Panchatantra, kisah binatang tentang manusia - Utusan Malaysia

Panchatantra, kisah binatang tentang manusia

Munsyi Abdullah pernah menterjemah dan menerbitkan Hikayat Panca Tanderan pada 1835.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kita tentu pernah mendengar atau membaca kisah seekor kura-kura yang terbang dengan bantuan dua ekor itik. Kisah klasik itu mengenai kura-kura yang tinggal di kolam. Apabila air mula surut, dua itik bersetuju untuk membantu kura-kura berpindah ke tempat lain.

Kura-kura diminta menggigit sebatang kayu yang digigit pula pada kedua-dua hujung oleh pasangan itik itu lalu terbang ke tempat baharu. Orang ramai kagum melihat kura-kura terbang di langit. Kura-kura membuka mulut, lalu jatuh terhempas ke tanah.

Cerita moral ini terkenal di seluruh dunia dan diceritakan dalam ratusan bahasa. Terdapat pelbagai cerita binatang yang dijadikan bahan untuk menyampaikan pengajaran moral kepada kanak-kanak. Malah, kisah-kisah ini mampu memberi pengajaran kepada individu tidak kira usia pada pelbagai peringkat hidup.

Munsyi Abdullah pernah menterjemah dan menerbitkan Hikayat Panca Tanderan (1835). Bapa Kesusasteraan Melayu Moden itu merupakan individu Jawi Peranakan (India-Muslim) yang melakukan terjemahan teks itu dengan bantuan seorang rakan bernama Tambi Mutu Birapattar.

Teks asal, Panchatantra adalah dalam bahasa Sanskrit dan sudah pun terdapat dalam pelbagai bahasa di India sebelum diterjemah pula ke bahasa-bahasa lain di seluruh dunia. Misalnya, versi terjemahan bahasa Parsi dengan judul Kalila-o-Damna dan bahasa Arab dengan judul Kalila wa-Dimna.

Untuk makluman, Kalila dan Dimna merupakan nama watak dua serigala penuh muslihat yang cuba memperdaya watak Raja Singa dalam Panchatantra. Seperti dinyatakan tadi, watak-watak dalam teks ini terdiri daripada pelbagai binatang yang diberi personafikasi, iaitu mempunyai sifat dan perwatakan seperti manusia.

Kita biasa dengan istilah ‘pancaindera’ yang merujuk kepada lima deria dimiliki manusia. Di Indonesia terdapat Pancasila yang memiliki lima prinsip, seperti juga Rukun Negara di Malaysia. Istilah pancha daripada Sanskrit bermakna ‘lima’. Istilah tantra pada judul buku cerita binatang ini pula boleh diberi pelbagai tafsiran dan makna.

Misalnya, tantra boleh membawa makna muslihat, tipu helah, manipulasi, taktik, strategi, kebijaksanaan dan sebagainya mengikut konteks. Hal ini benar kerana dalam teks Panchatantra, terdapat pelbagai kisah di mana masing-masing watak binatang menunjukkan sifat tantra yang dimiliki, secara positif dan negatif.

Secara mudah, teks klasik itu merupakan cerita berbingkai seperti Hikayat Bayan Budiman dan Kisah Seribu Satu Malam. Di dalam sebuah cerita, ada pula beberapa cerita lain, atau apabila satu cerita mahu berakhir, watak di dalamnya akan menyebut mengenai satu lagi cerita yang akan diceritakan seterusnya.

Diceritakan seorang raja mempunyai tiga orang putera yang kurang cerdik serta tidak berminat untuk belajar dan mempersiapkan diri menjadi pemimpin (pemerintah). Maka raja memanggil seorang guru yang bersetuju untuk mendidik mereka melalui siri cerita binatang.

Teks Panchatantra terbahagi kepada lima bahagian. Bahagian pertama berkisar tentang Raja Singa yang bersahabat dengan seekor lembu. Watak serigala bernama Kalila dan Dimnah melakukan pelbagai muslihat untuk memusnahkan persahabatan itu. Memandangkan ini sebuah cerita berbingkai, maka ada lebih daripada 30 cerita lain dengan tema hampir serupa dalam bahagian ini.

Bahagian kedua mengandungi 10 cerita yang menyentuh tema persahabatan dan kerjasama. Watak-watak seperti gagak, tikus, kura-kura dan rusa digunakan untuk menyampaikan pengajaran moral yang amat berguna kepada tiga putera berkenaan. Bahagian pertama memenuhi sekitar 45 peratus teks Panchatantra manakala bahagian kedua panjangnya sekitar 20 peratus.

Bahagian ketiga mengandungi sekitar 20 cerita yang mengangkat tema perang, konflik dan cara mengatasi masalah, sama ada kecil atau besar. Kisah utama mengenai gagak dan burung hantu, manakala terselit juga pelbagai cerita yang menampilkan watak seperti arnab, kucing, kambing, semut, angsa, tikus, ular dan katak. Ia meliputi 25 peratus keseluruhan buku.

Bahagian keempat terdiri daripada hampir 15 cerita binatang yang menyentuh pengajaran supaya berhati-hati agar tidak kehilangan apa yang sudah dimiliki. Dalam hal ini, ketiga-tiga putera yang mendengar cerita atau kita sebagai pembaca diingatkan supaya tidak mudah diperdaya oleh sesiapa, termasuk individu yang amat dikenali.

Apabila bahagian keempat dan kelima digabungkan, panjangnya hanya mewakili sekitar tujuh peratus daripada keseluruhan teks Panchatantra. Bahagian kelima juga amat unik kerana berbeza dengan empat bahagian terdahulu. Bahagian terakhir ini banyak menampilkan watak manusia. Seolah-olah watak guru yang menjadi pencerita dalam teks berbingkai ini mahu ketiga-tiga putera sedar bahawa kisah yang disampaikan bukan cerita binatang dan rekaan semata-mata, sebaliknya kisah tentang manusia.

Bahagian lima menyampaikan pengajaran supaya kita tidak terburu-buru membuat keputusan atau bertindak tanpa usul periksa. Salah satu kisah yang saya suka dalam bahagian lima teks Panchatantra ialah mengenai seekor cerpelai. Cerita ini pernah saya dengar semasa kanak-kanak sebelum dibaca dalam pelbagai versi.

Saya turut menceritakan semula kisah itu dalam buku Nari! Nari! (1995). Kisahnya tentang seorang wanita yang membela seekor cerpelai dengan penuh kasih. Pada suatu hari, apabila dia pulang ke rumah, cerpelai dilihat berlumuran darah.

Wanita itu mengandaikan cerpelai telah menggigit bayi yang ditinggalkan seorang diri. Tanpa berfikir panjang, dia membunuh si cerpelai. Kemudian dia menemui anaknya dalam keadaan selamat dan ada seekor ular terbunuh tidak jauh dari buaian. Barulah wanita itu tahu si cerpelai telah membunuh ular tersebut dan menyelamatkan bayi berkenaan.

Kesemua cerita dalam Panchatantra dan terjemahannya dalam mana-mana versi atau bahasa mengandungi mesej bersifat malar. Maknanya, cerita itu bukan hanya sesuai bagi tiga putera yang hidup pada zaman dahulu. Sebaliknya, wajar dijadikan pengajaran kepada kita pada hari ini.

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×