LUMUT: Kekurangan pelancong ke Lumut diakui menjejaskan perniagaan di pekan tersebut namun jualan secara dalam talian membantu peniaga ikan bilis mata biru terus bertahan dalam perniagaan mereka.
Seorang penyelia kedai, Wahida Ahmad Yazli, 25, berkata, walaupun kekurangan pelanggan di pekan itu jualan kini beralih secara dalam talian di pelbagai platform.
Katanya, dia juga sering membuat siaran langsung (live) di media sosial terutama TikTok untuk mempromosi jualan ikan bilis mata biru dan jualan sedemikian mendapat sambutan menggalakkan.
“Walaupun kurang pelancong ke sini, perniagaan ini masih dapat bertahan menerusi jualan dalam talian, saya promosikan jualan ini secara live di TikTok, juga menerusi Shopee
“Kami tidak boleh mengharapkan jualan kepada pelancong ke pekan ini kerana kedatangan mereka semakin kurang, kalau hari biasa pekan ini memang lengang.
“Jualan dalam talian membolehkan kami terus bertahan sejak memulakan perniagaan ini hampir dua tahun lalu. Jualan secara dalam talian mendapat sambutan dan pasarannya lebih besar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini kelmarin.
Menurut Wahida, kedai jualannya hanya menjual produk ikan bilis mata biru dari Pulau Pangkor pada harga antara RM40 hingga RM100 sekilogram.
Katanya, perniagaannya dibuka pada pukul 10 pagi hingga 11 malam dan pelanggan meningkat pada hujung minggu.
“Pekan ini semakin kurang pengunjung, pada hari biasa kebanyakan peniaga menutup kedai dan hanya membuka kedai pada hujung minggu ketika kunjungan pelancong meningkat,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Anuar Hussin, 45, berkata, dia pernah memiliki kedai makan dan barang hiasan namun perniagannya ditutup kerana kurang pelancong.
Katanya, pelancong kurang ke Lumut kerana biasanya mereka akan terus ke Pulau Pangkor menerusi perkhidmatan feri di pekan tersebut dan di Pulau Marina.
“Kekurangan pelancong ke Lumut semakin ketara selepas wabak Covid-19 melanda. Banyak peniaga yang berpindah lokasi antaranya berniaga di Pulau Pangkor.
“Saya harap pelancong akan kembali singgah di Lumut supaya perniagaan di pekan ini dapat hidup semula,” katanya. – UTUSAN










