GUA MUSANG: Seorang pelajar tingkatan satu yang tinggal di asrama sebuah sekolah menengah di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh di sini, meninggal dunia akibat pendarahan di bahagian kepala dan paru-paru berair, semalam.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian melibatkan remaja lelaki berusia 13 tahun itu kira-kira pukul 8.53 pagi daripada seorang lelaki yang memaklumkan anaknya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di asrama sekolah berkenaan.
Katanya, mangsa kemudian dibawa oleh pihak sekolah ke Klinik Kesihatan Chiku 3 di sini, untuk rawatan lanjut.
“Pegawai perubatan di klinik tersebut mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Mayat dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat.
“Hasil siasatan awal mendapati, punca kematian mangsa disebabkan oleh pendarahan spontan pada bahagian kepala dan paru-paru berair. Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat dalam kejadian ini,” katanya hari ini.
Choon Foo berkata, mayat mangsa diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.
Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu sensitiviti keluarga mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut masih diteruskan. – UTUSAN










