Belajar daripada UK tangani pandemik - Utusan Malaysia

Belajar daripada UK tangani pandemik

PENDUDUK UK kini boleh makan di restoran selepas sekatan Covid-19 dilonggarkan sejak 19 Julai lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUNGKIN ramai yang masih ingat peristiwa di United Kingdom (UK) tanggal 8 Disember lalu, iaitu kisah seorang wanita berusia hampir satu abad menerima suntikan vaksin Covid-19.

Namanya Margaret Keenan, 91, individu pertama di UK menerima pelalian berkenaan dengan dos pertama pada 8 Disember sebelum dos kedua menyusul tiga minggu selepas itu.

Suntikan vaksin ke atas wanita ini adalah permulaan kepada program pelalian terbesar dalam sejarah UK moden dan setakat 19 Julai lalu, 88 peratus populasi negara itu sudah menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan 66.8 peratus melengkapkan imunisasi mereka dengan mendapat dua dos.

Tarikh 19 Julai juga menyaksikan kerajaan UK mengumumkan pengakhiran sekatan pergerakan tegas dikenakan bagi mengekang dan memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Tarikh sama digelar oleh media UK sebagai Hari Kebebasan ketika penduduk negara berkenaan bersiap sedia untuk kembali kepada norma kehidupan lama sama seperti sebelum virus Covid-19 menyerang.

Ini bermakna tiada lagi kewajiban pemakaian pelitup muka, manakala semua sektor termasuk sosial seperti pawagam boleh beroperasi semula sepenuhnya.

Namun,  jangkitan baharu Covid-19 di UK tetap direkodkan, malah meningkat dalam tempoh beberapa minggu lalu termasuk 46,558 kes yang dicatatkan pada 20 Julai.

Jangkitan Covid-19 di Malaysia pada 20 Julai pula adalah 12,366 kes. Untuk rekod, populasi negara kita kira-kira separuh daripada UK.

Pembukaan semula sektor ekonomi UK diputuskan berasaskan tiga tanda aras utama, iaitu kadar kematian akibat Covid-19 yang rendah, kadar vaksinasi tinggi dan situasi ekonomi yang teruk terjejas akibat sekatan pergerakan berterusan.

Pada 20 Julai, sebanyak 99 kematian akibat Covid-19 dilaporkan di UK, jauh lebih rendah berbanding purata 20,000 kematian setiap hari yang direkodkan di negara itu pada akhir Januari lalu.

Ketika ini, kes kematian semasa di UK akibat Covid-19 adalah sama dengan kes-kes kematian disebabkan selesema biasa.

Pengalaman UK seharusnya memberi pengajaran berharga kepada negara-negara lain termasuk Malaysia. 

Pelan Pemulihan Negara yang datang serentak ketika program vaksinasi semakin rancak akan memastikan kerajaan dapat melaksanakan perancangan lebih tersusun dalam mendepani pandemik melalui perancangan yang amat jelas.

Bagaimanapun, kejayaan pelan itu amat bergantung kepada kerjasama rakyat dalam mematuhi peraturan ditetapkan terutama pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

ROZILAN MOHD. FITRI, Bukit Jelutong, Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.