Kehidupan manusia di muka bumi ini jika dilihat dari segi sunnatullah dan kelangsungannya sentiasa mengalami perubahan. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah al-Rum ayat 54 melalui firman-Nya yang bermaksud: “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dialah jua yang Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.” Firman Allah ini merupakan suatu peringatan agar manusia sentiasa menyedari perubahan keadaan fizikal diri masing-masing merupakan suatu hakikat yang harus diterima tanpa sebarang bantahan dan pertikaian.
Perubahan diri bukan dilihat dari aspek fizikal semata-mata, turut penting perubahan sikap dan anjakan paradigma manusia itu sendiri. Oleh yang demikian, Islam menganjurkan anjakan diri daripada tidak baik kepada baik dan daripada baik kepada yang lebih baik. Keadaan ini merupakan salah satu manifestasi konsep hijrah yang wajar dihayati dalam diri setiap umat Islam.
Justeru, kerajaan memperkenalkan tema Ma‘al Hijrah 1443H/2021M pada tahun ini iaitu Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti yang sangat signifikan kepada umat Islam di negara ini. Walaupun kita masih berdepan dengan kemelut pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu, tema ini bagaikan suatu motivasi kepada ummah untuk sentiasa berjiwa besar dalam mendepani apa jua keadaan dan situasi sukar.
Rabbani bukan sahaja bermaksud sesuatu yang berkait dengan nilai ketuhanan, ia juga membawa pengertian lebih luas meliputi pelbagai aspek kehidupan. Setiap amalan insan dalam kerangka konsep rabbani bermaksud sebarang perbuatan atau pertimbangan seseorang individu dengan menjadikan Allah SWT sebagai pedoman dan sumber petunjuk utama di dalam kehidupan seharian. Manhaj rabbani membawa maksud bagaimana cara atau jalan untuk menjadikan ummah meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dan panduan dalam segala amalan, perbuatan dan matlamat hidup serta diniatkan semata-mata kerana-Nya.
Dasar manhaj rabbani yang diperkenalkan kerajaan berpaksikan kepada tiga ciri utama iaitu thaqafah (keilmuan), ruuhaniyyah (kerohanian) dan dakwah (aktivisme). Usaha pengenalan kepada dasar ini merupakan inisiatif untuk meletakkan tadbir urus negara berasaskan kepada maqasid syariah bagi membawa hala tuju bersama dalam memacu pentadbiran Islam di negara ini. Teras kepada dasar ini jelas bertujuan mencapai objektif untuk melahirkan insan, organisasi dan negara rabbani berasaskan kepada tujuh prinsip utama iaitu rahmat, aman, bertuhan, bakti, adil, nurani dan insani.
TUJUH PRINSIP
Tujuh prinsip ini diterjemahkan mengikut tujuh keutamaan di bawah bidang pengukuran i-MaqSD. I-MaqSD merupakan integrasi maqasid syariah dengan sustainable development goals (SDGs) adalah inisiatif dan inovasi baharu tadbir urus yang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merangkumi perundangan dan kehakiman syariah, pendidikan dan pembangunan insan, sosioekonomi ummah, dakwah dan media, institusi masjid, kepimpinan dan tadbir urus serta penyelidikan dan kefatwaan.
Maqasid syariah adalah satu disiplin ilmu yang dikembangkan oleh para ulama untuk kita memahami tujuan suatu pensyariatan itu diturunkan. Namun, pada masa kini ia bukan lagi satu disiplin ilmu yang khusus bagi ahli usul fiqh, bahkan ia turut didedahkan kepada masyarakat awam sebagai panduan melaksanakan sesuatu berteraskan syarak. Apabila dikaitkan dengan tadbir urus Islam, maqasid syariah merupakan satu sistem nilai dan standard amalan dalam sistem pembangunan sesebuah negara dan pembangunan modal insan.
Ummah yang meletakkan ciri rabbani sebagai keutamaan dalam cara hidup sudah semestinya dapat menjalani kehidupan berkualiti. Al-Quran dan hadis sentiasa dijadikan rujukan utama dalam kehidupan di dunia bagi menjamin kejayaan hakiki di akhirat. Malahan jika dikaji dari sudut sejarah, tamadun Islam tidak bertitik tolak atau bermula seperti tamadun lain, iaitu menjadikan kawasan sungai sebagai asas kehidupan material. Sebaliknya, pencetus kemunculan tamadun Islam adalah berasaskan kewajiban agama dengan menuntut ilmu.
Masyarakat berminda kelas pertama merujuk kepada masyarakat yang berpengetahuan, mampu berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan mampu menghayati dan menghargai sejarah negara, budaya, bangsa dan agamanya. Asas kepada usaha memupuk minda kelas pertama adalah berteraskan keupayaan meningkatkan ilmu pengetahuan seterusnya menggerakkan kreativiti dan inovasi mereka.
Kita tidak hanya semata-mata memandang pembangunan fizikal sebagai ukuran kemajuan sesebuah masyarakat, tetapi juga kekayaan mentaliti. Selain itu, kekayaan moral turut mustahak meliputi aspek akhlak mulia, nilai murni, budi bahasa, integriti, beretika dan beriltizam tinggi. Kesemua ini memainkan peranan penting dalam pembentukan masyarakat yang berkualiti dan seimbang antara jasmani, emosi, rohani dan intelektual serta berupaya untuk menghadapi rintangan tanpa berkeluh-kesah kerana yakin segala yang berlaku termasuklah wabak pandemik Covid-19 yang kita hadapi kini adalah qadak dan qadar daripada Allah yang mengandungi 1,001 hikmah tersembunyi.
Umat Islam harus bangkit dan berupaya menjadi umat yang dihormati dan disegani di seluruh dunia. Sehubungan itu, kisah-kisah kejayaan atau inovasi yang dihasilkan oleh umat Islam dalam pelbagai bidang seperti keagamaan, sains perubatan, sains dan teknologi, kejuruteraan serta pembangunan insan wajarlah diketengahkan. Untuk melahirkan ummah hebat dalam melaksanakan amanah sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi ini, maka ia memerlukan kepada penghayatan setiap individu berprinsipkan manhaj rabbani.
Datuk Abdul Aziz Jusoh ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).










