Mengintai persada kuasa - Utusan Malaysia

Mengintai persada kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RISAU bila seorang rakan saya, tepatnya profesor di sebuah universiti menyatakan begini: “Rata-rata kita pun tahu, maklum…orang Melayu mempunyai ingatan politik yang amat singkat. Buat apa susah-susah…”

Beliau tidak meneruskan ayatnya itu. Dan bertambah risau pula saya bila pergolakan politik yang sedia terpampang depan mata hari ini kelihatan dipandang sepi. Seolah-olah tidak ‘dipantau’ oleh orang Melayu. Tentu disebabkan tumpuan mata, telinga dan hati lebih menghala pada kebimbangan penularan Covid-19 yang sedang menggila.

Hakikat sebenarnya, kemelut politik yang membadai parti-parti Melayu di Malaysia waktu ini kian parah. Sehinggakan jika tiada usaha segera dibuat, nescaya Malaysia bertambah buruk ekonominya.

Jawatan Perdana Menteri (PM) begitu diidamkan. Ia punca kuasa yang direbut semua parti khususnya UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PKR. Pemilihan PM dalam kalangan pemimpin Melayu terutamanya UMNO lebih enam dekad, sebelum dipecahkan dominasi itu oleh dua pemimpin dari Bersatu yang mengisinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad (10 Mei 2018) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (1 Mac 2020) – lebih merupakan satu tradisi politik. Dan bukan peruntukan undang-undang kerana Artikel 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan bangsa, agama atau keturunan sebagai suatu ketetapan kepada pemimpin politik untuk dilantik PM atau Timbalan Perdana Menteri (TPM). Sejak 1955, hanya bangsa Melayu dilantik sebagai PM boleh diperdebatkan. Namun, memandangkan bangsa Melayu merangkumi lebih daripada 61 peratus penduduk negara, perkara itu tidak dipersoalkan. Tetapi dapat dijelaskan melalui sejarah negara ini terutamanya pada aspek-aspek berkaitan nasionalisme tempatan.

SI KITOL

Kedudukan PM dan Artikel 43 Perlembagaan memberi petanda betapa pentingnya isu perlembagaan ini. Ia bukanlah menjadi salah satu sebab mengapa Kabinet merupakan pentadbir tertinggi dalam kerajaan, tetapi disebabkan juga satu amanah daripada rakyat melalui pilihan raya umum serta mewakili Yang di-Pertuan Agong yang menjadi lambang entiti berdaulat tertinggi rakyat.

Budaya mengharapkan kuasa sebenarnya begitu tebal dalam kalangan orang Melayu. Barang siapa pegang kuasa, dia boleh survive. Bak penangan Si Kitol dan Raja Mendeliar ketika zaman Kesultanan Melaka. Buat onar jadi tali barut, gunting dalam lipatan sehinggakan bukan sahaja Bendahara Tun Mutahir dibunuh, bahkan hancur lebur Empayar Melaka ditakluki Portugis pada 1511.

Siapa yang ada kuasa atau pegang tali PM waktu ini, mahu tidak mahu orang Melayu akan ikut. Semasa zaman pendudukan tentera Jepun di Malaya (1941-1945), ada orang Melayu menjadi kempeitai Jepun – perisik atau spy tentera Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita. Begitu ramai, bukannya sedikit.

Maka ‘tak heranlah’ kita dengan gelagat orang politik hari ini. Sanggup lompat parti, membelakangi parti yang meletakkan mereka sebagai calon pilihan raya, kemudian menang tetapi bila diminta tunjukkan kesetiaan, tiba-tiba jawatan dan kepentingan peribadi pula menjadi ukurannya.

Orang Melayu mudah mengisi kekosongan selagi mana ia berkaitan dengan kuasa. Tidak kisah kuasa peringkat apa pun. Semasa zaman penjajahan British, ramai orang Melayu ‘lebih Inggeris dari Inggeris’ dalam ministrial administrative dan pemerintahan darurat.

Bangsa kita boleh buat apa sahaja asalkan tampuk kuasa bersama dalam sistem. Demikianlah juga UMNO yang meski kalah pilihan raya, kemudian masuk kerajaan, diberi jawatan menteri kanan dan terbaharu satu lagi menteri kanan serta ditingkatkan hierarki ke jawatan TPM, ia masih sukar memuaskan hati kerana pemilik jawatan PM masih lagi bukan dari UMNO yang menguasai kerusi parlimen terbanyak, 38 (+BN=42).

Bahkan, ketidakpuasan hati merebak menjadi risiko – jika tidak dikendalikan dengan baik pengurusan pergolakan dalaman UMNO, akan ramai lagi leftenan parti itu terlepas jatuh ke tangan lawan.

Persoalan juga dibangkitkan, siapa lebih dipercayai ahli-ahli UMNO? Adakah kumpulan 11 diketuai Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang enggan bersama Perdana Menteri atau Kumpulan 21 dikendalikan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob? Setakat ini, kecuali dua menteri, kesemua menteri dan timbalan menteri UMNO mahu bersama ‘No. 1.’

KEPOMPONG KUASA

Sejak merdeka 1957 sehinggalah parti itu tumbang 9 Mei 2018, UMNO tidak pernah keluar dari kepompong kuasa sebagai PM. Jawatan ketua kerajaan itu sudah jadi ‘tulang belulang dan urat’ UMNO. Parti itu tidak boleh survive tanpa kuasa sehingga dikatakan “tidak ada pemimpin politik yang sanggup bertahan lasak tanpa kuasa. UMNO mesti bersandarkan kuasa bertangankan PM sebab jawatan itu sudah menjadi darah daging UMNO.”

Begitupun lawan UMNO bukan kaleng-kaleng meskipun tidaklah usul undi percaya meletakkan penyandang di tampuk kuasa. Sebaliknya tetap juga SD (akuan berkanun) kayu ukurnya.

“Saya mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen daripada (banyak) parti antaranya Bersatu, Barisan Nasional, Pas, GPS, STAR, PBS dan MIC. Hampir 12 parti kalau tak silap.

“Antara yang paling awal menyokong saya ialah Presiden Pas, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang. Beliau orang pertama tandatangan SD. Terima kasih saya ucapkan,” kata empunya diri, 1 September tahun lepas.

Demikian realiti politik. Ada kalanya lunas logik tidak dipentingkan. Kebanyakan yang jadi ikutan ialah sentimen semerta. Ikut kata Niccolò Machiavelli (1469-1527), matlamat menghalalkan cara. Ikut sindiran Bob Hope, seorang penghibur Hollywood, katanya: “Ada beberapa ahli politik telah memberi ucapan-ucapan yang baik dan meyakinkan hinggakan perjalanan mereka ke neraka ditunda di antara syurga dan neraka.”

Ada benarnya kata-kata usang – tuah ayam pada tajinya, tuah manusia siapa tahu. Berselisih faham, kawan jadi lawan, lawan jadi kawan – ah! lumrah dalam politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×