Antara Fasal 3 dan TPM UMNO - Utusan Malaysia

Antara Fasal 3 dan TPM UMNO

Presiden dan Timbalan Presiden serta Naib-naib Presiden UMNO harus terus berinteraksi dan berunding antara satu sama lain demi kebaikan parti. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DESAKAN UMNO terhadap kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja pemerintah untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari, tidak hanya boleh dilihat dalam skop ‘desakan’ semata-mata.

Ia sebenarnya menjangkau lebih daripada itu. Ini kerana perjuangan UMNO sejak ditubuhkan pada 11 Mei 1946 tertakluk kepada perlembagaannya, khusus yang berkaitan Fasal 3.

Fasal ini menerangkan enam prinsip besar untuk menjamin masa depan orang Melayu dan keutuhan perjuangan itu sendiri. Melupai enam prinsip ini bermakna melupai perjuangan bangsa, agama dan negara.

Perjuangan UMNO dalam mempertahankan Raja-raja Melayu bukan kecil. Orang Melayu tidak akan sesekali lupa dokumen Malayan Union disediakan oleh utusan Inggeris, Sir Harold MacMichael pada 1946 untuk ditandatangani oleh Raja-raja Melayu. Taktik personaliti Inggeris itu benar-benar lembut gigi daripada lidah. Malayan Union yang diumumkan di Parlimen Inggeris pada 10 Oktober 1945 berjaya si MacMichael ini mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu bagi tujuan merompak mereka daripada kedaulatan yang ada – dengan Malayan Union disahkan enam bulan kemudian, pada 1 April 1946.

Tetapi mujurlah ada Datuk Onn Jaafar, Pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) ini. Dengan pertolongan beberapa pegawai Inggeris yang sayangkan orang Melayu seperti Swettenham dan Braddell, patahlah rancangan MacMichael itu. Akhirnya Malayan Union terkubur apabila kerajaan Inggeris mengisytiharkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Penentangan terhadap Malayan Union adalah satu kemenangan untuk mengembalikan hak kedaulatan maruah bangsa Melayu.

CABARAN FASAL 3

Sebab itulah cabaran bagi pimpinan dan generasi muda UMNO kini ialah memahami akan sebenarnya ungkapan dan amali Fasal 3 Perlembagaan UMNO itu bahawa “UMNO adalah sebuah parti politik yang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.”

UMNO dianggap penjamin hidup bernegara dan berkerajaan kerana anggotanya wajib mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara. Kedua, kerana UMNO mendukung dan mempertahankan Perlembagaan negara, perlembagaan negeri-negeri dan raja berperlembagaan.

Ketiga, parti ini mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati hak beragama. Keempat, UMNO mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen serta memajukan ekonomi orang Melayu dan bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.

Kelima, menjamin kedudukan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi tunggal dan kebudayaan kebangsaan berteraskan kebudayaan Melayu. Dan keenam, bekerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak asasi manusia dan hak-hak istimewa orang Melayu dan bumiputera.

Inilah keenam-keenam tiang seri perjuangan yang tertera dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, inti pati yang menjadi tanggungjawab sebab mengapa UMNO terpanggil mendesak kerajaan supaya memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

JATI DIRI

Dan seharusnya Fasal 3 ini menjadi cabaran kepada lebih tiga juta ahli UMNO dan semua pemimpinnya supaya menginsafi sekiranya ‘kita telah terlalu jauh meninggalkan tuntutan perjuangan parti.’ Setiap anggota yang hendak menjadi pemimpin mesti dikursuskan dahulu apa itu UMNO dan apa tujuan falsafah perjuangannya. Setiap cawangan dan bahagian UMNO harus diwajibkan menganjurkan kursus berasaskan perjuangan jati diri UMNO.

Kehendak Fasal 3 itu mesti dijelmakan kepada amalan muafakat dan segan menyegani. Tidak ada kusut yang tidak akan selesai. Presiden dan Timbalan Presiden serta Naib-naib Presiden harus terus berinteraksi dan berunding antara satu sama lain demi kebaikan parti.

Jangan salahkan ‘dalang’ atau pihak luar yang khabarnya menjadikan UMNO ‘ribut dalam cawan.’ Bila pemimpin atasan bersengketa, warga di bawah terumbang-ambing mencari kejernihan dalam suasana tidak penjelasan menyeluruh.

Pada masa sama, kemelut yang berlaku dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang disebabkan berlaku pertembungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO. Penyelesaian terdekat yang boleh dipertimbangkan adalah dengan melantik Presiden UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dengan menghormati hierarki UMNO, masalah mahkamah biarlah Presidennya uruskan sendiri. Jika didapati bersalah, barulah beliau digantikan dengan pemimpin UMNO yang terkanan dan seorang ahli Parlimen.

Dalam hal ini, Perdana Menteri perlu berlapang dada. Selagi pemimpin Bersatu tidak menghormati kedudukan jawatan seseorang ahli Parlimen UMNO, selagi itulah tiada kedamaian dalam kerajaan PN. Lihat dalam kalangan Pas dan Bersatu, semua menteri terdiri daripada pemegang-pemegang jawatan utama di peringkat Pusat. Kenapa bila dari UMNO, Perdana Menteri melantik mereka yang bukan dalam kalangan ahli Majlis Tertinggi (MT)? Inilah punca kemelut Bersatu-UMNO. Kenapa UMNO sahaja yang asyik disalahkan?

Kepada kepimpinan UMNO dan ahlinya, jangan hanya faham Fasal 3 begitu-begitu sahaja. Bila berkuasa lupa diri, lupa bahasa, lupa budaya dan lupa siapa Melayu dari sudut perjuangan.

Ubat kekuatan parti adalah ‘bersatu’, seperti dalam cogan kata UMNO – Bersatu Bersetia Berkhidmat. Soalnya bagaimana? Ubat ini mesti dicari dan dimanfaatkan.
Jika tidak, UMNO akan ditinggalkan.

Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×