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Seluruh dunia mengharungi pandemik dan kini negara kita sedang beralih ke fasa endemik. Wabak ini dijangka sentiasa muncul dan bilangan kes adalah pada kadar yang stabil serta rendah. Oleh itu, dalam kita bergembira menikmati kelonggaran daripada kerajaan, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) perlu sentiasa dititikberatkan.
Konsep Keluarga Malaysia merupakan suatu kaedah terbaik untuk kita mengharungi fasa endemik. Nilai kekeluargaan dalam konteks Keluarga Malaysia merupakan suatu elemen yang sangat ampuh dan berkesan bagi melindungi diri seterusnya mengekang penularan wabak Covid-19. Nilai-nilai kekeluargaan seperti rasa sayang terhadap keluarga, saling menghormati, bertanggunggjawab, bersabar, bersedia berkhidmat dan menyuburkan budaya komunikasi berhemah adalah antara nilai-nilai mesti dipupuk dalam setiap Keluarga Malaysia tanpa mengira fahaman agama, politik dan bangsa.
Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip Rukun Negara mesti disemat kemas di jiwa komuniti dalam mendukung konsep Keluarga Malaysia. Kepatuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan lima prinsip Rukun Negara adalah tunjang utama atau kod pentadbiran kepada Keluarga Malaysia. Kelima-lima prinsip Rukun Negara ini jika dihayati akan membawa kepada penerapan nilai-nilai murni dalam Keluarga Malaysia. Nilai-nilai murni inilah yang perlu disemai dan diamalkan oleh setiap Keluarga Malaysia tanpa mengira latar belakang agama, jantina, kaum, ataupun sempadan negeri.
AL-QURAN
Pengenalan konsep dan nilai-nilai dalam Keluarga Malaysia amat bertepatan dengan ajaran setiap agama di dunia. Masyarakat Melayu yang berpegang teguh kepada al-Quran mengamalkan nilai iman, amanah, adil, musyawarah, sabar, ihsan, menjaga kehormatan diri, tolong-menolong serta ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan. Masyarakat Cina sememangnya terkenal dengan nilai kesejahteraan, kemakmuran, kebahagiaan dan kekayaan dalam kehidupan berkeluarga. Masyarakat India pula berpegang teguh kepada lima keyakinan atau kepercayaan (Pancasradha).
Konsep Keluarga Malaysia mengikat nilai didikan sempurna melalui pengurusan dalam sesebuah keluarga. Hal ini kerana institusi keluarga adalah unit paling asas dan penting dalam proses pembentukan komuniti. Komuniti sejahtera lahir daripada keluarga yang baik, sihat dan makmur. Nilai-nilai kekeluargaan yang diterap daripada keluarga harmoni ini membantu mengukuhkan hubungan dan memberi kesan positif kepada individu, keluarga dan komuniti. Pembangunan komuniti stabil dan makmur dari segi ekonomi, sosial dan psikologi dapat dibina hasil daripada keluarga yang sihat secara mental dan fizikal.
Jabatan Komunikasi Komuniti, Jabatan Perdana Menteri (DCCJPM) sentiasa di sisi komuniti melalui agenda Penghakupayaan Komuniti. DCCJPM menyokong konsep Keluarga Malaysia melalui perancangan program yang menerapkan budaya berilmu, menggilap bakat dan kemahiran digital serta mengukuhkan semangat cintakan negara dalam kalangan komuniti. Agenda ini untuk membentuk komuniti yang sentiasa berfikir dan bertindak sejajar dengan perubahan dan pembangunan ekosistem sekitaran yang mana mereka adalah sebahagian daripadanya. Kaedah ini dapat menyalurkan idea, mengasah bakat serta daya pemikiran kreatif dan kritis yang telah sedia dimiliki oleh komuniti.
Konsep Keluarga Malaysia juga menyuntik nadi kebersamaan dalam komuniti misalnya komuniti sukan, komuniti petugas barisan hadapan dan seluruh komuniti di Malaysia. Sebagai contoh, semangat kesukanan dalam setiap diri individu diterjemahkan apabila seluruh rakyat memberi sokongan padu kepada para atlet tanpa mengira bangsa dan agama. Para atlet berjuang dengan membawa semangat Demi Malaysia. Kebajikan komuniti petugas barisan hadapan tidak pernah diabaikan apabila pelbagai program amal dilaksanakan sebagai usaha membantu meringankan bebanan mereka yang masih berjuang. Seluruh rakyat turut meraikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dengan semangat Keluarga Malaysia yang prihatin dan bersatu padu walaupun menghadapi cabaran pandemik.
Fenomena semasa masyarakat yang terhimpit dek pandemik telah mencabar keutuhan institusi kekeluargaan di serata dunia termasuk Malaysia. Perubahan cara hidup dengan normal baharu melalui budaya, ekonomi, pendidikan dan politik secara tidak langsung atau sedikit sebanyak mempengaruhi kualiti perhubungan suami-isteri, anak-anak dan ahli keluarga lain. Kejayaan atau kegagalan sesuatu komuniti bergantung kepada kejayaan atau kegagalan setiap institusi keluarga yang berada di dalamnya.
Kesimpulannya, konsep Keluarga Malaysia harus menjadi falsafah pengurusan negara yang diikat oleh Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Ia menjadi roh dan pengikat kepada semangat kebersamaan dalam keluarga, komuniti dan negara. Berbanggalah kita apabila masyarakat dunia mengenali bumi tercinta ini melalui nilai-nilai yang tersemat dalam Keluarga Malaysia.
DATUK Seri Dr. Junaidy Abu Bakar ialah Ketua Pengarah, Jabatan Komunikasi Komuniti, Jabatan Perdana Menteri.











