BIDANG keselamatan makanan nasional merupakan tonggak yang sangat penting dalam strategi keseluruhan pembangunan negara melalui hubungan timbal baliknya dengan bidang sosioekonomi lain. Strategi keselamatan makanan negara yang berkesan akan mewujudkan ketersediaan dan kemampuan, seterusnya dapat menjimatkan perbelanjaan keseluruhan isi rumah. Di pihak kerajaan pula, sebahagian besar peruntukan negara boleh disalurkan kepada sektor lain yang lebih memerlukan.
Kita memahami salah satu ciri unik Revolusi Perindustrian 4.0 (4IR) adalah kecekapan yang dapat dicapai membabitkan seluruh industri. Industri pertanian adalah antara sektor yang mendapat manfaat besar daripada 4IR. Menerusi ‘kuasa’ 4IR, ia mampu menguruskan isu keselamatan dan jaminan makanan kepada rakyat dengan lebih tersusun serta mengurangkan tekanan terhadap sumber dimiliki.
Beberapa ciri teknologi kini menjadi kebiasaan digunakan dalam sektor pertanian, malah boleh dikatakan telah diubah dalam tempoh singkat oleh teknologi 4IR. Ini menyebabkan petani generasi awal berdepan kesukaran untuk membiasakan diri memandangkan mereka sudah terbiasa dengan kaedah pertanian tradisional seperti ladang luas dan menggunakan tenaga buruh yang ramai.
4IR boleh dilihat sebagai keperluan mendesak untuk keselamatan makanan. Oleh hal demikian, maka tidaklah menghairankan apabila negara-negara terkedepan dalam bidang keselamatan makanan seperti Finland, Ireland, Belanda, Jerman, Jepun, Singapura dan Korea Selatan telah lama meningkatkan keupayaan teknologi untuk berkhidmat kepada rakyatnya menerusi Society 5.0 versi masing-masing. Ini merangkumi kemampuan untuk menyediakan sumber makanan kepada rakyatnya.
Analisis lebih terperinci membabitkan negara-negara terkemuka menerusi Keselamatan Makanan Sedunia menunjukkan kumpulan ini telah menumpukan usaha untuk meningkatkan teknologi pertanian dan makanan. Mereka memberi keutamaan terhadap pertanian berteknologi tinggi, kemampuan kejuruteraan dan prinsip ekonomi sebagai tonggak strategi keselamatan makanan nasional di negara masing-masing.
Antara trend di negara berkenaan membabitkan sektor ini termasuklah menjadikan keselamatan makanan sebagai keutamaan paling penting oleh pentadbiran, pelaburan besar dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi pertanian dan memberi tumpuan khusus kepada petani kecil dan pengusaha teknologi pertanian tempatan melalui pembiayaan inovatif, skim insentif dan menghubungkan dengan rangkaian e-dagang yang luas.
Sehubungan itu, memiliki strategi keselamatan makanan nasional yang jelas merupakan salah satu syarat paling penting agar semua elemen keselamatan makanan yang lain dapat disatukan dengan baik.
PINTAR
Menyedari keselamatan makanan merupakan isu nasional dan bukan sekadar peraturan lain yang diperkenalkan, Perbadanan Ekonomi Digital (MDEC) sebenarnya mempunyai konsep yang terbukti berkesan dalam sektor pertanian. Penerapan percubaan oleh MDEC terhadap teknologi pertanian 4IR sangat berjaya yang melibatkan pelbagai aktiviti pertanian seperti fertigasi pintar, penyemburan halus secara kabus pintar, akuakultur pintar, penternakan ayam pintar, pengairan pintar dan pemantauan tanah pintar. MDEC melihat bagaimana teknologi pertanian telah meningkatkan produktiviti, kualiti dan pendapatan petani kecil lebih daripada 20 peratus. Sebilangan besar petani menikmati pendapatan yang lebih tinggi dan berjaya membawa hasil mereka ke pasaran.
Meletakkan agenda ini pada landasan yang tinggi akan menghasilkan ‘strategi keseluruhan kerajaan’ membabitkan keupayaan bersama oleh semua kementerian dan agensi. Tidak wujud persaingan yang tidak sihat dan hanky panky kerana semua pemain dalam ekosistem keselamatan makanan bekerjasama. Usaha bersepadu ini menghasilkan penguatkuasaan peraturan yang berkesan, mewujudkan keseluruhan ekosistem termasuk sokongan oleh pengeluar, para akademik, bidang penyelidikan dan pembangunan, pembuat dasar dan juga pengguna.
Kita harus belajar daripada sejarah negara lain serta melihat keadaan semasa. Negara-negara lain mengambil langkah penting untuk menjamin keselamatan makanan nasional mereka sementara Malaysia pula mencapai skor sifar dalam petunjuk keselamatan makanan dan dasar di bawah Indeks Keselamatan Global (GFSI) 2020. Oleh itu, sudah tiba waktunya untuk mempunyai pendekatan menyeluruh dan strategi holistik oleh kerajaan bagi menjadikan keselamatan makanan sebagai keutamaan penting.
Hasil daripada projek perintis Digital Agtech MDEC, memperlihatkan daya maju teknologi digital dan automasi dalam pertanian. Bagaimanapun, masih ada ruang untuk peningkatan teknologi. Kita dapat melepasi versi Agritech Industry 4.0 dan memasuki agtech yang juga dicadangkan di bawah Malaysia 5.0 yang diilhamkan berdasarkan Society 5.0 negara Jepun. Visi Malaysia 5.0 adalah untuk mewujudkan masyarakat yang sangat bersepadu dengan teknologi, ditabdir oleh prinsip dan amalan eco-vironmental yang inklusif dan adil.
Dalam masa terdekat, platform fintech (teknologi kewangan) dan perdagangan yang inovatif seperti platform pasar peer-to-peer (p2p) berasaskan blok rantai boleh dipertimbangkan untuk menyokong petani kecil dengan meminimumkan peranan orang tengah (jika tidak dibanteras sepenuhnya) dan memastikan harga terbaik untuk pengguna dan margin yang lebih tinggi untuk petani.
Teknologi serupa harus digunakan untuk tanaman lain di negara ini terutama padi. Walaupun kita merupakan pengguna beras utama, Malaysia hanya berupaya menghasilkan sekitar 70 peratus daripada permintaan domestik manakala selebihnya diimport. Sebenarnya, tahap keupayaan telah menurun sedikit daripada 70 peratus pada 2018 kepada 69 peratus (2019). Krisis global seperti pandemik Covid-19 menunjukkan negara kita rentan terhadap isu keselamatan makanan apabila aktiviti perdagangan makanan ruji ini turut terganggu.
Oleh itu, selain menjangkaui gagasan keselamatan makanan (dicapai melalui suplemen import) kepada kepuasan diri sebenar (sekurang-kurangnya untuk makanan ruji, ternakan utama dan akuakultur untuk keselamatan negara yang jelas), terdapat pasaran dan trend yang cukup besar dan menaik yang akan digunakan. Kemajuan teknologi adalah cara yang tidak dapat dielakkan menuju ke hadapan. Sekarang masanya kita untuk bertindak ke arah makanan selamat, keselamatan makanan dan kedaulatan makanan.
Datuk Dr. Rais Husin Mohammed Ariff ialah Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital (MDEC).











