PETALING JAYA: Peningkatan harga minyak mentah global yang melebihi paras AS$110 (RM435) setong mula memberi kesan langsung ke atas permintaan segmen petrokimia, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, keadaan tersebut berpunca daripada gangguan bekalan tenaga berskala besar yang memberi tekanan kos dan kekangan bekalan sebelum menghakis aktiviti hiliran.
Ujarnya, situasi itu mendorong Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) menyemak semula unjuran permintaan minyak bagi 2026 daripada pertumbuhan +730,000 tong sehari (bpd) kepada penguncupan -80,000 bpd.
“Persekitaran harga tinggi dan kekangan bekalan berterusan kini menekan permintaan, khasnya dalam petrokimia yang berdepan tekanan kos serta kurang bahan mentah,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurutnya, pengeluar petrokimia di negara-negara Asia sudah pun mula mengurangkan kadar operasi berikutan isu kesukaran mendapatkan input utama seperti naphtha dan gas petroleum cecair (LPG).
“Perkembangan negatif tersebut ujar firma penyelidikan berkenaan, sekali gus mengubah struktur pasaran daripada lebihan bekalan kepada keadaan ketat yang didorong risiko dan kekurangan fizikal,” katanya.
Pada masa yang sama jelas MBSB Research, beberapa pemain utama serantau termasuk PT Chandra Asri Pacific dan Lotte Chemical mengisytiharkan situasi ‘force majeure’ atau bencana di luar jangka.
“Ini mencerminkan gangguan serius terhadap rantaian bekalan dan kelemahan model ‘just-in-time’, khususnya negara yang bergantung import seperti Korea Selatan, Singapura dan Indonesia,” katanya.
Sebaliknya kata firma itu, Pertronas Chemicals Group Berhad (PCG) dilihat lebih berdaya tahan dalam persekitaran mencabar ini, disokong akses kepada sumber gas domestik Malaysia yang masih stabil.
MBSB Research berkata, kelebihan utama syarikat ini terletak pada kebergantungan kepada gas asli sebagai bahan mentah utama, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada gangguan stok global.
“Prestasi sahamnya turut mengatasi pesaing serantau dengan kenaikan +79.2 peratus tahun ke tahun, berbanding Lotte Chemical (+28.8 peratus), manakala PT Chandra Asri Pacific mencatat penurunan -26.8 peratus.
“Justeru, kami mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap PCG dengan harga sasaran (TP) RM6.60, disokong oleh kelebihan keselamatan bekalan bahan mentah serta operasi syarikat yang bersepadu,” tambahnya.
MBSB Research berkata, situasi tersebut membolehkan kumpulan petrokimia Petronas berkenaan masih lagi dilihat sebagai kekal kompetitif dalam keadaan pasaran antarabangsa yang tidak menentu.
“Krisis semasa mengubah landskap industri petrokimia global, dengan faktor keterjaminan menjadi beza utama antara pemain berdaya tahan dan yang terdedah kepada risiko gangguan bekalan,” katanya.-UTUSAN










