Kebelakangan ini, perbuatan memasang kain rentang bertulisan Kerajaan Gagal oleh segelintir rakyat menjadi bahan berita utama beberapa media seperti akhbar, televisyen dan pelbagai portal serta sudah tentu menjadi bahan perbincangan hangat dalam kalangan netizen di aplikasi media sosial, terutamanya Facebook, grup sembang WhatsApp dan Twitter.
Kemuncaknya adalah kejadian demonstrasi jalanan yang bertukar menjadi rusuhan di Parit Raja, Batu Pahat, Johor oleh segerombolan kira-kira 40 orang pemuda dan belia setempat yang turut membakar suar dan menaikkan kain rentang bertulis Kerajaan Gagal pada malam hari raya pertama, baru-baru ini.
Perbuatan dan kejadian berkenaan sesungguhnya amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku. Seperti sudah dijangka, kejadian memalukan itu segera mendapat reaksi beberapa pemimpin politik yang tidak segan-silu mengucapkan tahniah kepada anak-anak muda yang mungkin terkeliru dan masih mentah dalam dunia politik tanah air.
Malah, sebuah sayap parti dengan bangganya bersedia memberi bantuan khidmat guaman percuma kepada setiap mereka yang ditahan polis akibat kejadian itu.
Sebelum kita pergi lebih jauh, satu perkara asas dalam isu ini perlu diperjelaskan terlebih dahulu, iaitu apakah benar kerajaan memang telah ‘gagal’? Apa sebenarnya yang dikatakan gagal itu? Atau ia hanyalah satu persepsi di sebalik satu agenda politik licik yang sengaja dicipta oleh pihak tertentu yang sememangnya mahu melihat kerajaan semasa iaitu kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, benar-benar gagal dan tumbang?
Menurut pandangan saya, walaupun kerajaan PN belum boleh dianggap berjaya dalam banyak hal, tetapi barisan kepemimpinan Perdana Menteri sesungguhnya masih jauh daripada tahap gagal. Realitinya, kerajaan sekarang mentadbir dan mengurus negara dalam keadaan sukar, iaitu kesukaran dan tekanan yang sengaja diberikan oleh pelbagai pihak, terutama dalam kalangan parti-parti pembangkang. Lebih sedih, ia turut ditentang, diugut dan dikhianati oleh segelintir pemimpin parti yang membentuk pakatan kerajaan yang ada sekarang.
Setiap hari, kita boleh menemui pelbagai kata-kata nista, cemuhan dan perlekehan dihalakan kepada kerajaan, terutama terhadap Perdana Menteri dan barisan Kabinet beliau. Bagaikan tiada langsung usaha baik yang dilakukan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat oleh kerajaan yang ada sekarang.
DEDAK
Justeru, mantra Kerajaan Gagal dijaja dan dipromosikan kepada rakyat jelata melalui pelbagai media oleh mereka ini yang kebanyakannya adalah pemimpin-pemimpin politik dalam kalangan yang dikenali sebagai kluster mahkamah, kluster orang kalah (pemimpin parti yang tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu) dan kluster pemakan dedak yang diupah untuk membersihkan imej beberapa tokoh dari dua kluster politik yang awal itu tadi. Kluster pemakan dedak ini turut diberi peranan untuk menyerang, memfitnah dan membuli kerajaan sedia ada.
Sesungguhnya, mengharap dan mendoakan agar kerajaan gagal adalah petanda jelas umat yang tidak tahu dan tidak mahu bersyukur. Golongan yang kecewa, berhasad dengki dan berhati hitam ini adalah umat yang kufur nikmat. Mencemuh dan membuat tuduhan adalah kerja mudah dan murah. Bak kata ilmuwan, usaha meruntuhkan bangunan itu jauh lebih mudah daripada membinanya.
Kini, ungkapan #KerajaanGagal sudah trending di media sosial. Malah ia turut menjadi masalah kepada pelbagai pihak apabila ia menjadi bahan contengan di banyak dinding dan tembok kawasan kunjungan awam. Kita khuatir jika ungkapan berunsur negatif ini dianggap satu doa kepada mereka yang tidak bersyukur ini, ia boleh menyebabkan kesan tidak baik kepada seluruh masyarakat kerana Allah sememangnya menjanjikan azab yang amat pedih kepada mereka yang tidak bersyukur.
Nabi Muhammad SAW bersabda, maksudnya: “Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.” (Riwayat Abu Daud (4811 dan al-Tirmizi 1954). Hadis ini ditafsirkan sebagai sesiapa yang tabiat dan kebiasaannya kufur terhadap nikmat (kebaikan) orang dan tidak bersyukur atas kebaikan mereka, maka nescaya termasuk kebiasaannya adalah kufur nikmat Allah dan tidak bersyukur kepada-Nya.
Sesungguhnya, banyak usaha yang telah kerajaan lakukan, merangkumi pelbagai aspek terutamanya dari segi ekonomi, sistem kesihatan, vaksinasi kebangsaan, perundangan melalui perisytiharan darurat, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penguatkuasaan undang-undang. Semua ini adalah suatu kejayaan dan kesungguhan kerajaan dalam membendung penularan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sekarang.
Kita masih berperang dan kita wajib menang dalam peperangan yang amat penting bagi menentukan kelangsungan hidup serta kesejahteraan masa depan rakyat, terutama generasi muda di negara ini. Kita tidak boleh kalah. Untuk itu, kerajaan tidak boleh gagal dan tidak wajar dianggap gagal.
Marilah kita semua bersama-sama menyokong kerajaan dalam peperangan yang amat penting ini. Buat permulaan, marilah kita semua bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan barisan pemimpin dan pentadbir negara yang benar-benar berusaha untuk menang dalam perang menghadapi Covid-19 sekarang.
Datuk Dr. Mohd. Radzi Abd Latif ialah Presiden Dewan Profesional Bumiputera Malaysia dan Pengerusi Majlis Bertindak Ekonomi Muslim Malaysia.











