HARI ini, saya rasa sangat bertuah kerana berpeluang mengucapkan selamat hari jadi ke-95 kepada ibu tersayang, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.
Tidak ramai yang sempat memberi ucapan seperti itu kepada orang tua mereka kerana berapa ramai antara kita yang ibu ayahnya dikurniakan usia yang panjang hingga mencecah 90-an?
Sesungguhnya kepada Allah SWT jua saya bersyukur atas kurniaan kesihatan yang baik bagi ibu.
Dalam usia begitu lanjut, ibu masih berfikiran tajam, boleh tinggalkan mesej suara yang panjang dalam grup chat keluarga, mampu berjalan ke sana sini, menikmati makanan kegemarannya, bermain piano dan biola serta berseloroh dalam perbualan.
Penglihatannya sahaja kurang baik. Biarpun mata kabur, pendengaran membantu beliau cam orang di hadapannya.
Saya tidak pernah dengar ibu merungut atau mengeluh kerana penglihatannya yang tidak lagi terang. Sebaliknya, sering terdengar darinya lafaz syukur ke hadrat Allah SWT kerana masih bernafas dengan deria-deria lain yang membantu mengisi kehidupannya.
Teringat sejarah silam bersama ibu yang memberi kesan kepada pembentukan keperibadian saya sendiri.
Penekanannya terhadap pendidikan agaknya terlahir daripada Allahyarham datuk saya, Mohd. Ali Taib yang sangat berfikiran terkehadapan semenjak sebelum merdeka lagi mengenai betapa penting anak-anaknya, termasuk yang perempuan, dididik dengan ilmu yang berguna kepada masyarakat.
Kesemua bapa dan ibu saudara saya itu fasih berbahasa Inggeris selain bahasa ibunda.
Antara mereka kemudiannya diangkat menjadi Gabenor Bank Negara, Menteri Besar Selangor, Ketua Turus Angkatan Tentera Malaysia, pegawai kebajikan masyarakat, ketua eksekutif syarikat pembekal kenderaan, arkitek tersohor dan lain-lain.
Ibu antara wanita Melayu pertama menjadi doktor dan pakar dalam bidang perancangan keluarga, yang kemudiannya bergelar isteri Perdana Menteri.
Ibu juga mengawasi pembelajaran saya ketika kecil dan sentiasa mendorong saya untuk berusaha gigih sewaktu di sekolah. Dalam banyak-banyak benda yang boleh diberikan oleh ibu bapa kepada anaknya, pendidikan antara paling besar nilainya.
Tumpuan pendidikan tidak hanya terhad kepada pembelajaran di kelas, malah aktiviti sukan dan kreatif seperti muzik turut diutamakan.
Saya ingat sewaktu masih kecil lagi melihat ibu bermain piano di rumah datuk di Jalan Kemuning, Kuala Lumpur. Memang ibu sangat berbakat bermain piano. Beliau minat lagu-lagu klasik Melayu dan Inggeris.

BIOLA
Ibu belajar menggesek biola selama dua tahun semasa berusia 15 dan 16 tahun. Namun atas sebab-sebab tertentu, beliau tidak lagi memegang alat muzik itu dan sebaliknya terus berhibur dengan piano dan organ elektronik.
Ketika berusia 80 tahun, tiba-tiba muncul kembali keinginan untuk mendendangkan lagu dengan gesekan biola.
Bagaimanapun, ibu mendapati kedua-dua tangannya tidak sekuat genggamannya seperti sewaktu berumur belasan tahun.
Ibu sanggup menjalani pembedahan kepada kedua-dua tangannya supaya lebih mampu menggenggam biola. Alat muzik itu kini menjadi teman menghiburkan diri setelah berpisah selama 65 tahun!
Sebagai seorang yang terlatih dalam khidmat kesihatan, khususnya kesihatan ibu dan anak, beliau ditugaskan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang kampung di daerah Kubang Pasu, Kedah (termasuk di kawasan yang kini menjadi Parlimen Jerlun).
Banyak cerita daripada ibu sendiri, dan juga orang-orang lama daerah itu mengenai aktiviti beliau dalam kampung. Antaranya berkaitan tok penghulu yang terpaksa memboncengkan ibu atas motosikal masuk ke ceruk kampung melalui jalan tanah, batas bendang dan denai.
Pada masa itu, hampir semua kerja kebidanan dilakukan oleh mak bidan kampung. Susah hendak jumpa seorang doktor perempuan Melayu. Maka tentunya aktiviti ibu di kawasan pedalaman itu menarik perhatian.
Dengan sifatnya yang peramah lagi berilmu, akhirnya beliau berjaya menambat hati bidan-bidan kampung untuk dilatih dengan kaedah-kaedah moden bagi menjamin kadar kematian bayi semasa lahir dapat dikurangkan secara berkesan. Agaknya berapa ramai nyawa bayi telah beliau selamatkan?
Saya berterima kasih kepada ibu kerana merelakan saya ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Pengkalan Chepa, Kelantan selama lima tahun bermula 1977.
Agaknya walaupun bimbang mengenai keupayaan saya untuk menyesuaikan diri dalam suasana sekolah berasrama penuh, ibu tenangkan hati kerana tahu lama kelamaan saya akan biasa berada jauh dari rumah dan keluarga.
Pengalaman di MRSM banyak membina keyakinan diri apabila ibu dan ayah menghantar saya melanjutkan pelajaran ke Tokyo, Jepun.
Ibu dan ayah saya dibesarkan dalam suasana keluarga yang penuh kasih sayang. Kami juga memupuk hubungan yang sama bagi keluarga masing-masing.
Walaupun setiap antara kami akhirnya mengikut haluan kerjaya berbeza, namun hubungan keluarga tetap disemarakkan.
Hubungan keluarga seperti ini menjadi batu asas sangat penting dalam membentuk masyarakat madani.
Bila ditanya beberapa kali mengenai siapa yang paling berhak kita berbuat baik kepadanya, tiga kali Rasulullah SAW menjawab, “ibumu” sebelum akhirnya menjawab, “ayahmu”.
Berpegang kepada nasihat Nabi SAW itu, marilah kita sama-sama mengingati sejenak pengorbanan besar yang dilakukan oleh setiap insan yang bergelar ibu dan mendoakan kebaikan baginya. Moga-moga Allah SWT memakbulkan doa kita itu.
Selamat ulang tahun kelahiran yang ke-95, ibu.
DATUK Seri Mukhriz Mahathir ialah Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).