Misi mencapai imuniti kelompok - Utusan Malaysia

Misi mencapai imuniti kelompok

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerajaan menyasarkan 100 peratus populasi dewasa menerima dos lengkap vaksin Covid-19 menjelang Oktober ini. Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengikut jadual asal, 80 peratus penduduk dijangka menerima dos lengkap menjelang suku pertama 2022, namun sasaran itu dipercepatkan ke Disember ini.

Kita menyambut baik sasaran baharu kerajaan ini kerana vaksin dilihat langkah terbaik untuk rakyat kembali menjalani kehidupan normal selepas berkurung dan terperuk di rumah untuk suatu tempoh masa cukup lama sejak Mac tahun lalu. Pada masa sama, ia juga merupakan strategi yang betul dan tepat memandangkan adanya penemuan varian baharu Covid-19 yang lebih ganas dan kes positif mula meningkat secara mendadak.

Oleh itu semua pihak perlu menyokong kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Program ini sudah mula rancak apabila jumlah pemberian vaksin harian terus mencatatkan peningkatan dan mula mencapai sasaran 500,000 dos sehari. Dalam konteks ini, tumpuan khusus kepada penduduk di Selangor dan Kuala Lumpur juga sangat penting dalam kita memutuskan rantaian penularan wabak. Dalam hal ini kerajaan menyasarkan 100 peratus populasi dewasa di Selangor dan Kuala Lumpur menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada 1 Ogos ini. Selain itu, hampir semua negeri juga dijangka mencatatkan kadar vaksinasi melebihi 50 peratus menjelang akhir Ogos ini diikuti peningkatan kepada 70 peratus pada September.

 Bagi menjayakan misi ini, kerajaan serius dalam soal memperoleh vaksin  mencukupi untuk keperluan semua. Kerajaan menempah lebih 76.1 juta dos vaksin, iaitu 70 peratus Pfizer, 23.4 peratus Sinovac, 10 peratus Astrazaneca, 10.9 peratus CanSino dan 10 peratus daripada fasiliti Covax. Setakat ini, Malaysia sudah menerima 20 juta dos daripada keseluruhan jumlah yang ditempah dan dijangkakan kita menerima jumlah keseluruhan 30 juta dos pada akhir bulan ini, 40 juta dos pada Ogos, 53 juta dos pada September dan 58 juta dos pada Oktober. Bakinya pula akan diterima antara November 2021 hingga Januari 2022.

 Ironinya, kita dapat melihat impak suntikan vaksin dengan begitu cepat apabila PICK Fasa Dua yang menyuntik vaksin ke atas golongan warga emas dan rentan mula menunjukkan tanda awal keberkesanannya. Ini adalah berdasarkan pengurangan kes jangkitan wabak yang serius, iaitu kategori empat dan lima membabitkan golongan tersebut. Keberkesanan juga dapat dilihat menerusi penurunan kadar kemasukan ke hospital dalam kalangan pesakit warga emas.

Secara umumnya, inisiatif seperti pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk pandu lalu, perkhidmatan vaksinasi dari rumah ke rumah serta kebenaran untuk golongan warga emas hadir secara walk-in untuk mendapatkan vaksin banyak membantu peningkatan populasi yang menerima vaksin. Jadi, saya percaya sasaran imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini adalah sangat realistik dan mampu dicapai jika semua pihak dapat memainkan peranan yang signifikan.

 Misalnya, kerajaan perlu memastikan semua tempahan vaksin daripada pengeluar itu diterima mengikut jadual penghantaran yang telah dipersetujui. Ini isu paling mustahak kerana jika lewat, ia akan membantutkan segala sasaran dan misi kita untuk mencapai sasaran imuniti kelompok tersebut. Malah ini juga akan menyebabkan rakyat kecewa kerana terpaksa menunggu lebih lama untuk menerima vaksin.

Dalam pada itu, memandangkan kita bakal menerima lebih banyak lagi vaksin yang ditempah dalam masa terdekat, adalah diharapkan kerajaan akan membuka lebih banyak PPV baik yang berskala besar mahupun kecil sebagai kemudahan tambahan kepada masyarakat untuk mendapatkan suntikan.

 Pada masa sama, masyarakat juga perlu lebih bertanggungjawab dan tidak lagi berdolak dalih atau memberikan pelbagai alasan untuk mendaftar mahupun mendapatkan suntikan vaksin. Kerajaan sedang melakukan yang terbaik, jadi gunakanlah peluang ini untuk mendapatkan suntikan sekali gus meningkatkan daya ketahanan badan di samping membantu mewujudkan imuniti kelompok dengan segera.

 Sedarlah, sikap kita yang acuh tak acuh atau suka tunggu dan lihat akan mengganggu segala inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat kembali menjalani kehidupan normal dengan segera. Ini juga akan membantutkan usaha untuk memulihkan kembali sektor ekonomi yang terjejas teruk selama ini.

Tuntasnya, kita tidak mempunyai banyak pilihan. Satu-satunya cara terbaik untuk memulihkan kehidupan dan juga ekonomi adalah dengan mencapai imuniti kelompok dengan segera. Ini adalah misi nasional dan misi penting ini hanya boleh dicapai jika ada kerjasama yang erat antara kerajaan dan  rakyat.

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya