Gempa bumi sederhana gegar ibu negara Iran

Gempa bumi sederhana gegar ibu negara Iran

SEORANG wanita mengibarkan bendera kebangsaan Iran di hadapan papan iklan yang tertulis 'Selat Hormuz kekal ditutup' di Dataran Revolusi di Teheran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Gempa bumi sederhana menggegarkan ibu negara Iran sekitar tengah malam ketika bandar itu masih berada dalam keadaan tegang susulan perang yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.

Penduduk di beberapa kawasan di Teheran berkata, mereka merasai gegaran kuat dan pergerakan tanah ketika kejadian.

“Kami bergoncang seperti berada di atas buaian,” kata seorang penduduk, Saboor, menerusi pesanan teks.

Teheran yang mempunyai kira-kira 15 juta penduduk terletak berhampiran beberapa garisan sesar utama dan sememangnya terdedah kepada kejadian gempa bumi.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan gempa itu pada 4.3 skala Richter, manakala Pusat Seismologi Euro-Mediterranean melaporkan 4.5 skala Richter dan media kerajaan Iran pula menyatakan magnitud 4.6.

Gempa dalam julat itu berpotensi menyebabkan kerosakan kepada bangunan yang tidak memenuhi piawaian struktur moden.

Pakar seismologi biasanya akan mengemas kini bacaan magnitud selepas analisis lanjut dilakukan terhadap data gempa.

Tiada laporan segera mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa akibat kejadian itu.

Media Iran melaporkan, pusat gempa berada di sempadan wilayah Teheran dan Mazandaran, di timur ibu negara, dengan gegaran dirasai selama kira-kira 10 saat.

Terdahulu pada 12 Mei lalu, satu gempa kecil turut dilaporkan berlaku di kawasan Pardis berhampiran Teheran. USGS memaklumkan gegaran itu berpusat berhampiran bandar Damavand.

Penduduk berkata, mereka sudah berada dalam keadaan tertekan kerana hidup dalam ketidaktentuan antara keamanan dan perang besar-besaran, sambil tertanya-tanya sama ada gencatan senjata yang rapuh akan runtuh dan AS serta Israel melancarkan serangan sekali lagi.

Seorang penduduk Teheran,Sara, 54, berkata menara apartmennya di utara Teheran bergoyang ketika gempa berlaku, menyebabkan dia panik.

“Saya sedang duduk di meja dapur dan tiba-tiba terasa seperti kerusi ditarik dari bawah saya,” katanya menerusi pesanan suara dari Teheran.- NYTimes

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×