Saat saya menulis artikel ini, kes baharu Covid-19 yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan sudah melebihi angka 8,000. Malah jumlah kematian juga kian meningkat, semakin hari semakin bertambah meskipun sudah lebih setahun negara kita berhempas pulas memerangi Covid-19 dengan pelbagai usaha dan tindakan.
Segala upaya manusiawi dikerah untuk mengekang penularan wabak merbahaya ini. Namun, ternyata ujian musibah ini jelas membuktikan tiada daya dan upaya melainkan kita terpaksa kembali mengakui keagungan dan kehebatan Allah SWT.
Usahkan Malaysia, negara- negara yang maju dan super power dalam teknologi masa kini pun masih terkial-kial mencari penangkis berkesan untuk mematikan wabak yang menular ini.
Wabak Covid-19 adalah musibah besar kepada dunia sekali gus menundukkan keangkuhan dan kesombongan manusia. Tidak perlu tengok jauh, kita lihat sahaja apa yang berlaku dalam negara kita. Peningkatan kes baharu dan angka kematian setelah lebih setahun kita menentangnya menunjukkan Covid-19 bukan calang-calang ‘musuh’ yang terpaksa kita berdepan.
Ringkasnya, saya menegaskan bahawa kita memerlukan pertolongan Allah SWT untuk menewaskan ‘makhluk perosak’ yang bernama Covid-19. Saya tidak jangka ada orang berani menafikan realiti ini. Namun, pada masa sama, kealpaan dan keegoan manusiawi masih menguasai sebahagian penduduk negara kita. Masih malu-malu untuk mengakui kelemahan diri dan masih segan silu untuk memperakui kebesaran Allah SWT lalu mendorong diri kembali rukuk dan sujud di hadapan Allah SWT.
Masih rasa diri hebat, kebal virus dan tidak kurang yang masih angkuh dan sombong berpaut pada upaya teknologi yang dimiliki sehingga mereka tidak peduli Allah SWT.
Tidak terdetik pun dalam hati mereka untuk berdoa dan memohon ampun kepada Allah SWT. Justeru, kita lihat masih ada yang asyik berdansa bebas lelaki perempuan, meneguk air kencing syaitan yang memabukkan, meninggalkan kewajipan solat sedang ia adalah tiang agama dan mendedahkan aurat sedang ia adalah maruah diri.
Kegiatan maksiat dan aktiviti mungkar masih berleluasa. Tidak boleh beroperasi secara fizikal dek kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka alih beroperasi di dalam talian dengan capaian yang lebih luas dan mendapat akses lebih ramai. Mungkin ada pula yang berhujah, orang yang soleh juga diserang Covid-19 sedang yang fujur dan derhaka kepada Allah SWT, bebas dan selamat.
Begitulah musibah Covid-19 ini melanda tanpa mengenal sesiapa. Lantaran itu, Allah SWT mengingatkan kita semua dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada fitnah (dosa yang membawa bencana), yang bukan sahaja akan menimpa orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi juga akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha Berat azab seksa-Nya.” (Surah al-Anfaal: 25)
Imam Ahmad bin Hanbal juga meriwayatkan hadis daripada Ummu Salamah. Dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika timbul maksiat pada umatku, maka Allah akan menyebarkan azab (bencana) kepada mereka.
Aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah tidak ada pada waktu itu orang-orang soleh?” Baginda menjawab, “Ada.”
Aku bertanya lagi: “Apa yang akan Allah perbuat kepada mereka?”
Jawab baginda: “Allah akan menimpakan kepada mereka bencana sebagaimana yang ditimpakan kepada orang yang melakukan maksiat, kemudian mereka akan mendapat keampunan dan keredhaan dari Tuhannya.” (Riwayat Imam Ahmad)
Orang beriman dan beramal soleh kekal bersabar dan musibah ini menjadi ujian buat mereka supaya terus mendekatkan diri kepada Allah SWT di samping mematuhi segala prosedur ikhtiari yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Sementara orang angkuh, besar kepala dan rasa diri kebal virus, musibah ini menjadi satu bencana (azab duniawi) yang menimpa mereka. Mudah-mudahan mereka insaf dan segera menemui peluang untuk kembali mentaati Allah SWT.
PKP KENDIRI (SELF LOCKDOWN) YANG BERKESAN
Melihat angka kes yang mencanak naik, PKP kendiri menjadi satu saranan penting sebagai ikhtiar untuk mengelak diri daripada jangkitan serta memutuskan rantaian mutasi wabak Covid-19.
Saya mengambil kesempatan untuk membantu memperkemaskan lagi prosedur operasi standard (SOP), PKP dan PKP kendiri yang diperkenalkan oleh pihak berkuasa agar ia lebih efektif dan mendatangkan hasil yang cepat:
Solat berjemaah bersama ahli keluarga di rumah jika tidak boleh melaksanakannya di masjid kerana arahan PKP semasa.
Lakukan solat (hajat) serta panjatkan doa (munajat) kepada Allah SWT agar selamat daripada wabak setiap hari sejurus selesai solat maghrib atau bangun menunaikannya pada sepertiga akhir malam.
Jauhi maksiat dan mungkar yang terbuka atau tersembunyi, fizikal atau dalam talian. Bebaskan diri dan keluarga daripada belenggu dosa.
Banyakkan beristighfar (mohon ampun) dan bertaubat atas segala dosa yang telah dilakukan. Sucikan jiwa dengan nilai takwa dan taqarrub kepada Allah SWT.
Banyakkan amal kebajikan seperti bersedekah, bantu mereka yang berada dalam kesusahan, menuntut dan menyebarkan ilmu, meninggalkan fitnah dan bersabar atas kepayahan hidup.
Patuhi segala SOP yang telah diwartakan dan dikeluarkan oleh kerajaan.
PENULIS ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).










