Segera menang lawan virus - Utusan Malaysia

Segera menang lawan virus

-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEPERTI kita semua tahu, kerajaan melaksanakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara berfasa bagi mengekang pandemik Covid-19.

Prosedur operasi standard (SOP) bagi PPN fasa satu adalah paling ketat apabila penduduk di negeri-negeri terlibat dilarang merentas negeri dan daerah.

Dua orang sahaja wakil isi rumah dibenarkan keluar untuk mendapatkan bekalan makanan, ubat dan keperluan asas lain dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman dan bilangan itu ditambah kepada maksimum tiga orang jika perlu menjalani ujian saringan dan vaksinasi.

Walaupun langkah ini boleh mengurangkan kes-kes jangkitan, tiada jaminan keadaan itu akan berkekalan apabila larangan-larangan yang dikenakan dalam PPN fasa satu ditarik balik suatu masa nanti. 

Berapa lama lagi kita akan mencari penyelesaian lapisan ‘permukaan’, sekali gus menghasilkan keputusan bersifat sementara, singkat atau kejayaan yang kecil.

Apa yang kita perlukan adalah tumpukan kepada program vaksinasi dan mempercepatkan usaha mencapai sasaran imuniti kelompok.

Sejak 12 Julai lalu, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya merekodkan pemberian dos harian sebanyak lebih 400,000 dos hampir setiap hari. Usaha oleh kerajaan menyediakan cahaya di hujung terowong yang panjang dan gelap.

Walaupun vaksin bukan penyelesaian mutlak untuk menewaskan ancaman Covid-19, pengalaman dilalui negara-negara yang sudah memberi suntikan kepada peratusan besar rakyat mereka seperti United Kingdom, Bahrain dan Israel menunjukkan pelalian itu berjaya membawa semula kehidupan kepada norma lama ketika sekatan pergerakan tidak mampu menjayakannya.

Hakikatnya, dalam aspek melindungi hidup dan kehidupan, tiada situasi ‘menang-menang.’ Kita masih dalam perang menentang musuh yang tidak kelihatan dan dalam apa juga situasi perang, pasti akan ada kerosakan.

Menjadi tugas kita untuk membendung kerosakan itu daripada menjadi lebih buruk, sekali gus memastikan kemenangan menentang virus berbahaya ini dapat dicapai dengan seberapa segera.

SYED RADZI ABDUL RAHMAN, Alor Setar, Kedah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya