PKP 3.0: Wanita makin stres? - Utusan Malaysia

PKP 3.0: Wanita makin stres?

CABARAN mengharungi norma baharu dalam kehidupan dikatakan memberi kesan mendalam terhadap tahap kesihatan mental seseorang wanita. - GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM  mendepani cabaran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), golongan wanitalah yang dikatakan antara individu paling terhimpit dengan tekanan perasaan atau stres. Masalah ini berlaku bukan sahaja kepada golongan profesional dan berkerjaya, malah suri rumah tangga juga dikatakan terkesan dengan situasi kehidupan harian kini.

Pelbagai persoalan dan kenyataan dibangkitkan golongan Hawa ini termasuk jumlah bilangan anak dalam sesebuah rumah tangga juga menjadi pengukur akan tahap tekanan perasaan mereka sehingga ada yang terpaksa merujuk kepada kaunselor
kesihatan.

Hakikat itu diakui sendiri oleh Pensyarah Kanan (Bimbingan dan Kaunseling), Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Syed Mohamad Syed Abdullah.

Katanya, memang berlaku masalah tekanan jiwa dan emosi dalam kalangan wanita termasuklah suri rumah tangga sebaik sahaja memasuki fasa baharu pandemik Covid-19.

Menurutnya, cabaran mengharungi norma baharu dalam kehidupan hari ini sememangnya memberi kesan mendalam terhadap tahap kesihatan mental seseorang wanita.

“Tekanan wujud di semua peringkat, tidak kira yang sudah berumah tangga mahupun masih bujang disebabkan mereka terlalu bergantung dengan banyak faktor termasuk urusan di tempat kerja dan di rumah.

“Kita terpaksa melalui fasa demi fasa PKP. Kehidupan berubah secara tiba-tiba. Ada yang boleh terima dengan budaya norma baharu. Ada sebahagian besar saya dapati masih berdepan tekanan serta bergelut dengan perasaan masing-masing untuk hadapi corak PKP yang pelbagai,”katanya.

PDPR

Wanita yang berumahtangga dan berkerjaya juga kemungkinan corak kehidupan baharu ini datang dalam bentuk berbeza. Antara perkara yang menyumbang kepada tekanan perasaan adalah tempoh bekerja dari rumah dan pada masa sama
terpaksa memantau sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) anak-anak di rumah.

Tiga faktor yang menyebabkan tekanan iaitu terpaksa memastikan anak-anak sedia menjalani sesi PdPR mengikut masa ditetapkan oleh guru, menggantikan peranan guru di rumah sebagai jurulatih kepada anak-anak dan tiada sokongan
orang terdekat dalam rumah tangga ketika berdepan stres terlampau.

Individu terlibat seharusnya mengenal pasti stres yang berlaku dan jika berlebihan, ia menjurus kepada distress.

Maka sudah tiba masanya untuk berbuat sesuatu. Cari sokongan yang lebih selesa atau sesuai untuk meluahkan
perasaan. Mungkin keluarga, saudara-mara atau kenalan rapat.

Jelas Syed Mohamad lagi, terdapat pelbagai saluran bagi membantu menyediakan perkhidmatan kaunseling untuk mereka
yang menghidapi masalah stres termasuklah daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Persatuan
Kaunseling Malaysia (Pekama).

“Masyarakat perlu rapat dan tahu bahawa terdapat banyak sistem sokongan menerusi talian bebas tol atau media sosial
Facebook yang boleh berhubung terus dengan kaunselor atau pakar profesional.

“Sukar untuk pulih tekanan yang dihadapi sekiranya keluarga tidak memberi sokongan. Harap wanita di luar sana terus cekal dan kuat serta bersemangat kental untuk menghadapi PKP 3.0 yang boleh mengundang stres.

Hadapinya dengan fikiran terbuka, berlapang dada dan bijak,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×