Tak pasti sama ada nak marah atau tidak, yang pasti sakit hati apabila mengetahui ramai memberi alasan palsu kepada pihak berkuasa semata-mata untuk merentas negeri.
Bukan sahaja golongan kenamaan (VIP), artis, selebriti media sosial tetapi orang ramai termasuk dalam kalangan ahli keluarga dan juga rakan sendiri mengambil kesempatan menggunakan alasan kerja atau perubatan untuk tujuan peribadi. Sedangkan mereka sebenarnya pergi berbulan madu, ke majlis perkahwinan, majlis pertunangan, pulang ke kampung halaman dan tidak kurang bercuti bersama rakan.
Apabila ditanya bagaimana mendapat kebenaran, dengan ‘selamba’ menyatakan, “aku guna orang dalam” atau “aku guna surat kerja.” Sudahlah buat salah dengan melanggar peraturan yang ditetapkan kerajaan, bangga pula berkongsi gambar di media sosial dan grup WhatsApp. Mungkin seronok kerana berjaya memainkan pihak berkuasa.
Bagi golongan VIP, artis dan selebriti media sosial pula, apabila ‘Jabatan Netizen Negara’ menyerang, lengkap dengan bukti sehingga tular di laman sosial, mulalah mereka bekerja keras membersihkan nama sendiri. Namun, sudah terlambat. Oleh kerana itu ada istilah ‘jangan letak otak di lutut.’
Tidakkah mereka berasa salah kerana melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan? Tidakkah mereka berasa bersalah sekiranya menjadi punca penularan Covid-19 ke sesuatu kawasan atau lebih teruk menjangkiti orang tua dan ahli keluarga lain? Jika terus begini, sukarlah negara nak mencapai kes angka kosong.
BULAN MADU
Disebabkan tindakan mereka, ada pihak yang benar-benar perlu merentas negeri atas urusan melawat ibu bapa sakit tidak dibenarkan kecuali disertakan dengan surat daripada pihak hospital.
Ramai sahaja pasangan yang baru berkahwin terpaksa menunda bulan madu. Ada juga yang memilih untuk menunda perkahwinan yang sudah lama dirancang, malah percutian tahunan bersama rakan serta keluarga terpaksa dilupakan seketika demi menyahut seruan kerajaan untuk memulihkan kembali negara daripada wabak Covid-19.
Ada juga yang tidak pulang ke kampung kerana tidak mahu merisikokan kesihatan ibu bapa.
Apabila kerajaan mencadangkan supaya rentas negeri hanya dibenarkan selepas minggu kedua Hari Raya Aidilfitri, mulalah rakyat bising pong pang sana sini melahirkan rasa tidak puas hati. Bagi saya, bagus juga kerajaan buat begini kerana prosedur operasi standard (SOP) semudah larangan rentas negeri dan menjaga jarak fizikal pun susah diikuti, apatah lagi apabila berkumpul ramai-ramai ketika perayaan.
VAKSIN DULU
Sementara itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula memberitahu, beliau sudah berbincang dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan akan memutuskan hanya membenarkan mereka yang sudah mendapat dua suntikan vaksin Covid-19 boleh rentas negeri dan daerah tanpa halangan pihak berkuasa. Agak-agaknya golongan anti vaksin serta golongan tunggu dan lihat akan menangis di bucu katil atau tidak?
Ada benarnya tindakan kerajaan itu dalam usaha mengekang penularan Covid-19. Kita tidak lagi boleh bersikap mementingkan diri sendiri. Ini kerana difahamkan masih lagi ramai yang belum mendaftar. Sehingga 26 Mac lalu, hanya 28.5 peratus yang berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera sebagaimana direkodkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV).
Program Imunisasi Kebangsaan yang bermula pada 24 Februari lalu dijangka memasuki fasa ketiga bermula Mei ini hingga Februari 2022 melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas.
Tidak perlu takut atau was-was untuk menerima suntikan kerana tiada kesan sampingan serius, malah dari sudut Islam juga diharuskan dan wajib diambil selaras resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang bersidang pada 3 Disember tahun lalu.
Jika menerima suntikan ketika berpuasa juga tiada masalah kerana tidak akan membatalkan ibadah itu.
Menurut seorang rakan yang juga senior saya ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memuat naik status di laman Facebook selepas menerima dos suntikan kedua, kesan sampingan yang paling ketara adalah kerap rasa lapar. Bukankah itu bagus?
Justeru, marilah kita menyokong usaha kerajaan dalam mengekang penularan pandemik ini dengan mematuhi segala peraturan, SOP dan menerima suntikan vaksin.
Tidakkah anda semua rindu kepada kehidupan lama yang bebas ke sana sini tanpa perlu memakai pelitup muka?
Saya juga merindui rakan-rakan yang sudah setahun lebih tidak berjumpa kerana masing-masing mengutamakan soal kesihatan. Maklumlah ada yang memiliki anak kecil, ada pula yang tinggal bersama warga emas. Masing-masing tidak mahu mengambil risiko yang boleh memudaratkan ahli keluarga sendiri.










