PKP 2.0: Kejayaan tidak dilihat - Utusan Malaysia

PKP 2.0: Kejayaan tidak dilihat

Pelaksanaan PKP 2.0 menyaksikan kerugian negara berkurangan kepada RM300 juta sehari berbanding RM2.4 bilion sehari semasa PKP 1.0. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKH 9 Jun 2020 menjadi satu lagi hari bersejarah bagi rakyat Malaysia, berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada pukul 11.59 malam, dan digantikan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa 10 Jun hingga 31 Ogos 2020.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menyifatkan PKPP sebagai sebahagian exit strategy daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020. Di bawah PKPP, perjalanan rentas negeri dibenarkan kecuali di kawasan yang diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD.

Sepanjang tempoh itu juga, semua perkhidmatan kerajaan beroperasi sepenuhnya manakala hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi dan sebagainya beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).

Selepas berada selama 57 hari di bawah PKP 1.0 dengan SOP sangat ketat dan 37 hari PKPB yang hanya dilonggarkan sedikit peraturan-peraturannya, PKPP bolehlah dianggap sebagai hadiah terbaik daripada kerajaan kepada rakyat sepanjang tempoh bermula serangan Covid-19.

Pelaksanaan PKPP juga menutup mulut pengkritik yang sebelumnya bekerja keras untuk memesongkan fikiran rakyat supaya mempercayai kerajaan menjadikan PKP sebagai perisai untuk melindungi kepentingan politik.

PKP 1.0 terbukti berjaya menurunkan nilai R-naught, iaitu nilai kebolehjangkitan kepada 0.335, sekali gus mengurangkan kes jangkitan Covid-19 kepada angka satu hingga dua digit sehari pada awal Mei 2020.

Apabila PKPP fasa kedua bermula 1 September, semuanya masih berkeadaan baik. Kerajaan dan rakyat sama-sama menaruh harapan agar selepas fasa itu berakhir pada 31 Disember, Malaysia akan bebas terus daripada Covid-19 dan tiada lagi PKP atau apa juga seumpamanya.

Tetapi impian itu tidak kesampaian.

Kemelut politik di Sabah mendorong kepada wujudnya keperluan mengadakan pilihan raya negeri (PRN). Jika Ketua Menteri Sabah pada masa itu, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tidak menggunakan jalan pintas dengan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menyelesaikan kemelut, keadaan sekarang mungkin berbeza.

Mungkin negara ini telah lama bebas daripada Covid-19.

PRN itulah menjadi faktor paling dominan yang merosakan PKPP. Walaupun diadakan dalam keadaan terikat dengan SOP, ia gagal mengekang sepenuhnya penularan yang berlaku akibat pelbagai aktiviti lain berkaitan pilihan raya tersebut. Kehadiran pasukan petugas kempen dari seluruh pelusuk negara memburukkan situasi dan mempercepatkan sebaran virus.

Pada 20 September 2020, enam hari sebelum hari mengundi PRN Sabah, negara dilanda gelombang ketiga Covid-19. Lebih ganas daripada yang pertama dan kedua. Pada 24 Oktober 2020, Malaysia buat pertama kalinya merekodkan kes harian empat digit iaitu 1,228.

Perdana Menteri semasa mengumumkan PKP 2.0 turut mendedahkan, bermula penghujung November 2020, fenomena kes harian empat digit direkodkan sehingga yang tertinggi pada 7 Januari 2021, iaitu 3,027.

Ancaman berterusan pandemik menyebabkan Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021 memohon perkenan bagi mengisytiharkan darurat.

VAKSIN

Pada petang hari yang sama, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP 2.0 bagi enam negeri bermula jam 12.01 tengah malam, 13 sehingga 26 Januari 2021.

Sewaktu mengumumkan PKP 2.0, Perdana Menteri turut memberitahu, fasiliti Kementerian Kesihatan sudah sampai ke tahap tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baharu setiap hari.

PKP 2.0 juga memberi ruang kepada kerajaan memberi fokus pada usaha merancang dan melaksana pemberian vaksin kepada rakyat, dari peringkat kajian klinikal sehinggalah penilaian, kelulusan, pembentukan pusat pemberian vaksin (PPV) dan yang berkaitan dengannya.

Pelaksanaan PKP 2.0 tidak terlepas daripada kritikan golongan yang kerjanya hanya mencari salah kerajaan. Mereka mempersoalkan kenapa ia tidak bersifat menyeluruh sebaliknya terbahagi kepada segmen PKP melibatkan negeri-negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah; PKPB melibatkan Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan; manakala Perlis dan Sarawak di bawah PKPP. Turut dipersoalkan, langkah kerajaan membenarkan sektor-sektor ekonomi tertentu beroperasi.

Perkara yang enggan difahami oleh mereka ialah PKP 1.0 meninggalkan kesan besar terhadap ekonomi negara. Sepanjang tempoh itu, ekonomi negara menguncup sebanyak -5.9 peratus pada Mac diikuti -28.8 peratus (April) dan -19.7 peratus (Mei).⠀

Pelaksanaan PKP 1.0 juga mengakibatkan pengangguran meningkat daripada 3.2 peratus atau 511,700 penganggur pada Januari 2020 kepada 5.3 peratus atau 826,100 penganggur (Mei 2020), yang merupakan pengangguran tertinggi sejak krisis komoditi pada akhir 1980-an. Kerajaan tidak mahu perkara sama berulang.

Atas faktor itulah, dalam kesungguhannya menjaga kesihatan rakyat, kerajaan berusaha memastikan kelangsungan hidup mereka, dan ‘kehidupan’ negara dapat diteruskan tanpa mudarat yang besar. Terbukti usaha itu berjaya.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam satu kenyataannya menyatakan, PKP 2.0 yang membenarkan lebih banyak sektor ekonomi semasa dibuka menyaksikan kerugian negara berkurangan kepada RM300 juta sehari berbanding RM2.4 bilion sehari semasa PKP 1.0.

Tambah beliau, walaupun Malaysia mengalami penguncupan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.6 peratus pada 2020, lebih baik berbanding unjuran awal oleh organisasi antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (-5.8 peratus), Bank Dunia (-5.8 peratus) dan Bank Pembangunan Asia (-6.0 peratus).

Prestasi Malaysia juga lebih baik jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Thailand (-6.1 peratus) dan Filipina (-9.5 peratus) dan negara lain seperti United Kingdom (-9.9 peratus),” katanya.

Semuanya ini adalah data dan fakta. Ia lebih daripada memadai untuk membuktikan kerajaan pada dasarnya berjaya menguruskan krisis pandemik dengan baik.

Malangnya aspek ini tidak diambil peduli oleh pengkritik. Tetapi ia tidaklah menghairankan kerana kata bijak pandai, semakin luas mulut terbuka, semakin sempitlah fikiran manusia.

Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah Setiausaha Politik Menteri Wilayah Persekutuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×