Henti tohmah agensi kerajaan senjata politik - Utusan Malaysia

Henti tohmah agensi kerajaan senjata politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Semalam, Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) mengeluarkan kenyataan kononnya kesal dengan agensi-agensi kerajaan terus diperalat sebagai senjata politik untuk menekan ahli-ahli Parlimen yang menjadi musuh atau enggan menyokong kerajaan.

Sebenarnya, perkara paling asas ialah sesiapa pun yang sedang menghadapi pertuduhan rasuah harus mempertahankan diri di mahkamah dan bukan membuat tohmahan seperti menuduh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai agenda politik. 

Lagi pun, sebelum ini banyak kali ditegaskan oleh pelbagai pihak bahawa mereka yakin SPRM tidak ada agenda politik dalam menyiasat kes-kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa melibatkan pemimpin atau tokoh tertentu. 

Telah banyak bukti yang menunjukkan tokoh-tokoh politik disiasat semasa dalam tempoh parti mereka memerintah. Jadi, faktanya ialah mereka disiasat kerana mempunyai bukti dan asas yang kukuh.

Tetapi ahli-ahli politik tidak juga percaya malah terus melaungkan perkara sama, lebih-lebih lagi yang didakwa itu berada dalam kumpulan mereka.

Namun begitu, apa yang kita perlu tahu, selective prosecution ialah berdasarkan bukti dan fakta kesalahan dan bukan kerana parti seseorang atau faktor-faktor yang tiada kaitan dengan kesalahan itu.

Selain itu, MPPH juga menuduh siasatan terhadap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkaitan kes terowong adalah siasatan terburu-buru sebaik kerajaan PH tumbang pada akhir Februari 2020. Tapi hakikatnya ia tidak benar disebabkan siasatan ini mengambil masa tempoh tiga tahun bermula 2017 dan dituduh di mahkamah pada tahun lalu.

Seharusnya ahli politik termasuk yang membuat dasar negara faham sistem perundangan ini dan bukannya senang-senang membuat tohmahan berkaitan kes-kes di mahkamah. Perbuatan ini adalah trend yang merosakkan sistem perundangan negara.

Sistem perundangan negara tidak seharusnya diperlekehkan seperti ini. Kita mempunyai  sistem yang mana pertamanya ialah pendakwa mesti buktikan segala pertuduhan itu berasas dahulu dan barulah dijawab oleh tertuduh.

Jadi, biarlah segalanya dilakukan di mahkamah, bukan di luar mahkamah atau di media sosial kerana ia akan merosakkan sistem ini pada masa akan datang.

ROSLAN ABU BAKAR, Ipoh, Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya