APABILA bekas Perdana Menteri dan negarawan memberikan kenyataan bahawa dunia Islam perlu melawan Israel adalah amat menarik untuk dihayati. Bagaimana dunia Islam ingin melawan Israel andai kata pempolitikan dan perbalahan sesama umat Islam tidak pernah kunjung padam. Pemimpin politik Islam terlalu mementingkan kuasa dan takhta daripada memikirkan untuk membangunkan ketamadunan dunia Islam. Terdapat pula sebahagian masyarakat Islam terlalu menunggu Imam Mahdi sehingga tiada pembangunan dari segi keilmuan dunia sains dan teknologi.
Dunia Islam perlu sedar, untuk melawan Israel, umat Islam sendiri perlu dilengkapi dengan ilmu sains dan teknologi. Malahan pemimpin politik Islam perlu berlapang dada, berjiwa besar dan berakidah konteks akhlak Islam. Bukannya menggunakan agama untuk laba politik dan akhirnya sebahagian besar umat Islam menderita. Kita perlu melihat dasar dunia Islam hari ini ingin kembali berjihad untuk menubuhkan sebuah negara khalifah Islam tetapi mundur dari segi ketamadunan sains dan teknologi. Banyak negara Islam hari ini amat bergantung kepada dunia Barat dari konteks kewangan hinggalah peralatan perang. Adakah dunia Islam hari ini dapat membina sesuatu teknologi yang melangkaui dunia Barat dan Israel?
Mutakhir ini, ramai golongan kapitalis Barat meneroka angkasa lepas. Dorongan individu jutawan meneroka angkasa lepas adalah disebabkan terdapat beberapa bahan mineral yang banyak di bulan dan Marikh. Perlombongan di bulan masih terbuka luas. Bahan-bahan mineral yang dijumpai di bulan adalah teramat penting dan jarang dijumpai di bumi. Bahan-bahan mineral tersebut mampu menguatkan dan memperkasakan bahan-bahan seramik getah seperti anorthite. Anorthite adalah dari kumpulan Feldspar yang mampu bertahan suhu tinggi dan tidak mudah lebur. Bahan-bahan ini amat diperlukan dalam pembuatan peralatan tenaga diperbaharui. Tenaga diperbaharui adalah satu tenaga yang mesra alam, tidak tamat luput masa dan selamat digunakan.
Ini merupakan satu kelebihan bagi tamadun manusia jika ingin meneroka angkasa lepas. Penggunaan kapal angkasa yang menggunakan tenaga diperbaharui menyebabkan enjin kapal angkasa dapat berfungsi selamanya dengan selamat.
Pengemudian kapal angkasa mahupun kapal terbang atau kapal tidak perlu lagi menggunakan khidmat manusia. Melalui teknologi kuantum internet, kefungsian pengemudian arah tuju boleh dilaksanakan oleh kecerdasan buatan dengan arahan manusia secara fizikal dalam bentuk alam maya. Ini menjurus kepada pengurangan kemalangan dan pengurangan penggunaan manusia dalam alam nyata.
DAJAL
Teknologi kuantum internet kini sedang dibangunkan oleh negara-negara Barat termasuk Israel, China dan Rusia. Apa yang berlaku di dunia Islam, tiada satu usaha dan tindakan untuk menguasai kepakaran bidang tenaga diperbaharui, teknologi kuantum internet, kecerdasan buatan mahupun penerokaan angkasa lepas. Jika keempat-empat bidang ini tidak diambil peduli oleh negara-negara Islam, bermakna telah meninggalkan satu usaha oleh negara-negara bukan Islam dalam tindakan membina satu fasa ketamadunan baharu untuk kehidupan manusia. Bahkan yang menyedihkan di Afghanistan, Taliban sendiri telah memusnahkan bekalan elektrik dan infrastruktur internet yang dianggap sebagai teknologi penguasaan konspirasi dajal di wilayah mereka kuasai semula daripada Amerika Syarikat.
Pendidikan sains dan teknologi dalam kalangan negara-negara Islam pada hari ini berada pada tahap lemah dan tidak berkembang dengan pesat. Permasalahannya, dunia Islam lebih menyukai sentimen agama dan politik daripada memikirkan bagaimana untuk membina sebuah ketamadunan yang jauh mengatasi ciptaan ketamadunan dunia Barat yang dikatakan dipelopori oleh Israel.
Jika benar dunia Islam ingin bangkit semula melawan Israel terutama di negara kita, persoalan yang perlu dijawab adalah bagaimana kita dapat mengelak perbalahan sesama umat Islam dari segi fahaman politik dan kepartian? Mampukah kita duduk semeja berbincang untuk kepentingan ummah dengan melupakan hakikat apa sahaja kesalahan dan kebencian yang terdapat dalam nurani antara kita? Jika ini tidak mampu dibuat, adakah kita bersedia menerima apa sahaja tindakan yang dibuat oleh pihak yang dibencikan itu dengan berlapang dada? Memaafkan adalah mudah tetapi melupakan adalah sukar dan akhirnya menjadi duri dalam daging setiap kali proses usaha membangunkan negara menjadi gagal.
Sistem pendidikan kita juga perlu menumpukan soal pembangunan dan penerokaan ke atas kebidangan sains dan teknologi yang baharu. Bukannya hanya sekadar mengejar ranking dan mengikut acuan yang telah dibentuk oleh dunia akademik Barat. Peliknya, projek yang dipertandingkan menang sana sini, artikel diterbitkan dalam jurnal yang hebat-hebat, tetapi tidak ke mana. Di mana salahnya? Nak ke angkasa pun menumpang, mampukah kita ke bulan mencari mineral seperti dilakukan Israel? Nak lawan macam mana?
Dunia pendidikan kita perlu keluar dari pemikiran kotak untuk memikirkan bagaimana hendak menciptakan ketamadunan masyarakat yang lebih baik daripada sistem Barat. Jika dunia pendidikan masih berada pada takuk meniru dan mengaplikasikan setiap model dari Barat ke dalam masyarakat kita, maka jawapannya ialah kita akan gagal membina satu tamadun yang lebih baik daripada dunia Barat. Kenapakah kita perlu sentiasa melihat setiap model dari dunia Barat dan tidak mengkaji untuk membentuk satu model sistem kehidupan yang sesuai dan lebih baik?
Sudah sekian lama, dunia pendidikan kita meniru atau memplagiat sistem model pendidikan dari dunia Barat yang akhirnya gagal membangunkan modal insan berjiwa jati diri negara ini. Akhirnya kita gagal melahirkan insan yang sepatutnya lebih baik daripada kita. Jika ini gagal maka bagaimana dunia Islam mampu melawan Israel mahupun dunia Barat.
Profesor Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah ialah Pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM).











