Hakim lanjut sekatan pembinaan dewan tari Rumah Putih, benar projek bina bunker

Hakim lanjut sekatan pembinaan dewan tari Rumah Putih, benar projek bina bunker

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) melanjutkan perintah yang menghalang pembinaan dewan besar Rumah Putih oleh Presiden, Donald Trump, namun membenarkan kerja-kerja diteruskan bagi cadangan pembinaan kompleks bawah tanah.

Trump bertindak balas dengan nada marah terhadap keputusan itu di platform Truth Social miliknya, menyifatkan Hakim Daerah, Richard Leon sebagai ‘sangat berunsur politik’ dan ‘tidak terkawal’.

“Ini adalah satu penghinaan kepada sistem mahkamah kita!. Dewan ini sangat penting untuk keselamatan negara kita dan tiada hakim boleh dibenarkan menghentikan projek bersejarah dan amat penting dari segi ketenteraan ini,” katanya.

Leon sebelum ini mengarahkan penangguhan projek dewan bernilai AS$400 juta (RM1.6 bilion) itu bulan lalu, memutuskan kelulusan Kongres diperlukan untuk projek tersebut, yang telah menyebabkan sayap Timur Rumah Putih dirobohkan secara mengejut.

Dalam perintah yang dipinda pada Khamis, Leon mengekalkan larangan terhadap sebarang pembinaan di atas tanah bagi dewan yang dicadangkan di tapak bekas Sayap Timur, yang sebelum ini menempatkan pejabat Wanita Pertama.

Namun beliau membenarkan kerja pembinaan fasiliti keselamatan negara bawah tanah diteruskan.

“Pembinaan bawah tanah boleh diteruskan, termasuk ‘penggalian rahsia, bunker, tempat perlindungan bom, sekatan perlindungan, pemasangan ketenteraan, serta fasiliti hospital dan perubatan’,” kata hakim itu.

“Kerja bawah tanah boleh diteruskan dengan syarat ia tidak mengunci saiz dan skala bahagian atas tanah dewan tersebut.

“Keselamatan negara bukanlah cek kosong untuk meneruskan aktiviti yang sebaliknya menyalahi undang-undang,” kata hakim itu.

Hakim yang dilantik oleh bekas Presiden Republikan, George W. Bush itu menangguhkan pelaksanaan perintahnya selama seminggu bagi membolehkan pentadbiran membuat rayuan.

Dalam keputusan awal yang menghentikan projek dewan itu, Leon berkata, Presiden adalah ‘pemegang amanah’ Rumah Putih namun beliau bukan pemiliknya.

Dewan itu menjadi projek kegemaran Trump dalam penggal keduanya dan beliau sering membincangkannya dalam penampilan awam, sidang media dan mesyuarat.

Trump berhujah, dewan besar diperlukan untuk menganjurkan pelbagai acara penting termasuk majlis makan malam negara bagi tetamu kenamaan.

Dalam hantaran Truth Social pada Khamis, beliau menekankan aspek keselamatan projek tersebut.

“Menghalang pembinaan dewan itu bermaksud tiada Presiden masa depan yang tinggal di Rumah Putih tanpa dewan ini boleh benar-benar selamat dalam acara, majlis angkat sumpah atau sidang kemuncak global,” kata Trump.

Trump berjanji untuk menanggung kos pembinaan dewan itu melalui sumbangan peribadi, bukan dana pembayar cukai.

Ahli perniagaan hartanah itu juga baru-baru ini mendedahkan rancangan membina sebuah gerbang besar di ibu negara bagi memperingati ulang tahun ke-250 kemerdekaan AS.

Aktiviti pembangunan besar-besaran itu, termasuk pengubahsuaian Taman Rose dan hiasan emas yang ketara di Pejabat Oval, mencetuskan reaksi keras daripada pengkritik Trump yang mendakwa beliau memaksakan cita rasa mewah peribadi ke atas aset bersejarah negara.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×