SEJAK kebelakangan ini, banyak sekali suara yang marah kepada kerajaan kerana kononnya gagal mengawal situasi pandemik Covid-19 sehinggakan jumlah kes positif harian melebihi 8,000 dilaporkan setakat semalam. Begitu juga kes di unit rawatan rapi (ICU) semakin meningkat.
Ekoran itu, maka timbullah tanda pagar (hashtag) kasar mendakwa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara tetapi tidak berani mengambil langkah yang tegas seperti penutupan penuh (total lockdown) kepada
semua sektor kehidupan.
Perlu diingat, sejak 10 Mei lalu, tatkala jumlah kes positif harian melebihi 4,000, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
telah memberi amaran tegas bahawa negara sedang berhadapan gelombang ketiga Covid-19 yang boleh mencetuskan krisis nasional.
Serentak itu, kerajaan memutuskan mengambil langkah-langkah lebih tegas dan ketat bagi mengekang penularan wabak dengan pelbagai larangan dan arahan diumum untuk dikuatkuasakan bagi tempoh bermula 12 Mei hingga 7 Jun ini.
Bagaimanapun, kelemahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan masyarakat yang menjadi punca utama kepada peningkatan jumlah kes harian menyebabkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan melaksanakan
PKP di seluruh negara.
Berhadapan dengan jangkaan pergerakan orang ramai sempena sambutan Hari Raya Aidil tri pada 13 Mei lalu, kerajaan melarang rentas daerah dan negeri, melarang semua bentuk perhimpunan sosial, melarang semua aktiviti sukan dan rekreasi, menutup semua institusi pendidikan, melarang ziarah rumah ke rumah, melarang makan di dalam restoran dan
sebagainya. Turut diingatkan, gelombang ketiga yang sedang kita hadapi ini lebih ganas dan kritikal. Disiplin kendiri yang
tinggi hendaklah sentiasa diamalkan.
Begitupun, pengumuman, larangan dan ingatan Perdana Menteri dipandang ringan malah dikecam oleh sebahagian
masyarakat khususnya mereka yang sememangnya anti dengan apa sahaja yang dibuat oleh kerajaan dengan menuduh kerajaan bersikap zalim kepada umat Islam yang mahu menyambut perayaan berbanding penganut agama lain.
HASUTAN
Hasutan tidak bertanggungjawab sebegini diburukkan lagi oleh apa yang diistilahkan oleh kamus psikologi Pertubuhan
Psikologi Amerika (APA) sebagai ilusi kekebalan unik dalam kalangan masyarakat, iaitu kepercayaan palsu bahawa mereka adalah terlindung daripada bahaya dan nasib malang yang menimpa orang lain.
Sebab itulah pelbagai laporan kini keluar mengenai mereka yang senyap-senyap merentas daerah dan negeri termasuk melalui jalan tikus, senyap-senyap membuat perhimpunan sosial, senyap-senyap beribadah beramai-ramai, senyap-senyap berziarah rumah ke rumah, senyap-senyap lari dari tempat isolasi dan sebagainya.
Tidak hairanlah jika pada 25 Mei lalu, hampir dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri disambut, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah mengumumkan terdapat 12 kluster hari raya melibatkan tujuh negeri dikesan. Tidak hairanlah juga, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Douglas Uggah akhirnya terpaksa mengumumkan Sarawak akan melaksanakan semula PKP dari 30 Mei hingga 11 Jun ekoran peningkatan kes harian Covid-19 yang kritikal di negeri itu berpunca daripada aktiviti ziarah Hari Raya Aidilfitri.
Hakikat bahawa ketidakpatuhan terhadap SOP masih tinggi juga terbukti bila bilangan individu yang ditahan kerana melanggarnya masih tinggi termasuk individu berpengaruh seperti pemimpin, selebriti dan agamawan.
VAKSIN
Perkara sama berlaku melibatkan pemberian vaksin. Banyak laporan mengenai ramai yang mendaftar untuk menerima vaksin gagal berbuat demikian tatkala Perdana Menteri sendiri sudah memberi jaminan sasaran imuniti kelompok atau 80 peratus suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini akan dapat dicapai seperti dirancang.
Malangnya, bila jumlah kes harian Covid-19 meninggi maka muncullah suara yang mendesak kerajaan membuat penutupan penuh dan mengecam MKN hanya mengetatkan pelaksanaan PKP 3.0 dengan penambahan sekatan ke atas sektor
ekonomi dan sosial. Suka atau tidak, kita sebenarnya terpaksa bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri pada 23 Mei lalu: “Ada yang asyik tanya kenapa tak buat total lockdown? Do your own lockdown, buat self-lockdown, stay at home and tell others to do the same thing kerana apa pun usaha yang dibuat tidak akan berkesan jika rakyat tidak patuh kepada
SOP ditetapkan.”
Laksanakanlah penutupan penuh sekalipun dan datanglah siapa sekalipun Perdana Menteri atau muncullah parti mana
sekalipun untuk mengambil alih kerajaan, jumlah kes harian Covid-19 tetap tidak akan menurun jika mentaliti rakyat yang secara senyap-senyap apatah lagi secara terbuka, tidak patuh kepada SOP ditetapkan masih berterusan.
Apatah lagi bila pihak yang tidak mahu penutupan ini dibuat seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang berpendirian bahawa pelaksanaannya bakal memberi kesan negatif terhadap pertumbuhan ekonomi negara khususnya
terhadap survival golongan pekerja termasuk risiko hilang pendapatan dan hilang pekerjaan.
Dan dalam konteks betapa, selain kluster perayaan dan kluster rentas negeri, negara juga berdepan dengan kluster tempat kerja. Maka arahan bekerja dari rumah yang dinaikkan menjadi 80 peratus pekerja kerajaan dan 40 peratus swasta dalam
PKP 3.0 diperketatkan selain seruan supaya semua pekerja mematuhi SOP di tempat kerja, wajar dialu-alukan.
Dr. Kamarul Zaman Yusoff ialah Pensyarah Kanan di Kolej Undang-Undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa (COLGIS), Universiti Utara Malaysia (UUM).










