Vaksin: Ujian klinikal masih berjalan? - Utusan Malaysia

Vaksin: Ujian klinikal masih berjalan?

Masih ramai masyarakat yang merasakan vaksin Covid-19 tidak selamat untuk disuntik ke dalam badan mereka. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada Disember tahun lalu, Kementerian Kesihatan menjalankan satu kaji selidik untuk mengetahui tahap kesediaan rakyat menerima suntikan vaksin Covid-19. Hasil kaji selidik menunjukkan hanya 67 peratus mereka yang disoal selidik bersedia menerima suntikan. Selebihnya (17 peratus) masih ragu-ragu, manakala 16 peratus langsung tidak setuju.

Dalam kalangan 17 peratus yang ragu-ragu itu, lebih 70 peratus terdiri daripada mereka yang merasakan vaksin Covid-19 ‘tidak selamat.’

Persoalannya, setelah lebih tiga bulan berlalu, apakah kesangsian rakyat terhadap vaksin Covid-19 masih wujud lagi? Atau apakah keyakinan terhadapnya meningkat?

Menurut Exco Perancangan Strategik, Kempen Vaksinasi, Medical Mythbusters Malaysia, Dr. Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim, persepsi salah mengenai vaksin ini ‘sudah lama wujud.’

Beliau berpendapat, ada lima sebab rakyat salah faham terhadap vaksinasi Covid-19. Pertama, maklumat tidak terkawal di media sosial. Banyak perdebatan yang tidak tepat mengenai vaksin ini tidak dapat dikawal oleh kerajaan, misalnya dalam aplikasi WhatsApp, Facebook, Instagram dan Telegram.

Kedua, wujudnya golongan antivaksin. Golongan ini berbeza daripada mereka yang menolak vaksin disebabkan mereka ragu-ragu. Golongan antivaksin ini bersungguh-sungguh menghasut dan menolak vaksin. Walaupun golongan ini kecil (kurang daripada lima peratus), mereka sangat lantang menyuarakan pendirian menolak vaksin.

Mereka ini boleh menghasut golongan atas pagar (17 peratus) untuk menolak vaksin.

Ketiga, kurang literasi sains dalam kalangan masyarakat di negara ini. Ini menyebabkan masyarakat lebih mudah percaya kepada perkara yang berasaskan testimoni.

Keempat, rakyat kurang yakin kepada kerajaan disebabkan kemelut politik yang melanda negara dan ini menyebabkan masalah ‘salah faham’ menjadi lebih teruk lagi

Kelima, isu halal-haram vaksin. Ada cerita, kononnya Yahudi mahu menghancurkan umat Islam menerusi program vaksinasi. Ada pula cerita lain, kononnya pandemik ini sengaja dirancang dan vaksin Covid-19 digunakan oleh musuh Islam untuk mengawal umat Islam. Ada juga cerita yang mengatakan vaksin ini mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir.

PENYELIDIK

Bagi Penyelidik Komunikasi Vaksin, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr. Helmi Yusoh, isu salah faham mengenai vaksin perlu ditangani secara menyeluruh. Beliau menggesa semua maklumat mengenai vaksin ini ‘dikongsikan kepada masyarakat.’ Beliau mencadangkan semua platform media elektronik digunakan sepenuhnya untuk maksud tersebut.

Dalam portal rasmi https://www.npra.gov.my, saya temui maklumat menyatakan pada 8 Januari lalu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah meluluskan ‘pendaftaran secara bersyarat’ vaksin COMIRNATY oleh Pfizer (M) Sdn. Bhd.

Vaksin ini diberi pendaftaran secara bersyarat kerana ‘kajian klinikal’ vaksin ini masih lagi (sedang) dijalankan. Berdasarkan analisa data, produk ini menunjukkan manfaat lebih tinggi berbanding risiko yang membolehkan ia digunakan oleh rakyat.Bagaimanapun, ‘pemantauan berterusan ke atas keberkesanan dan keselamatan diperlukan.’

ANAK

Mengikut portal itu lagi, buat masa ini, bukti klinikal belum mencukupi untuk menyokong penggunaan vaksin COMIRNATY dalam kalangan individu kurang daya ketahanan (imuniti), pesakit autoimun, wanita mengandung atau menyusukan anak.

Mengenai isu berapa lamakah kesan pelindungan yang diberi oleh Vaksin COMIRNATY ini, portal itu menjawab, disebabkan ujian klinikal fasa ketiga ‘masih berjalan,’ belum ada data dapat mengesahkan tempoh pelindungan yang diberi oleh vaksin ini.

Mengenai isu yang lebih penting lagi, iaitu sama ada vaksin ini boleh memberikan kesan sampingan kepada penerima suntikannya, portal itu menjawab seperti berikut:

“Kesan sampingan yang sangat kerap adalah sakit dan/atau bengkak di tempat suntikan, keletihan, sakit kepala, sakit otot, sakit sendi, menggigil (chills) dan demam. Kesan sampingan yang kerap adalah kemerahan di tempat suntikan dan rasa loya.

GATAL

Kesan sampingan yang jarang (mungkin satu dalam 1,000 orang mengalaminya) adalah bengkak padanodus limfa, rasa tidak sihat, kesakitan anggota badan, gangguan tidur dan gatal di tempat suntikan.

Kesan sampingan yang amat jarang berlaku (mungkin satu dalam 10,000 orang mengalaminya) adalah kesan sementara otot sebelah muka menjadi lemah.

Kesan sampingan yang tidak diketahui (tidak dapat dianggarkan daripada data sedia ada) adalah tindak balas alahan yang serius. Reaksi alahan yang serius biasanya berlaku dalam beberapa minit hingga satu jam setelah mendapat suntikan vaksin.

Tanda-tanda reaksi alahan yang serius termasuk kesukaran bernafas, bengkak pada muka dan tekak, denyutan jantung yang laju, ruam teruk pada keseluruhan badan, pening dan lemah badan. Oleh yang demikian, semua penerima suntikan vaksin ini akan dipantau selama 15-30 minit selepas suntikan di pusat pemberian vaksin.

Dalam portal rasmi MySejahtera pula, kerajaan mengesahkan ada lima jenis vaksin digunakan di negara ini, iaitu vaksin keluaran Pfizer-BioNtech, Astra Zeneka, Sinovac, CanSino dan Gamaleya.

Portal itu seterusnya menyatakan, bakal penerima vaksin hendaklah memberitahu petugas kesihatan sekiranya ada sejarah alahan yang teruk, mengalami masalah pendarahan, sedang dalam rawatan ubatan pencair darah, rawatan yang merendahkan sistem imuniti badan, sedang mengandung atau merancang untuk hamil, sedang menyusukan bayi, atau telah menerima vaksin Covid-19 daripada jenama lain.

Bakal penerima vaksin juga dinasihatkan berjumpa doktor pakar terlebih dahulu untuk menentukan kesesuaiannya menerima vaksin Covid-19.

Pada 22 Mac lalu, kerajaan menyatakan akan memberi bantuan kewangan RM500,000 sekiranya penerima suntikan vaksin mati atau mengalami ketidakupayaan kekal, dan RM50,000 sekiranya mengalami reaksi serius dan perlu menjalani rawatan yang lama di hospital. Pada 1 April pula, Perdana Menteri menyatakan, sesiapa sahaja yang telah menerima suntikan vaksin selama dua kali, dia boleh bebas merentas negeri.

Laporan media Ahad kelmarin menyatakan, sebanyak 40 petugas kesihatan positif Covid-19 walaupun mereka telah menerima suntikan vaksin. Walau pun simptom mereka khabarnya ‘tidak serius,’ berita seperti ini tidak membantu meningkatkan keyakinan rakyat kepada vaksin Covid-19.

DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN