Budak patah hidung dakwa dipukul rakan sekolah

Budak patah hidung dakwa dipukul rakan sekolah

RIFKA Amelia Bustomi Sofia menunjukkan gambar anaknya yang mengalami kecederaan serius dipercayai dibuli dan diserang sekumpulan rakan sekolahnya di Kuala Terengganu, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang murid tahun dua sekolah kebangsaan di daerah ini patah tulang hidung dan retak tulang mata selepas dipercayai dise­rang sekumpulan rakan seko­lahnya pada 30 Julai lalu.

Mangsa yang berusia lapan tahun itu dikatakan dipukul, ditolak dan ditumbuk oleh beberapa murid lain sejurus tamat sesi kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di sekolah berkenaan.

Ibu mangsa, Rifka Amelia Bustomi Sofian, 37, berkata, kejadian itu disedari selepas anaknya pulang ke rumah dalam keadaan hidung berdarah dan muka lebam.

Katanya, dia membawa anak­nya ke sebuah klinik swasta sebelum membuat imbasan X-ray yang mengesahkan tulang hidung kanak-kanak itu patah.

“Beberapa murid menyerang anak saya secara beramai-ramai dengan memegang tangan, menolak, menendang dan menum­buknya sehingga terjatuh ke tanah serta menghantuk muka.

“Doktor maklumkan kecede­raan di bahagian mata berpunca daripada tumbukan manakala tulang hidung patah dipercayai akibat hentakan ketika terjatuh. Memang sebelum ini anak saya pernah beritahu dia sering dibuli tetapi tidak sangka sehingga ke tahap ini,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), semalam.

Rifka berkata, anaknya menjalani pembedahan di HSNZ ke­lmarin bagi menyambung semula tulang hidung yang patah dan masih dalam pemantauan pihak hospital.

Kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa dikatakan merosakkan sarung meja milik seorang murid lain.

Ujarnya, ganti rugi telah dibuat berjumlah RM15 kepada pihak sekolah namun perkara itu didakwa tidak dimaklumkan kepada murid-murid terlibat.

Katanya, ini bukan kali pertama anaknya mengalami kece­deraan di sekolah dan sebelum ini pernah cedera pada mata akibat dibaling batu.

“Sebelum ini pada Jun, dia pernah dibaling batu oleh murid lain tetapi saya tidak membuat laporan polis namun kali ini saya putuskan untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Saya tidak mahu ada lagi murid lain yang menerima nasib serupa dengan anak saya kerana sebelum ini telah banyak kes sebegini didakwa berlaku di sekolah ini,” ujarnya.

Menurutnya, pihak sekolah memanggil ibu dan bapa pada Isnin lalu untuk berbincang berhubung kes itu.

“Ada ibu bapa yang bertemu dan hantar mesej memohon maaf namun saya difahamkan masih ada murid terlibat yang masih tiada tindakan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu.

“Siasatan awal mendapati kes ini dipercayai berpunca daripada ejek-mengejek Kes ini telah dirujuk kepada pihak pengurusan sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN