LONDON: Pemain pertahanan Jerman, Malick Thiaw melengkapkan perpindahan ke Newcastle United dari AC Milan dengan nilai perpindahan dilaporkan mencecah 35 juta euro (RM172.5 juta).
Pemain berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak jangka panjang dan dijangka bakal menjadi pilihan Utama Eddie Howe dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini.
“Saya sangat teruja untuk menyertai kelab besar ini. Saya tidak sabar untuk memulakan latihan dan berkenalan dengan rakan sepasukan baharu serta semua staf.
“Pengurus (Eddie Howe) menunjukkan visi beliau dan apa yang ingin dilakukan terhadap saya sebagai pemain serta kelab ini, yang sangat mengujakan.
“Saya rasa Newcastle itu sudah cukup untuk menggambarkan segala-galanya. Ia kelab hebat, kelab besar dengan penyokong yang penuh semangat dan saya tidak sabar untuk bertemu mereka di St James’ Park,”kata Thiaw.
Thiaw yang tiga kali mewakili Jerman menyertai AC Milan dari Schalke 04 pada 2022 dan membuat 85 penampilan dalam semua pertandingan sepanjang tiga tahun di kelab Serie A itu.
Beliau menjadi pemain ketiga yang dibawa masuk Newcastle pada jendela perpindahan musim panas ini selepas pemain sayap Nottingham Forest, Anthony Elanga dan penjaga gol Southampton, Aaron Ramsdale.
“Kami sangat gembira mendapatkan Malick Thiaw. Dia pemain yang saya kagumi sejak lama dan seseorang yang akan menambah kualiti sebenar kepada pilihan pertahanan kami.
“Malick masih muda tetapi membawa pengalaman berharga dalam Liga Juara-Juara Eropah (UCL), selain pernah bermain di Bundesliga dan Serie A, yang merupakan kelebihan besar buat kami ketika kembali ke saingan Eropah musim ini,” katanya. – AGENSI/UTUSAN










