BEBERAPA tahun lepas sekitar 2012 hingga 2018, penceramah bebas ini mengakui dirinya penyokong kuat Pas. Wajib sokong Pas, katanya.
Namun, kebelakangan ini nadanya agak berbeza. Katanya, usaha memperjuangkan hukum Islam hari ini ‘sudah tidak nampak lagi.’ Dia memberi analogi tahi ayam yang banyak berterabur atas tangga rumah. Sehinggakan tiga, empat hari tidak dibersihkan, padahal sudah diperbualkan jiran.
“Kadang-kadang (usaha memperjuangkan hukum Islam) jadi slogan. Praktiknya tak nampak. Apa Islamik pada Islam, kita tak nampak. Kita nak bunga-bunga Islam…bunganya dulu, pokoknya itu…hukum hudud, qisas selepas itu. Sebab itu Allah minta wujudkan kerajaan Islam yang cintakan hasrat itu, kalau tidak (mampu), buat dulu sikit-sikit,” begitu antara sempat saya petik daripada loghat perceramah berkenaan.
Dari video ceramah yang terpapar di YouTube itu, antara komen-komen netizen yang singgah termasuklah: “Aku percaya dia (penceramah berkenaan) memang pentaksub Pas tahap dewa, tapi lepas tengok video ni aku percaya dia 100 peratus adalah pendakwah yang sebenar-benar pendakwah. Walaupun Pas, dia tetap hentam. Inilah contoh pendakwah yang paling jujur pada zaman kita.”
Satu lagi komen, “…kalaulah Pas ketika itu beri sokongan, nescaya pokok pun boleh ada masa tu…walaupun tak drastik tetapi pasti pokok akan semakin banyak tumbuh…wallahuaklam.”
Ternyata bukan sahaja penceramah terbabit, malah ramai yang keliru kini dengan tindak tanduk Pas. Walaupun politik hari ini perlu sejajar dengan norma baharu, tetapi seperti mana kata penceramah tadi, ‘kita nak bunga-bunganya dulu, tapi…”
Walaupun Pas ‘terpaksa’ mengikut acuan semasa politik sekutu terbaharunya, Perikatan Nasional (PN), sudah tentu ada kaedah dan caranya dalam memperjuangkan isu-isu Islam semasa.
Ambil kisah beberapa tahun lepas sahaja apabila suatu ketika DAP dalam sejarah moden ini boleh secara terbuka menentang usaha menambah baik undang-undang Islam.
Tambah memeritkan lagi apabila ada pemimpin Melayu dari PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) waktu itu ikut pula menyertai pemimpin DAP menghalang pelaksanaan hukuman lebih berat di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 pindaan Rang Undang-Undang (RUU 355).
Ia sehingga disifatkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai melakukan kejahatan yang tidak boleh diizinkan oleh umat Islam.
“Maka, begitulah RUU 355 terus menghadapi gangguan syaitan besar dan kecil, sekurang-kurangnya mewas-waskan hati manusia,” kata Abdul Hadi menerusi tulisan di Facebook ketika itu.
Namun, inikan pantai dan pasirnya, manusia pun ikut berubah mengikut arus semasa. Bunyi-bunyi, cakap-cakap mengenai RUU 355 kurang bermain di bibir Pas kini.
Begitupun politik negara harus sejajar dengan norma baharu. Inilah yang barangkali cuba dilakukan Pas untuk mengimbanginya.
Politik tanah air hari ini memerlukan satu jajaran baharu yang terarah ke kerajaan perpaduan melibatkan semua kaum. Keadaan ini bagus untuk pembinaan bangsa atau nation building.
RETORIK
Keadaan dunia hari ini menuntut perubahan. Amat sukar untuk satu-satu kaum memerintah sebuah negara yang berbilang kaum. Tambahan pula, golongan muda tidak lagi menerima perkara-perkara yang retorik. Perubahan sukar diterima tetapi penting demi kebaikan masa akan datang.
Dari aspek cabaran ‘bekas’ rakan kesepakatan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) iaitu UMNO pula, pergolakan yang boleh menimbulkan perpecahan parti turut melibatkan ahli dalaman. Adakah UMNO akan jatuh seperti kerajaan Melayu Melaka kira-kira 500 tahun silam yang dilakukan akibat pengkhianatan orang sendiri?
Ketika ini, pengorbanan besar dituntut untuk kelangsungan kekuatan parti. Tetapi siapa yang patut berkorban atau dikorbankan? Yang jelas sekarang, pemimpin boleh datang dan pergi. Tetapi parti mesti dipertahankan dalam bentuk sebenar dan betul.
UMNO sebuah parti terbesar di negara ini dengan jumlah cawangan kira-kira 22,000, 191 bahagian dan 3.6 juta ahli. Pemilihan parti melibatkan semua ahli, bukannya perwakilan seperti mana parti-parti lain. Pemilihan UMNO seperti ‘PRU (pilihan raya umum)’ kerana melibatkan peringkat induk dan tiga sayap yang lain. Perlu perancangan yang baik dan masa sesuai.
Pemilihan UMNO penting. Harus diberi yang bertanding cukup masa berkempen. Sebagai contoh, tokoh mana yang akan menjadi presiden parti – sama ada dia menjadi Perdana Menteri ataupun Ketua Pembangkang.
Dan biarlah ahli-ahli UMNO hanya fokus kepada PRU-15 dengan merancang gerak kerja yang baik tanpa dibebani pemilihan parti. Persediaan PRU mengambil masa yang panjang. Yang penting, elakkan perpecahan daripada pemilihan sebelum PRU. Perpecahan akan mengakibatkan sabotaj dari dalam dan boleh mengakibatkan UMNO hilang banyak kerusi.
Jangan buang masa berkempen dalam pemilihan parti. Elakkan kegiatan politik wang yang pasti berlaku, sekali gus menjatuhkan imej parti. Mungkin tanpa pemilihan parti, UMNO akan dilihat bersatu hati sebelum menghadapi PRU. Bersatu teguh, bercerai roboh.
UMNO, sebuah parti besar dan pengalaman serta tahu baik buruknya diadakan pemilihan secara tergesa-gesa sebelum PRU. Maka, elakkanlah hasutan daripada luar parti.
Paling utama sekali, UMNO tidak boleh ikut ala filem Hindustan – hero kalah dulu tetapi menang di penghujung cerita. Ini kerana sekarang adalah era norma baharu yang memerlukan ‘vaksin’ untuk terus menggagalkan rintangan dari dalam dan luar.
UMNO perlu cantas dahan-dahan lama agar tunas-tunas baharu keluar dan berkembang yang akhirnya dilihat menarik di mata rakyat.
Dan penentu norma baharu politik UMNO dan Pas ini hanya terserlah sebaik sahaja Parlimen dibubarkan. Hanya persoalannya, bila?
DATUK DR. AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.










