Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 baru selesai membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Keputusan ini mempunyai implikasi politik yang besar dalam iklim politik tanah air yang kian bergelora sejak penubuhan kerajaan PN pada Februari 2020. Walaupun pandemik Covid-19 sebanyak mungkin meredakan kehangatan politik negara, tetapi kita sentiasa diuar-uarkan dengan berita-berita mengejutkan saban masa.
Tidak dapat dinafikan UMNO banyak berjasa dalam pembangunan negara sebelum wujud kerajaan PN, tempoh hari.Tidak dapat dinafikan UMNO merupakan parti terbesar bangsa Melayu yang menerajui kepimpinan negara lebih 60 tahun.
Tetapi iklim politik negara berubah secara drastik sejak 2004 apabila kekuatan UMNO/Barisan Nasional (BN) mula merudum kerana beberapa kelemahan dalaman parti. Ini berikutan impak media sosial dan persepsi politik yang telah dirancang dengan hebatnya oleh parti pembangkang dan digunakan dengan jayanya untuk mengalih undi pelbagai kelompok atas pagar kepada pihak lawan.
DAP contohnya, mula menunjukkan ‘taring’politiknya. Dari sebuah parti di luar kerajaan dengan 12 kerusi Parlimen pada 2004, beransur ansur menjadi 42 kerusi pada 2018 dan menjadi komponen utama Pakatan Harapan (PH) sehingga tumbangnya PH pada Februari 2020. DAP mula mendominasi undi majoriti kaum Cina, golongan profesional dan masyarakat bandar.
Hakikatnya, UMNO kehilangan 15.6 peratus undi di 35 kawasan Parlimen tradisional paling selamat mereka jika dihitung pada pilihan raya umum (PRU) 2013 dan 2018, manakala PRU 2018 sahaja kehilangan undi berjumlah 12.9 peratus. Parti- parti komponen lain juga mengalami nasib sama.
UMNO inginkan kepimpinan negara dan menjadi parti dominan di tanah air. Apakah keputusan UMNO ini praktikal dari sudut strategi politik menjelang PRU-15?
Daripada analisis ringkas (rujuk rajah), tiga kawasan Parlimen UMNO, MCA, MIC, dapat disimpulkan kekuatan lebih terserlah jika pertarungan di antara UMNO, Pas dan Bersatu dapat dielakkan dan peluang kemenangan dengan majoriti tinggi dapat dicapai secara gandingan ketiga-tiga parti ini. Nampaknya jajaran politik ini mampu memberi pertarungan yang kuat kepada jajaran politik pihak lawan menjelang PRU-15.
Maka wajarkah keputusan UMNO untuk bersolo pada PRU-15?
Hitung, hitunglah perkiraan politik demi membina kestabilan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat Malaysia sejagat. Hitung, hitunglah, undi Melayu kini berpecah kepada UMNO, Pas, Bersatu, PKR, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan lain-lain parti serpihan. Mampukah UMNO meraih kemenangan sebagai parti dominan?
Setiap undi daripada semua lapisan masyarakat pasti mustahak dalam PRU-15 yang dijangka lebih mencabar pertarungannya terutama di kawasan Parlimen yang majoriti menang atau kalah itu sipi.
PENULIS ialah Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC.










