Keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang menarik balik dan menamatkan serta-merta sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Perdana Menteri menggegarkan seketika politik negara.
Begitupun, setelah diamati dengan teliti, maka didapati gegaran ini sebenarnya tidaklah membawa politik negara kita ke mana-mana kerana ia tidak disertai dengan sebarang arahan untuk diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan.
Ia akhirnya dianggap keputusan tidak bergigi yang tidak membawa apa-apa kesan pun ke atas kedudukan kerajaan kerana ia bukan bersifat ‘serta-merta’ tetapi hanyalah satu panduan umum jika berlaku sebarang pengundian ketika sidang Parlimen nanti.
Itupun, seperti tular video ucapan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di akhir mesyuarat MKT UMNO ini, dan dalam kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, ahli-ahli Parlimen UMNO boleh menggunakan budi bicara mereka.
Bila keputusan ini dibuat di sebalik pengorbanan yang dilakukan oleh Muhyiddin, maka imej baharu yang terpalit di muka UMNO adalah imej parti yang tidak bersyukur, tidak setia, tidak mengenang budi, pemecah ummah dan tamakkan kuasa.
Memetik kata-kata Ketua Penerangan Pas, Kamaruzaman Mohamad pada 24 Mac lalu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah berkorban dengan keluar daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan jika ia ditinggalkan, maka pihak yang meninggalkan akan dilihat sebagai rakan tidak setia.
Budi Bersatu kepada UMNO memang banyak, termasuk mengorbankan jawatan Menteri Besar dan Ketua Menteri di Johor, Perak dan Melaka, dan paling mutakhir mengetepikan pemimpin Bersatu untuk melantik Timbalan Perdana Menteri dari UMNO.
Keputusan MKT UMNO ini juga telah dikritik kerana dikatakan menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong agar ahli-ahli politik tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
Paling teruk ialah bila ia juga dikatakan menyerlahkan imej UMNO sebagai parti yang tamakkan kuasa yang obses dengan frasa UMNO dilahirkan untuk memimpin serta dengan hasrat kembali menjadi dominan dan menerajui negara.
Imej ini jelas tertonjol dalam kata-kata seorang ahli MKT UMNO ketika mesyuarat itu bahawa keputusan tersebut perlu dibuat sekarang tatkala pandemik Covid-19 belum reda kerana UMNO tidak akan mendapat laba politik jika ia sudah reda.
Disebutkan juga betapa jika semua 42 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bersatu, tiada siapa yang boleh menghalang UMNO daripada menjadi Perdana Menteri di mana ia terungkap di dalam ungkapan popular, we can have the Prime Minister tomorrow.
Mentaliti UMNO dilahirkan untuk memimpin serta UMNO perlu kembali menjadi dominan dan menerajui negara ini menyerlahkan kesombongan intelektual yang akan menjauhkan pihak lain yang turut berhak dan layak untuk diberi peluang memimpin.
UMNO perlu segera menyelesaikan dilema yang dihadapinya kerana ia sudah tidak lagi hidup dalam era keemasan sistem parti dominan dan untuk terus berdaya maju, ia mesti segera belajar menerima kedinamikan politik pakatan serta mengubah perilakunya.
NARATIF LAMA
Ungkapan we can have the Prime Minister tomorrow adalah simbol kepada naratif lama parti dominan yang sudah semakin menghilang dari peta dunia, termasuk di Indonesia, Jepun, India dan Mexico, malah di Malaysia juga sejak berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ya, UMNO mungkin boleh menjatuhkan Perdana Menteri dari Bersatu tetapi untuk mengharapkan kejatuhan ini digantikan oleh Perdana Menteri dari UMNO dengan dukungan parti-parti induk yang menunjangi kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah agak mustahil.
Apa yang berlaku di Perak bila Menteri Besar dari Bersatu digantikan dengan Menteri Besar dari UMNO dengan dukungan parti-parti induk yang menunjangi kerajaan negeri PN tidak mungkin berulang di Putrajaya kerana suasananya jauh berbeza.
Desakan begini yang tidak disertai dengan sebarang arahan untuk diterjemahkan ke dalam bentuk tindakan sekali gus menyebabkan ahli-ahli Parlimen UMNO terus tercokol dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin adalah tindakan tidak beretika.
Ia adalah manifestasi kepada sindrom ‘hidup di dua alam’ atau ‘main di dua kolam’ yang menimbulkan keraguan besar ke atas prinsip kesetiaan, kepercayaan dan kebertanggungjawaban bersama mahupun unsur sabotaj dalam kerajaan.
Pemimpin UMNO perlulah lebih berwaspada supaya tidak menjadi seperti peribahasa, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Bagaimanakah nasib UMNO jika selepas ahli-ahli Parlimen UMNO menarik diri, tiba-tiba ahli-ahli Parlimen yang berada di luar pula menyertai kerajaan PN atas faktor dahulu kami menentang kerajaan PN kerana adanya kluster mahkamah sahaja?
Sebab itulah masih belum terlambat untuk UMNO memikirkan kembali secara lebih tenang, lebih rasional dan lebih sistematik pendekatan politiknya kerana sekiranya UMNO mahu kekal bersendirian dalam PRU-15, nasib pastinya tidak menyebelahi mereka.
Tambahan pula dengan tersebarnya audio rakaman seorang ahli MKT UMNO yang dikatakan merupakan Pengarah Pilihan Raya UMNO sewaktu mesyuarat MKT UMNO itu yang menyebut jentera pilihan raya UMNO belum bersedia untuk menghadapi PRU-15.
Sebab itulah juga kekhuatiran bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad pada 8 Julai lalu bahawa tindakan UMNO itu akan menyerah balik kerajaan kepada PH semula sekali gus menyebabkan akan munculnya pak pandir moden perlulah difikirkan.
Sebaliknya, lebih wajar jika UMNO menggunakan peluang berada dalam kerajaan sekarang untuk memperkukuhkan kedudukannya, apatah lagi dengan kuasa, pengaruh dan sumber yang jauh bertambah banyak bila kini memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
Ini jauh lebih baik daripada menjadikan masa depan Mufakat Nasional (MN) dan BN di awang-awangan dengan membuat satu keputusan tidak dirunding terlebih dahulu bukan sahaja dengan ahli-ahli Parlimen BN tetapi juga dalam Jawatankuasa Induk MN dan Dewan Tertinggi BN.
Dr. Kamarul Zaman Yusoff ialah Timbalan Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar) dan Setiausaha Pertubuhan Cendekiawan Negara (Cendekiawan).










