Acuan baharu iron lady UiTM - Utusan Malaysia

Acuan baharu iron lady UiTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) buat pertama kali mempunyai Naib Canselor wanita, iaitu PROFESOR DR. ROZIAH MOHD. JANOR. Pastinya ramai yang mahu melihat bagaimana acuannya dalam menentukan dasar dan pengurusan di seluruh 35 kampus universiti terbesar itu di negara ini. Sudah semestinya tugas mencabar ini memerlukan kemampuan seorang wanita bertaraf iron lady.

Pelantikan beliau sebelum ini diuji dengan pelbagai cabaran membabitkan kuasa politik sehingga ditangguhkan. Namun, itu hanyalah cabaran pertama, sebaliknya beliau perlu mengetuai seluruh sistem dengan jumlah kakitangan seramai hampir 18,347 orang dan 172,659 mahasiswa.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD ATHIR ISMAIL dan jurugambar, AFIQ RAZALI, Roziah menerangkan dasar diperkenalkannya, Keluarga UiTM dalam mencapai 200,000 jumlah mahasiswa dan menjadi antara yang terkemuka di dunia menjelang 2025.

UTUSAN: Apa status terkini UiTM, sebagai universiti pemindahan teknologi atau universiti kajian atau mungkin kedua-duanya?
ROZIAH: Ini soalan cepumas, tapi saya suka. Sebenarnya kalau ikut kementerian, kita diletakkan di bawah kategori universiti komprehensif bersama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Universiti komprehensif ini memang berpatutanlah mereka kategorikan UiTM di bawah itu. Sebab program kita di bawah sains dan teknologi, pengurusan dan perniagaan serta sains sosial dan kemasyarakatan. Itu yang dikatakan komprehensif.

Saya rasa dalam ucapan saya dahulu, apa yang penting kita mesti ada keupayaan membuat kajian. Pada saya itulah, bagaimanapun UiTM fokus macam kementerian minta apa niche (bidang). Apa niche kita?

Kita tengok, fikir balik, sebenarnya UiTM fokusnya adalah kejuruteraan sosial. Kita hendak menjuruterai sosial dari dahulu, ada logik. Dari 1996 sampailah sekarang, itulah kerja kita, menjuruterai bumiputera tetapi kena melalui pendidikan.

Sebelum ini ada program Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB) untuk mencapai sasaran 200,000 mahasiswa.

Apa dasar baharu untuk meningkatkan pengambilan mahasiswa?
Saya ada sebut dua perkara dalam ucapan pertama saya sebelum ini. Nombor satu, untuk 200,000 orang mahasiswa (sasaran) kita akan teruskan. Sebenarnya sasaran 200,000 ini sudah lama dahulu kita tetapkan. Saya akan meneruskan untuk mencapai 200,000, sekarang ini masih dekat 170,000 ke 179,000.

Pada 2010, kita ada beberapa strategi dan paling ramai orang nampak seperti disebut tadi, MDAB. Kini strategi itu masih dikekalkan, apa yang kita panggil Pra Pendidikan Tinggi (PPT). Jadi, maknanya untuk program pra, itu pun kita ada sasarkan sebanyak daripada sekarang daripada 3,000 menjadi 6,000 pengambilannya.

Namun demikian, selebihnya itu kita mengekalkan strategi kita dahulu untuk pascasiswazah. Kini kita ada diploma 70 peratus, 20 peratus untuk sarjana muda dan 10 peratus lagi adalah master (sarjana) dan kedoktoran yang sudah pun dilakukan sejak zaman Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah (bekas Naib Canselor).

Kita sudah membentuk satu dasar baharu dalam Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang mana kita panggil untuk golongan yang tak terwakili (unrepresented).

Contohnya, orang kurang upaya (OKU), atlet dan banyak lagi termasuk suri rumah.

Pengambilan mahasiswa sehingga 200,000 adalah satu jumlah yang besar. Bagaimana persediaan UiTM? Adakah kampus baharu akan dibina?
200,000 seperti yang saya kata tadi, kita sebenarnya sudah lama dan penubuhan ataupun kewujudan kampus-kampus baharu sebenarnya sudah berlaku.

Boleh saya katakan tak ada (kampus baharu). Untuk pengetahuan umum, ada 35 kampus bagi menempatkan sejumlah hampir 200,000 orang mahasiswa nanti.

Dari sudut kemudahan, dalam konteks pandemik, kemudahan paling utama sekali adalah Pembelajaran Jarak Jauh Dalam Talian (ODL). Jadi, sudah tentu guna internet. Kita memang masih lagi belum seratus peratus, tetapi ada beberapa kampus yang sudah mencapai seratus peratus dari segi kapasiti capaian.

Dari sudut limpahan ekonomi pula, sejak 2007 kita buat kajian itu. Sekarang pada 2020 pun kita ada buat satu lagi kajian. Memang nampaklah, cuma kajian pada 2020 saya gunakan satelit NASA menerusi Sistem Maklumat Geografik (GIS) sebab kita hendak memastikan betul ke UiTM, capai ke tidak misi universiti itu?

Saya berani katakan, kita capai. Maknanya kita ada data dan fakta menunjukkan misi UiTM kita wujudkan bagi memberi ruang dan peluang kepada golongan bumiputera untuk pergi ke bidang sains dan teknologi serta kajian dan kita memang buktikan ada impak limpahan ekonomi.

Ada tawaran baharu kepada bakal mahasiswa UiTM?
Kita ada kira-kira 550 program sekarang. Yang kita katakan UiTM sudah lama menjalankan semakan kurikulum dan juga pembangunan program, jadi kita ada satu unit urus itu sahaja. Maknanya fakulti ataupun kampus yang hendak buat program baharu, mereka akan melalui Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (INQA).

Bidang yang ditawarkan memang berubah-ubah tetapi yang sohor sekarang ini adalah digital, big data, kecerdasan buatan (AI) dan kita baru-baru ini membangunkan satu program pelbagai disiplin sebab kita baharu sahaja mencantumkan kembali empat fakulti kejuruteraan di bawah satu Kolej Kejuruteraan.

Kursus baharu yang dalam perancangan setakat tahun ini adalah 12 kursus. Kita ada sasarannya, cuma dalam proses. Tetapi kita tak boleh 12 kursus itu dijalankan serentak kerana ia akan mengambil masa yang lama juga. Sekarang ini saya cuba untuk singkatkan masa penawaran itu.

Bagaimana pengurusan UiTM mengimbangi tanggungjawab pensyarah dengan jumlah mahasiswa yang ramai?
Sebenarnya walaupun kita dalam keadaan semua buat ODL, saya bersyukur kepada Allah SWT, ada hikmah di sebaliknya. Sebab orang kata untuk memudahkan kerja saya, macam mana untuk mengimbangi tanggungjawab mengajar dan membuat penyelidikan.

Sebab teknologi itu ada, bayangkan sebelum pandemik pada Mac 2020, kita hendak minta pensyarah pergi dalam talian untuk gunakan kita punya sistem UFuture itu, Allahuakbar… liat, susah.

Perancangan kita sampai 2025, memang kita hendak ke arah hibrid, dalam talian dan sebagainya. Tetapi bila berlaku pandemik Covid-19, dalam masa dua minggu kita break, diberi cuti. Kita kata, mesti ke arah hibrid (online).

Saya hendak sebut perkara baharu, dasar kita adalah kita benarkan pembelajaran kolaborasi. Maksudnya kita ada 35 lokasi kampus dan awak tahu, bila belajar dalam kampus di Melaka contohnya, tetapi ada dekat sini kursus seperti CTU (Pendidikan Islam) ataupun perakaunan, seluruh Malaysia ada kursus berkenaan.

Tetapi kita ada dasarlah, kita buat perkara itu kita panggil kolaborasi bilik darjah dan juga kampus mobiliti.

Sudah dua semester kita laksanakan kampus mobiliti. Contohnya, mahasiswa belajar di kampus Sarawak, tetapi dia ada dekat Semenanjung. Tak perlu balik Sarawak, dia pergi kelas secara dalam talian atau tumpang kursus dekat mana-mana (kampus) tak perlu balik.

Jika dibandingkan dengan universiti lain, adakah mahasiswa dan pensyarah di UiTM mempunyai tanggungjawab yang lebih?

Kalau kata sama atau tidak, macam inilah, dekat mana-mana universiti pun pada saya sama sebenarnya.

Cuma dari segi kredit itu translasinya mungkin sedikit berbeza. Kalau kita ikut Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), satu kredit bersamaan 40 jam masa mahasiswa belajar. Ini mereka pergi bersemuka sekian waktu. Jadi kalau tiga kredit, 42 jam macam itu, mereka pergi secara bersemuka.

Cuma mungkin lebih sedikit bila kedalamannya itu, kita semaklah kurikulum. Cuma pada saya tugasan pensyarah sama sahaja sebab tugasnya. Tugas pensyarah adalah mendalami ilmunya.

Tetapi bila kita hendak mendalami ilmu, kita hendak berikan kepada mahasiswa ilmu yang ada pada kita. Mahasiswa pula hendak terima apa yang kita ajar. Jadi, dekat mana-mana universiti, tanggungjawabnya sama.

Bagaimana UiTM bersedia dan bersifat resistant (menentang) dan resilient (mudah pulih) untuk menghadapi sebarang krisis selepas ini?
UiTM sudah lama bertatih menghadapi situasi krisis seperti banjir dan sebagainya sebab kita ada dekat semua lokasi, pandemik ini memang tak jangka. Situasi pandemik sekarang, kita sudah wujudkan Jawatankuasa Operasi Bencana Shah Alam (JOPBSA) bagi Shah Alam dan Jawatankuasa Operasi Bencana Negeri (JOBN) bagi kampus di negeri-negeri.

Perancangan kami, kita cuba yang terbaik. Apa-apa berlaku kementerian akan berikan arahan apa perlu buat dan pasukan tadi akan bertindak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN