Polis cari lelaki simbah cat merah pada rumah, kenderaan - Utusan Malaysia

Polis cari lelaki simbah cat merah pada rumah, kenderaan

TANGKAP layar video yang menunjukkan seorang suspek menyimbah cat merah pada rumah dalam kejadian di Taman Kuala Bekah, Kepala Batas, Pulau Pinang kelmarin. - Pic: IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEBERANG PERAI: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki menyimbah cat merah pada empat buah rumah dan beberapa kenderaan di Taman Kuala Bekah, Kepala Batas dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie berkata, pihaknya menerima empat laporan berhubung kejadian terbabit semalam.

Ujar beliau, hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) di salah sebuah rumah mangsa mendapati perbuatan membaling cat itu dilakukan seorang lelaki yang menunggang motosikal.

“Pihak forensik telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan mengambil sampel cat dan botol cat yang ditinggalkan suspek bagi tujuan analisa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, tular video berdurasi 15 saat yang memaparkan beberapa buah rumah dan kenderaan milik penduduk yang disimbah cat merah sehingga menimbulkan kemarahan serta rasa tidak selamat penduduk di situ.

Mengulas lanjut, Mohd. Asri berkata, siasatan awal mendapati salah seorang mangsa telah melakukan pinjaman wang dalam talian menerusi laman sosial Facebook pada November lalu.

Menurutnya, mangsa juga mengesahkan telah menjelaskan bayaran balik, namun masih diganggu pemberi pinjaman yang menuntut bayaran tambahan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 bagi kesalahan menawarkan pinjaman wang tanpa lesen dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Sarjan Mohamad Azhar Abd. Sukor dan Sarjan Norlida Bidrus di talian 04-5672222 atau 04-3232422,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya