Kak Rose, wartawan wanita hebat, dikagumi - Utusan Malaysia

Kak Rose, wartawan wanita hebat, dikagumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Allahyarham Roseminah Ahmad, 73, yang kembali ke rahmatullah pada petang Sabtu lalu adalah seorang wartawan wanita yang terkenal dan mungkin antara yang paling menyerlah pada zamannya.

Saya mula mengenali Allahyarham yang lebih mesra disapa Kak Rose apabila saya menyertai Utusan Melayu sebagai pemberita kadet pada 1 Jun 1971. Beliau yang menyertai Utusan pada 1968 sudah berstatus pemberita senior dengan akhbar Utusan Malaysia.

Selain Kak Rose, dua lagi wartawan wanita di Meja Berita Utusan Melayu dan Utusan Malaysia yang tidak kurang hebatnya ialah Kak Faridah Idris dan Kak Maimunah Yusof.

Mereka adalah rakan seangkatan yang menyertai Utusan pada tahun sama.

Semasa menjadi pemberita, pengkhususan Allahyarham adalah dalam liputan ketenteraan dan pertahanan. Banyak laporan eksklusif mengenai kegiatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaporkannya menjadikan Utusan Malaysia sebagai akhbar harian kegemaran ‘abang-abang askar.’

Dari segi strategi pemasaran sudah tentulah laporan-laporan yang disajikan mengenai pelbagai kegiatan ATM membantu melariskan jualan Utusan Malaysia yang mula diterbitkan pada 1967 itu.

Justeru, apabila beliau berumah tangga dengan seorang pegawai Tentera Darat berpangkat leftenan, ia bukanlah sesuatu yang memeranjatkan kami di Utusan.

Bagi saya dan kawan-kawan yang baharu dalam bidang kewartawanan, karya pemberitaan Allahyarham memang dikagumi. Secara langsung dan tidak langsung, kami banyak belajar lewat kerja-kerja kewartawanan yang beliau hasilkan, baik berita atau rencana.

Tulisan-tulisan beliau sewaktu mengikuti kursus kewartawanan selama tiga bulan di Berlin Institute of Journalism di Berlin Barat, Republik Persekutuan Jerman menyerlahkan bakat luar biasa beliau sebagai seorang pelapor. Sudut berita dan rencana yang dizahirkan mengenai kehidupan orang-orang Jerman yang terbelah dua kepada Jerman Barat yang diperintah secara kapitalis dan Jerman Timur yang diperintah secara komunis dilaporkan dari kaca mata seorang wanita.

Laporan-laporan Kak Rose mengenai masyarakat Jerman itu ternyata amat berbeza dengan laporan-laporan yang ditulis oleh dua orang wartawan kanan Utusan – Zainuddin Maidin dan Subky Latif yang juga pernah mengikuti kursus sama sebelum itu.

TIDAK KEKOK

Semasa di Utusan Malaysia, Kak Rose pernah menjadi penolong ketua pemberita, sebelum dilantik sebagai penolong pengarang sebuah majalah baharu yang diterbitkan oleh Utusan – Selekta Femina. Pengarang majalah bulanan Wanita yang tinggi edarannya dan berprestij menjadi milik beliau pada 1990-an.

Saya mula bekerjasama dengan Allahyarham dalam satu pasukan apabila saya dilantik sebagai ketua bahagian majalah Kumpulan Utusan pada 1993. Wanita adalah salah satu majalah di bawah seliaan saya selain Mastika, URTV, Al Islam, Kiblat. Selekta Femina, sebuah penerbitan untuk golongan remaja yang tidak mendapat sambutan ditutup penerbitannya sewaktu saya menerajui bahagian majalah.

Allahyarham sedikit pun tidak berasa kekok berketuakan saya yang merupakan juniornya dalam dunia kewartawanan. Sebaliknya yang berasa kekok adalah saya sendiri kerana terpaksa memberi tugasan dan arahan kepada senior saya dari masa ke masa. Tetapi kami dapat bekerjasama dengan baik di bahagian majalah. Sebagai seorang pengarang majalah Wanita, Allahyarham adalah seorang yang tegas menurut para wartawan yang bekerja di bawahnya.

Apabila Wirda Adnan, salah seorang sidang pengarang majalah Jelita terbitan Berita Publishing dilantik sebagai pengarang baharu majalah Wanita oleh Ketua Pengarang Kumpulan, Johan Jaaffar (kini Tan Sri), Kak Rose dilantik sebagai penolong ketua bahagian majalah. Secara bersama, kami membidankan kelahiran beberapa majalah baharu yang dirancang oleh Utusan. Antaranya termasuklah majalah bulanan Mangga, Kawan, Cerdas Pintar, mingguan hiburan Hai dan beberapa yang lain.

Apabila saya dilantik sebagai pengarang pertama majalah mingguan ehwal semasa MASSA juga terbitan Utusan, Kak Rose menjalankan tugas-tugas sebagai ketua bahagian majalah.

Apabila saya berhijrah ke TV3 pada 17 Ogos 1998, Allahyarham dilantik menggantikan saya untuk menerajui bahagian majalah.

Jawatan terakhir beliau sebelum bersara di Utusan adalah sebagai pengurus di Jabatan Pengarang Kumpulan Utusan.

Selepas meninggalkan Utusan pada 2005 pada usia 55 tahun, beliau berkhidmat pula dengan Institut Akhbar Malaysia (MPI) selama dua tahun sebagai pengarahnya hingga 2007.

Pada 2008, saya pula mengikut jejak Allahyarham bekerja dengan MPI yang telah dinaik taraf sebagai sebuah yayasan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai timbalan pengerusi merangkap ketua pegawai eksekutifnya pada 2008.

Sesungguhnya Allahyarham Roseminah Ahmad adalah seorang wartawan wanita yang hebat pada zamannya.

Ya Allah…. ampunilah dia…. rahmatilah dia dan tempatkanlah rohnya dalam kalangan hamba-hamba-Mu yang solehah. Muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada seluruh ahli keluarganya. Amin.

Al-fatihah.

Datuk Dr. Chamil Wariya ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×