Pandemik cetus celaru mental - Utusan Malaysia

Pandemik cetus celaru mental

Dalam suasana pandemik ini, sesebuah organisasi perlu lebih peka terhadap isu kesihatan mental kakitangannya. – UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA penanda aras kehidupan berkualiti adalah kesihatan mental yang positif, iaitu kesejahteraan mental. Dunia masa kini bukan sahaja mencabar tetapi terdedah dengan pelbagai aspek yang disebut VUCA iaitu kemeruwapan (volatility), ketidakpastian (uncertainty), kerumitan (complexity) dan kesamaran (ambiguity). Keadaan ini lebih terserlah sejak bermulanya pandemik Covid-19 yang masih lagi dihadapi ketika ini.

Kesejahteraan mental bukan hanya dialami oleh seseorang individu tetapi berkait rapat dengan individu lain dalam kelompok dan persekitarannya. Walaupun pengalaman individu, ia bukanlah sesuatu yang boleh diabaikan oleh sesebuah organisasi yang bertanggungjawab. Seseorang yang mempunyai tahap kesejahteraan mental yang baik lebih berupaya menjadi seorang pekerja produktif dalam sesebuah organisasi serta menyumbang ke arah menzahirkan persekitaran kerja lebih dinamik dan sihat. Ini bukan sahaja penting untuk diri pekerja tetapi kepada individu lain juga.

Dalam suasana pandemik ini, sesebuah organisasi perlu lebih peka terhadap isu kesihatan mental kakitangannya dan ia perlu dilihat dari perspektif individu serta organisasi kerana kedua-duanya saling berkaitan. Pada peringkat individu, terdapat isu kesihatan mental yang lahir disebabkan tuntutan kerja, permasalahan hubungan dengan penyelia, rakan sekerja, pemegang taruh, pelanggan atau tuntutan rumah tangga kerana tinggal bersama-sama dengan ahli keluarga yang bermasalah atau memerlukan penjagaan khusus. Mereka ini sering melaporkan tahap kepuasan kerja yang rendah, perasaan tertekan dan mempamerkan kemerosotan dalam kualiti kerja.

Pada peringkat institusi terdapat pelbagai tugasan, tuntutan kerja dan harapan dari pelbagai pihak. Mereka juga berhadapan pelbagai faktor luaran organisasi seperti ketidaktentuan ekonomi, politik, globalisasi, perubahan cara hidup, budaya setempat termasuklah pandemik. Keadaan ini juga berkait rapat dengan kesejahteraan mental pekerja.

Kedua-dua faktor di atas memberi kesan terhadap peranan dan produktiviti organisasi. Perubahan proses dan cara kerja memberi kesan kepada pengalaman psikologi seseorang pekerja seperti pudarnya rasa kepuasan kerja atau kurangnya rasa keseimbangan dalam diri pekerja. Ini terjadi kerana wujudnya ketidakserasian antara tuntutan kerja dan kompetensi yang dimiliki pekerja. Contohnya, aktiviti yang selama ini dijalankan secara bersemuka perlu dilakukan secara dalam talian pada masa pandemik. Ini menyebabkan pekerja yang selama ini mampu memenuhi tuntutan kerjanya dengan baik tidak lagi berasa produktif kerana mereka merasakan tiada kompetensi yang diperlukan untuk melakukan kerja dengan cara kerja baharu. Ini boleh menyebabkan pekerja berasa tidak dapat berfungsi dengan sempurna, maka wujudlah perasaan bersalah, tidak cekap atau tertekan.

RAHMATAN LIL-ALAMIN

Walaupun amalan kerja yang baik dan hasil kerja berkualiti merupakan fokus penting dalam sesebuah organisasi, perhatian sewajarnya perlu diberikan oleh majikan untuk mengurus persekitaran kerja dalam suasana pandemik. Ini penting untuk memastikan pekerja mempunyai tahap kesediaan yang baik untuk menangani cabaran dan tuntutan kerja serta hambatan lain dalam kehidupan peribadi mereka. Dalam hal ini, organisasi perlu mengambil inisiatif untuk membantu pekerja mencapai tahap kesejahteraan mental yang baik.

Adalah penting bagi majikan di setiap organisasi untuk mengambil cakna tentang kebajikan ahli keluarga mereka terutama bagi sesebuah organisasi besar seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang mengamalkan prinsip rahmatan lil-alamin yang menganjurkan usaha untuk membawa kesejahteraan sejagat.

Sesebuah organisasi, sama ada yang besar seperti universiti atau syarikat persendirian berskala kecil, perlu mengenal pasti ruang lingkup keperluan pekerja mereka.
Dengan melihat setiap pekerja sebagai insan dan bukan sekadar penyandang kepada jawatan yang dilantik, kesejahteraan mental pekerja tidak hanya dilihat sekadar retorik atau polemik tetapi menjadi satu tanda aras keberkesanan sesebuah organisasi. Oleh yang demikian, satu perkara penting yang perlu dititikberatkan ialah peranan organisasi sebagai penyumbang utama ke arah melahirkan insan sejahtera dalam masyarakat.

Pendekatan holistik harus digerakkan untuk memupuk keadaan sejahtera di tempat kerja. Untuk tujuan ini, sesebuah organisasi perlu menilai tahap kesesuaian di antara kompetensi pekerja dan tugasan yang diberikan. Kompetensi seseorang pekerja terbentuk daripada pengetahuan, kemahiran, kebolehan dan ciri keperibadian tertentu. Sekiranya tiada keserasian antara individu dipilih dengan deskripsi kerja diberikan, maka akan wujudlah kesan negatif dalam diri pekerja yang mungkin membawa kepada ketidaksejahteraan mentalnya di kemudian hari.

Maka adalah sangat penting untuk melihat isu kesihatan mental bukan hanya pada gejala yang timbul tetapi juga pada inisiatif untuk membendung terjadinya fenomena kemerosotan kesejahteraan mental dalam kalangan pekerja. Selain itu, peningkatan dan pemantapan kompetensi juga perlu diberi perhatian agar pekerja sentiasa bersedia dengan kompetensi baharu seiring dengan perubahan yang berlaku dalam dunia pekerjaan.

Prof. Dr. Shukran Abdul Rahman ialah Dekan Kulliyyah Ilmu Wahyu & Sains Kemanusiaan dan Prof. Madya Dr. Lihanna Borhan ialah pensyarah bidang psikologi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×