JOHOR BAHRU: Seorang penarik kereta dijatuhi hukuman penjara selama tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menyimbah cat merah pada rumah mangsa, pada tahun lalu dan bulan lepas.
Hakim Azureen Sahira Sauffee Afandi menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap tertuduh, Muhamad Yaccob Ibrahim, 28, bermula tarikh sabitan, hari ini.
Di mahkamah berasingan, Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman penjara empat bulan terhadap lelaki itu bermula tarikh tangkapan, pada 16 April lalu.
Di hadapan Hakim Azureen Sahira, lelaki itu didakwa dengan niat hendak menyebabkan kerugian kepada seorang lelaki berusia 52 tahun yang menyebabkan kebinasaan kepada harta iaitu dengan menyimbah cat merah pada rumah mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Mutiara Emas 9/20, Taman Mount Austin, di sini pada pukul 4.10 petang pada 7 April lalu.
Di hadapan Majistret Nabilah pula, tertuduh didakwa dengan niat melakukan khianat kepada seorang lelaki berusia 37 tahun dengan menyebabkan kebinasaan kepada harta iaitu dengan menyimbah cat merah pada rumah mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah apartment Twin Danga Residence, Jalan Tengah, Kampung Sungai Danga, di sini kira-kira pukul 7 pagi pada 24 Disember tahun lalu.
Bagi perbuatan tersebut, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Anis Shafeeqah Mohd. Shariffudin dan Nor Deana Aqilah Aliman memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh serta masyarakat umum.
Lelaki itu yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Vijayan dan Zulyatie Awang memohon hukuman yang minimum atas alasan tertuduh mempunyai tanggungan seorang isteri dan dua anak, selain berpendapatan sekitar RM1,000 sebulan.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan enam suspek termasuk dua wanita yang dipercayai menjadi ‘budak suruhan’ sindiket ah long dan aktif melakukan ugutan jenayah termasuk menyimbah cat serta serangan menggunakan bom petrol di beberapa negeri.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata kesemua suspek berusia antara 21 hingga 42 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di Lembah Klang awal bulan lalu. – UTUSAN









