Azeva Natassha fokus vokal, stamina hadapi pentas TTMM2 - Utusan Malaysia

Azeva Natassha fokus vokal, stamina hadapi pentas TTMM2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Anak kepada penerbit terkenal, Datuk A. Aida iaitu Azeva Natassha kini giat melakukan persiapan rapi menjelang konsert minggu pertama program realiti Talk To My Manager Musim 2 yang bakal membuka tirai tidak lama lagi.

Azeva berkata, fokusnya ketika ini lebih terarah kepada latihan vokal serta aspek kecergasan fizikal bagi memastikan persembahannya berada pada tahap terbaik.

“Berbaki beberapa hari sahaja lagi, persiapan saya berjalan lancar. Saya juga mengikuti kelas vokal tambahan.

“Setiap hari saya ke gimnasium sama ada berlari, menyertai kelas ‘spin’ atau pilates bagi memastikan stamina sentiasa berada pada tahap optimum,” katanya.

Dalam pada itu, Azeva mengakui tidak sabar untuk membuat kemunculan sulung di pentas program berkenaan.

“Setakat ini, saya yakin dengan persiapan yang dilakukan. Saya teruja dan tidak sabar untuk memberikan persembahan terbaik pada minggu pertama,” ujarnya.

Mengulas mengenai peranan ibunya yang juga bertindak selaku pengurus, Azeva menyifatkan A. Aida sebagai individu yang memahami serta tidak memberi tekanan dalam menguruskan kerjayanya.

“Mama seorang pengurus yang sangat memahami. Selagi saya mendengar kata, semuanya berjalan dengan baik. Mama tidak pernah memaksa dan saya akan ikut segala nasihatnya kerana dia tahu apa yang terbaik,” katanya.

Program musim kedua itu turut menyaksikan persaingan daripada beberapa gandingan lain iaitu Adira & Anggrek, Ani Maiyuni & Viviana, A. Aida & Azeva Natassha serta Dato’ Fazley & Fariedz Fazley.

Selain itu, pentas sama turut menampilkan Dato’ Sri Vida & Cik B, Jamilulhayat & Hussain, Linda Jasmine & Ratu, Nana Mahazan & Althea, Pak Azad & Amarra serta Safura & Kim Khairii.

Sementara itu, Aznil Nawawi kembali menggalas tanggungjawab sebagai pengacara, manakala Sarimah Ibrahim dan AC Mizal bertindak sebagai juri tetap.

Talk To My Manager Musim 2 akan bersiaran mulai 19 April 2026, pukul 9 malam secara langsung di Astro Ria (saluran 104).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN