UMNO-PKR-DAP bolehkah? - Utusan Malaysia

UMNO-PKR-DAP bolehkah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAJARAN baharu dalam politik tanah air yang sungguh dinamik hari ini seperti sudah tidak dapat dielakkan lagi.

UMNO kini menjadi parti terakhir yang cuba mempraktikkannya setelah sejak sekian lama taktik serupa digerakkan Pas serta parti-parti Melayu lain seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Mengikuti rapat isu jajaran baharu yang diuar-uarkan antara UMNO-PKR-DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang bagaimanapun belum ada kesahannya, saya tertarik dengan satu analogi yang dikeluarkan oleh pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus (UAI). Ia dipercayai semasa kempen PRU 2013 (boleh ditonton di Youtube dikeluarkan 23 Jun 2016).

Semasa itu UAI bercakap soal “Kita perlu rakan bukan Islam” semasa berkempen untuk Pas di kerusi Dewan Undangan Negeri Beserah, Pahang.

Begini bunyinya: “Kalau rumoh kite tebako…kite tepon bomba. Bomba mari…doh doh bomba Cina. Eh! tak nak ah bomba Cina. Kite nok bomba Melayu. Bakpe pulok…bomba Cina haram. Bodolah kite. Rumoh tengoh terbako oo…sekarang negara kite sedang terbakar. Kite perlukan rakan-rakan bukan Islam untuk membantu kite memadamkan kebakaran yang melanda…”

Seharusnya senada dengan UAI (biarpun pandangan UAI barangkali berbeza hari ini) tentang keperluan bersepakat dengan rakan-rakan baharu bukan Islam, UMNO perlu membuang fiil lama. Letak hala tuju baharu. Pedulikan apa orang luar cakap. Berikan kepercayaan kepada kepimpinan dalam menentukan hala tuju baharu. Jangan jumud.

Lihat sahaja Pas. Dulu Pas menentang gejala lompat parti, tetapi di mana prinsip parti itu hari ini? Dahulu Pas berbaik dengan DAP, boleh sahaja. Apa kurangnya kepimpinan dalam Bersatu hari ini?

Berbanding parti-parti Melayu lain, Pas kini ‘lebih terang lagi bersuluh,’ yang bukanlah pejuang Islam sebenar, tetapi hanyalah parti politik biasa. Boleh disamakan dengan pakar ekonomi dan pakar kejuruteraan yang merupakan manusia biasa sahaja.

Lihat sejarah Pas sejak 1998 hingga 2016. Bukankah Pas bersahabat baik dengan DAP dan PKR? Berapa puluh tahun dah? Adakah semasa dahulu kepimpinan DAP diterajui orang lain? Tidak juga kerana masih lagi sama wajah, perawakan serta penampilannya. Lim Kit Siang, Lim Guan Eng serta Nga Kor Ming, Ngeh Koo Ham. Kenapa sekarang bila UMNO hendak berkawan dengan PKR dan DAP, hukumnya haram pula oleh Pas?

Lihat sejarah politik Pas yang bisa parti ini sebenarnya berputik apabila Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 pada 1988. Pas mengadakan pakatan dengan Ku Li yang bermusuh dengan UMNO. Hasilnya, pada PRU 1990 dan 1995, Pas memenangi tujuh kerusi setiap PRU.

Pada 1999, Pas menyertai Barisan Alternatif (BA) bersama DAP dan PKR. Hasil kerjasama dengan DAP dalam BA (PKR, Pas, DAP), kemenangan Pas bertambah kepada 27 pada 1999. Pada 2004 apabila DAP tidak menyertai BA, Pas memperoleh cuma tujuh kerusi.

TEMBOLOK

Kemudian pada 2008 dan 2013, apabila Pakatan Alternatif dijadikan Pakatan Rakyat dan DAP kembali menyertainya, prestasi Pas meningkat semula. Pada 2008, Pas memenangi 23 kerusi dan pada 2013, 21 kerusi.

Yang ketara daripada rekod tempoh waktu itu ialah pencapaian Pas menyusut apabila bersendirian. Tetapi sebaliknya apabila berpakat dengan DAP pada 1999, 2008 dan 2013, Pas mendapat kemenangan tertinggi iaitu 27 pada 1999, 23 kerusi (2008) dan 21 kerusi (2013).

Hari ini, mana pendirian Pas dalam memperjuangkan pelaksanaan hukuman lebih berat di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, pindaan Rang Undang-Undang (RUU 355)? Walhal dahulu bukan main agresif.

Mana kenyataan daripada pemimpin Pas apabila orang Islam dipukul kerana berpuasa? Ada pemimpin-pemimpin Pas bersuara? Adakah kerana menjaga tembolok masing-masing?

Pas mungkin melihat Bersatu bukan suatu ancaman kepada parti itu di negeri-negeri dominan Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah. Dan lawan sebenar dan saingan Pas paling kuat ialah UMNO. Adalah sangat logik apabila Pas leverage pada kuasa eksekutif Bersatu untuk ‘menyekat’ kemaraan UMNO.

Dengan jajaran politik baharu yang jika dipraktikkan oleh UMNO, dua komponen utama Barisan Nasional, MIC dan MCA harus akur. Hari ini, di Parlimen Tanjung Malim misalnya, sejumlah 61 daripada 62 cawangan UMNO di situ mahukan kerusi itu ditandingi oleh UMNO, bukannya MCA.

Pada PRU-14, MCA gagal mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Malim apabila calonnya, Datuk Dr. Mah Hang Soon (Timbalan Presiden MCA) yang menggantikan penyandang, Datuk Seri Ong Ka Chuan tewas kepada calon PKR, Chang Lih Kang dengan majoriti 5,358 undi.

Difahamkan, menerusi jajaran politik baharu ini, UMNO akan bertanding di kawasan mempunyai lebih 60 peratus pengundi Melayu.

Justeru, BN terpaksa bertegas. MCA dan MIC harus bertanding di kawasan-kawasan Parlimen dan DUN DAP. Jangan sibuk kacau kawasan majoriti Melayu sahaja.

Dan jika ikut jajaran baharu gabungan UMNO-PKR-DAP, ketiga-tiganya berkeyakinan meraih sekurang-kurangnya masing-masing 40 kerusi, menjadikan 120 kerusi yang melepasi majoriti mudah 112 kerusi. Ini baru untuk 165 kerusi Parlimen di Semenanjung sahaja.

Kepimpinan ketiga-tiga parti ini mestilah bersedia untuk duduk semeja dan berlapang dada dengan jajaran atau pendekatan politik baharu untuk Malaysia yang lebih dinamik dalam menghadapi alaf dan norma baharu yang lebih mencabar.

Adakah untuk PRU-15 nanti, Perikatan Nasional akan menggunakan khidmat Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali lagi bagi selamatkan mereka yang tidak cukup kuat untuk menang? Yang tidak cukup padu berhadapan gabungan politik jajaran baharu?

DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN