Bersatulah lawan virus Covid-19 - Utusan Malaysia

Bersatulah lawan virus Covid-19

RAKYAT menuntut ahli Parlimen bukan sahaja berganding bahu tetapi bergerak sederap untuk mengatasi kerumitan hidup yang dihadapi mereka. – UTUSAN/FAUZANA AZIMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARLIMEN yang bakal bersidang semula sangat ingin dilihat rakyat pada kali ini sebagai forum untuk pertama-tamanya membincangkan cara mengatasi pandemik Covid-19 yang lebih berkesan, selain Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai usaha untuk keluar daripada krisis kesihatan dan ekonomi amat runcing yang sedang kita hadapi.

Demi kepentingan negara, rakyat sama sekali tidak mahu melihat adanya usaha sengaja untuk mengeruhkan persidangan yang dijangka amat sengit dengan cuba membawa usul undi tidak percaya terhadap kerajaan atas dakwaan tidak sah kerana tidak mendapat mandat rakyat, selain gagal mengurus tadbir negara.

Ini kerana ia bukan keutamaan bagi rakyat yang kini rata-ratanya berada dalam kesusahan amat sangat akibat krisis kesihatan yang melanda negara dan dunia yang kesannya serius sekali terhadap sektor ekonomi negara yang pula teruk menjejaskan nafkah hidup mereka.

Oleh itu, rakyat bukan lagi mengharapkan malah menuntut ahli Parlimen bukan sahaja berganding bahu tetapi bergerak sederap untuk mengatasi kerumitan hidup yang dihadapi mereka. Justeru, persidangan nanti hendaklah digunakan untuk tujuan ini sahaja. Akan tetapi untuk ahli Parlimen daripada pihak lawan, inilah masanya malah peluang keemasan untuk menjatuhkan kerajaan yang memerintah dalam keadaan politik negara yang amat rapuh. Apatah lagi dengan perkembangan terbaru yang memperlihat adanya kemahuan untuk menarik sokongan kepada kerajaan daripada pihak tertentu.

Walaupun persidangan yang bakal diadakan ditetapkan sebagai sesi penerangan kerajaan tentang pandemik Covid-19 dan PPN, ia masih boleh bersifat perbincangan penting sebagai usaha lebih berkesan untuk menangani dua krisis yang sedang melanda negara, iaitu kesihatan dan ekonomi. Dalam hal ini, rakyat memang menagih pihak lawan untuk bertanya pelbagai soalan berdasarkan politik formal, yakni untuk semata-mata kepentingan negara dan bukannya politik tidak formal, iaitu untuk kepentingan peribadi dan parti sahaja.

Kerajaan dalam menjawab hendaklah juga melakukan hal sedemikian selain berjiwa besar untuk memperlihat keterbukaan dan menerima pembaharuan untuk merubah apabila terdapat kekurangan pada pendekatan yang telah diambil. Ini penting agar kerajaan bukan sahaja dilihat sedia menerima pandangan lain yang lebih penting, lagi sikap begini akan memberi dampak baik kepada rakyat.

Secara umumnya, semua tindakan untuk menangani pandemik di negara ini dan mana-mana negara lain bersifat mencuba pelbagai kaedah yang diharapkan sesetengahnya dapat memberi hasil terbaik dan meninggalkan yang ada kesilapan setelah menemui kegagalan. Selain kaedah begini, sesetengah tindakan pula bersifat wajib dilakukan kerana masa terdesak memang memerlukan langkah mengasak. Ini kerana musibah begini tidak pernah berlaku, justeru tiada pengalaman untuk mengatasinya dengan hanya satu dan sekali tindakan.

KONFLIK
Oleh itu, keterlaluan sekali untuk menyalahkan beberapa pihak tertentu dan mendesak mereka meletak jawatan pula. Sebaliknya dalam waktu segenting ini, ahli Parlimen hendaklah bersatu atas nama kepentingan rakyat untuk memastikan apa-apa jua langkah baik diambil demi kebaikan rakyat. Dengan ini, mereka pasti dihargai sebagai bertanggungjawab, selain berjaya mengurus konflik kepentingan diri sendiri dan parti.

Sesungguhnya ini memperlihat bahawa ahli Parlimen kita bukan sahaja memiliki kedua-dua kecerdasan intelektual dan emosi tetapi lebih penting lagi berjaya mengimbangi kedua-duanya, khususnya pada waktu genting ini untuk berpolitik formal sahaja demi kepentingan rakyat. Oleh itu, amat malang jika persidangan Parlimen nanti masih mahu diperlaku sebaliknya oleh sesetengah pihak. Mereka ini sudah tentu tidak berakal yang bukan sahaja rakus sepanjang masa dengan hanya memikirkan diri sendiri dan parti mereka tetapi amat kejam sebab masih mahu merealisasikan agenda peribadi dan parti walaupun bukan masanya pada kala rakyat sedang menderita sakan.

Dalam pada itu, syabas kepada yang menyatakan mereka tidak berminat pada masa genting ini untuk menyokong usul undi tidak percaya jika ia dibawa. Mereka mahu pada kali ini hanya membincangkan krisis yang melanda negara. Sesungguhnya mereka ini bukan sahaja bertanggungjawab, mereka memainkan peranan perwakilan yang diamanahkan oleh rakyat kepada mereka dengan baik sekali, iaitu selari dengan kehendak rakyat agar mereka hanya berpolitik formal untuk kepentingan rakyat pada waktu terdesak ini.

Sehubungan itu, rakyat ingin melihat jemaah Parlimen yang bersatu pada persidangan penting ini. Bagi mereka, kesatuan adalah cara terbaik pada masa ini untuk meringankan tugas berat dalam memerangi pandemik Covid-19. Oleh itu, ahli Parlimen wajib bersatu untuk merealisasikan harapan rakyat ini. Ini kerana kesatuan ini sangat diperlukan untuk kelangsungan rakyat, baik dari segi kesihatan mahupun ekonomi.

Sebaliknya rakyat tidak mahu sesekali melihat perpecahan dalam hal ini akibat ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan Senator di Dewan Negara yang tidak dapat bekerjasama untuk menangani krisis kerana ketidaksetujuan yang lebih bersifat politik tidak formal, yakni agenda peribadi dan parti lebih diutamakan daripada yang untuk rakyat. Jika ini berlaku, yang akan menjadi mangsa ialah rakyat yang kebajikan mereka tidak terbela dan negara kerana lemah akibat ketidakstabilan politik.

 

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×