Istiqamah beribadah pasca Ramadan - Utusan Malaysia

Istiqamah beribadah pasca Ramadan

AMALAN seperti membaca al-Quran perlu terus dihidupkan walaupun bukan di bulan Ramadan. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Bulan Ramadan telah melabuhkan tirainya. Berlalunya bulan yang terdapat satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan, motivasi yang lumayan dijanjikan. Siangnya diisikan dengan puasa yang wajib, malamnya dihidupkan dengan ibadah sunat seperti solat tarawih, tahajud, witir di samping amalan lain seperti sedekah, membaca al-Quran. Pendek kata, bulan Ramadhan terisi dengan amal ibadah siang dan malamnya selama sebulan.

Namun, bagaimanakah dengan perjalanan baki 11 bulan lagi? Apakah kita masih meneruskan ibadah puasa hakiki, juga puasa anggota zahir?

Amalan lain yang masih boleh terus dilakukan secara konsisten adalah perkara-perkara makruf, melazimi amalan sunat (nawafil) seperti tahajud, witir dan duha, membaca al-Quran, tadabbur dan bersedekah. Semua amalan ini boleh terus dilakukan di luar bulan Ramadan melainkan amalan khusus seperti puasa wajib, solat tarawih dan membayar zakat fitrah.

Jangan biarkan amalan-amalan selain yang dikhususkan untuk dilakukan pada bulan Ramadhan hanya menjadi tradisi tahunan dalam sebulan sahaja sedangkan di bulan lain, ganjaran pahala turut dijanjikan Allah SWT. Umpamanya amalan infaq dan sedekah.

Jelas, sebaik-baik amalan adalah dilakukan secara konsisten walaupun sedikit. Jika kita tidak mampu untuk melakukan semuanya, justeru jangan tinggalkan semua.

Amalkan mana-mana yang kita mampu. Jangan beribadah semata-mata mengharapkan ganjaran lumayan yang ditawarkan. Ini kerana sikap istiqamah ini sangat dituntut dalam Islam.

Istiqamahlah dalam berpuasa anggota zahir dengan menahan diri daripada melakukan perkara dilarang syarak, meneruskan amalan bersedekah, solat sunat, membaca dan tadabbur ayat al-Quran serta melakukan amal kebajikan lain walaupun bukan di bulan Ramadan.

Madrasah Ramadan yang berlalu pergi diharap dapat membibitkan sikap istiqamah dalam beribadat melalui proses pentarbiyahan selama sebulan. Yang pasti Ramadan akan tetap kembali, namun apakah kita akan masih menjadi tetamunya lagi pada tahun mendatang?

Dalam kesempatan Syawal ini, marilah kita meneruskan amalan berpuasa dengan melakukan puasa enam untuk melengkapkan ganjaran berpuasa selama setahun penuh.

Semoga kita terus konsisten dalam beragama dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala yang dilarang sebagai bukti puasa di bulan Ramadan diterima di sisi Allah SWT.

PROF. MADYA DR. MOHD. ANUAR RAMLI
Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya