Jangan mufliskan sistem pendidikan - Utusan Malaysia

Jangan mufliskan sistem pendidikan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SOALAN pembiayaan pendidikan dan pengajian tinggi adalah antara isu terpenting dalam kelangsungan agenda negara bangsa dan global di mana sahaja.

Ini merupakan satu penentu sama ada pendidikan akan sampai kepada pihak yang berhak menerimanya atau pun tidak, apalagi memandangkan pendidikan bukannya lagi satu pilihan, tetapi dianggap sebagai hak asasi sejagat oleh dunia.

Betapa tidak kerana pendidikan boleh mencorakkan masa hadapan seseorang itu, malah kelompok dan masa hadapan negara sekalipun.

Oleh itu, sebahagian besar pendidikan asas diberi secara percuma agar kumpulan tersasar sekurang-kurang boleh menghitung dan membaca untuk melancarkan masa hadapan mereka dengan ilmu-ilmu serta kemahiran hidup yang penting.

Namun, ini tidak berlangsung sepenuhnya apabila pendidikan beransur-ansur ke peringkat lebih tinggi kerana yuran serta pembiayaan turut beransur-ansur meningkat.

Di Amerika Syarikat (AS) sahaja dalam satu kajian menunjukkan antara 1978 dan 2010, inflasi pendidikan tinggi rata-rata melebihi 1,100 peratus sedangkan untuk sektor makanan adalah 200 peratus.

Mengapa inflasi pendidikan melambung tinggi berbanding keperluan asas lain agak membingungkan ramai. Namun, jawapannya terletak kepada model pendidikan yang digunakan, yakni model perniagaan sebagai satu sistem yang meletakkan pendidikan sebagai sumber kekayaan negara yang boleh dijual beli.

Lantas seorang cendekiawan ternama di sebuah institusi pendidikan AS pernah menegur tentang hal ini dalam buku berjudul Excellence without Soul.

Apa pun dalam keadaan genting wabak Covid-19 ini, ungkapan ‘kecemerlangan tanpa roh’ mula kedengaran semula walaupun hal ini sudah lama terbiar dan agak sukar hendak dirungkaikan kini, tidak beza dengan pandemik yang sedang menular.

Malah, tidak salah jika dikatakan yang pendidikan keseluruhannya telah lama menghadapi pandemiknya tersendiri tetapi diketepikan sahaja kerana tidak ada angka-angka mendebarkan seperti kematian.

Begitupun, angka-angka ini sudah mula muncul dalam bentuk gejala kesihatan mental. Pengubal dasar sudah terkesan dan bimbang, apatah lagi dengan desakan ibu bapa dan anggota masyarakat umumnya.

Sebagai contoh, berdasarkan laporan analisis yang dibuat dalam kalangan universiti awam (UA) baru-baru ini, didapati yuran pengajian bagi bidang sains dan sains sosial adalah sekitar RM700-RM900 bagi setiap semester.

Sekiranya UA mengambil kira yuran-yuran lain yang terlibat termasuk asrama, aktiviti, jumlah keseluruhan setiap semester meningkat dua kali ganda sekitar RM1,500-RM1,800 untuk tempoh enam bulan bagi satu-satu semester berkenaan.

Sekiranya kos ini dibahagi dengan enam bulan bagi satu semester akademik, kos sebulan adalah sekitar RM250-RM300 sahaja termasuk pengajian, penginapan dan aktiviti sosial.

Pendek kata, sebahagian besar kos ini ditanggung oleh kerajaan selama ini dan fakta ini yang diakui ramai kerana bajet untuk sektor pendidikan saban tahun adalah yang terbesar sejak dahulu lagi.

Apa pun hakikat ini menghadapi pelbagai cabaran baharu dan sengit dalam keadaan pandemik apabila ekonomi merudum berbanding masa pra-Covid-19. Tambahan pula banyak pihak merasai kesukaran untuk menanggung sara hidup harian terutama kumpulan marhaen yang selama ini kais pagi, makan pagi!

Perbandingan antara UA dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pula mendapati purata IPTS mengenakan yuran antara RM5,000-RM8,000 setiap semester (yakni lebih tujuh kali ganda) bagi yuran program sains sosial yang mereka tawarkan seperti pengurusan perniagaan, perakaunan ataupun pendidikan. Ini tidak termasuk yuran penginapan atau asrama kerana kekurangan prasarana.

Ringkasnya, pelajar di UA hanya membayar 10-20 peratus kos pengajian berbanding rakan-rakan mereka di IPTS kerana 80-90 peratus kos pelajar UA tersebut merupakan subsidi yang dibiayai kerajaan dalam bentuk geran.

Dalam hal ini, apa yang amat menarik perhatian analisis tersebut adalah dapatan yang menunjukkan yuran UA (yang sudah pun murah) ternyata jauh lebih murah berbanding yuran taska secara umumnya!

Umpamanya, taska-taska di Lembah Klang mengikut kajian dikenakan yuran bulanan sekitar RM400-RM500 berbanding kadar RM250-RM300 sebulan bagi UA.

Daripada satu perspektif, kita cukup berbangga yang yuran pengajian UA adalah antara terendah secara perbandingan baik dengan taska sekalipun. Ini mengupayakan lebih ramai rakyat memenuhi hak asasinya yang rata-rata merupa fardu kifayah sebagai urusan kerajaan, mahu atau tidak.

Malah kita pernah terdengar janji-janji untuk memberi pendidikan percuma dari mula hingga akhir sebagai melaksanakan program pendidikan sepanjang hayat. Malah terdapat contoh yang diberikan baik di negara maju seperti Jerman yang memang terkenal dengan kehandalan ilmu dan amalan pendidikannya.

Jika imbas sistem pendidikan Islam yang berpaksikan wakaf, kita juga kagum dengan cara menguruskannya yang diambil sebagai model tegar mendahului model perniagaan ala Barat yang kini menjadi pilihan Malaysia selama ia dijajah lebih 60 tahun lalu.

Bagi negara-negara bukan Islam, sistem endowment yang seakan wakaf diamalkan untuk menentukan masa hadapan mereka. Ini juga menjadi strategi banyak universiti swasta supaya mereka bebas dan lestari dari segi kewangan tanpa perlu menjadi ‘pengemis’ untuk mendidik anak bangsa yang sering diuar-uarkan sebagai pemimpin masa hadapan.

Peranan sebesar ini tidak wajar diserahkan kepada angin yang lalu sahaja tanpa ketegasan membela nasib anak bangsa hatta hidup matinya negara tercinta ini yang menjadi amanah semua.

Sebagai akhir kalam, satu lagi fakta yang wajar diketengahkan yakni hakikat yuran pengajian kebanyakan UA tidak pernah dinaikkan lebih dari 20 tahun lalu dan kekal rendah pada kadar yuran semasa.

Adakah ini akan berlarutan adalah persoalan yang harus dibangkitkan sekarang. Tepuk dada, tanya selera, ke manakah arahnya menjelang ulang tahun merdeka akan datang.

Sama ada ia boleh dipertahankan, apa lagi untuk diisi dalam era pascapandemik yang paling mencabar? Atau pendidikan akan jatuh muflis dirundung malang tanpa roh!

PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN