APABILA disebut nama Allahyarham Datuk Dr. Mohd. Nordin Abdul Rahman, 83, atau lebih dikenali dengan nama pena, Atondra, kita sudah pasti tidak boleh lupa menyebut nama Bapa Kewartawanan Melayu yang juga Bapa Cerpen Melayu, Abdul Rahim Kajai.
Ini kerana Atondra yang meninggal dunia kelmarin sama seperti Abdul Rahim yang memiliki ketajaman tulisan sebagai wartawan dan pada masa sama tidak kurang kehebatan menghasilkan karya sastera seperti cerpen dan puisi. Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Permatang Pasir, Jugra, Kuala Langat, Selangor berkelulusan ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universitas Nasional Indonesia pada 1971.
Memetik buku Wajah: Biografi Penulis Melayu Edisi Pertama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), daripada senarai 100 orang penulis Malaysia, 33 orang dari Utusan Melayu termasuk Atondra. Nama-nama lain ialah tiga Sasterawan Negara, Kamaluddin Muhamad (Keris Mas), Datuk Usman Awang (Tongkat Warrant) dan A. Samad Said serta Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri A. Samad Ismail.
Suka saya memetik tulisan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam Utusan Malaysia beberapa ketika dahulu mengenai kelompok berkenaan:
“Inilah tradisi gemilang Utusan Melayu. Karyawan Utusan Melayu bukan sahaja menjadi pelapor berita, penganalisis peristiwa dan perakam zaman, malah sebahagian daripada mereka juga ialah sasterawan terbilang yang mencipta nama di persada sastera tanah air.
“Malah, ada kalanya sukar dibezakan di antara wartawan dan sasterawan, maka itu oleh seorang pengkaji sejarah kebangkitan kesedaran dan nasionalisme Melayu, diberikan label istimewa pada kelompok ini -‘sasterawan-wartawan’,” tulisnya.
Atondra yang aktif berkarya sejak 1950-an pernah berkhidmat sebagai guru, wartawan, pegawai penerangan, Setiausaha Akhbar Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan serta penyunting skrip drama di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Terdapat beberapa nama pena lain yang diguna Allahyarham termasuk Jelatang, M. Nordin, Nordin S.M., Notar, Wartawan Malaysia dan S.M. Selangor.
Selaku penyunting, beliau akan memastikan drama-drama RTM mengikut konsep menghibur, mengajar dan memberitahu (3M). Walaupun lebih dikenali dengan kepakaran menghasilkan cerpen, beliau pada masa sama ialah seorang pemuisi.
Anak pekebun kecil ini menghasilkan lebih 150 puisi dan banyak cerpen dan skrip drama yang diterbitkan dalam bentuk antologi termasuk Air Mata Seorang Raja: Kumpulan Drama Pentas (1987), Rambut Menutup Wajah: Puisi-Puisi Sezaman Remaja Puitis dan Romantis (2004) dan Kumpulan Cerpen Tiga Dekad Atondra (1970-1999): Sebuah Wilayah Bernama Kuala Lumpur (2014).
Bekas Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Letfee Ahmad dalam satu catatan blog bertajuk Guruku Atondra menjelaskan pada zaman kegemilangan Drama Minggu Ini (DMI) terbitan RTM dahulu, nama Atondra memang tidak boleh dipisahkan daripada siri berkenaan.
Disiarkan pada setiap malam Ahad, siri 45 minit karya penulis tempatan itu disunting oleh Atondra yang merupakan satu-satunya penyunting skrip pada masa itu sehinggalah pada 1984 apabila drama swasta diperkenalkan, barulah Allahyarham ditemani oleh nama-nama lain.
“Saya sendiri turut menerima bimbingan beliau semasa menjalani latihan amali selama enam bulan ketika berada pada tahun akhir kursus Sebaran Am Institut Teknologi Mara (kini Universiti Teknologi Mara) pada awal 1980-an,” tulisnya.
Menurut Letfee, selain penulisan kreatif, Atondra turut terlibat dalam bidang kewartawanan dan seni foto. Ramai yang tidak tahu bahawa Angkatan Seni Foto (Asfon) ditubuhkan di rumah Allahyarham di Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1969.
“Selain penglibatan Atondra dalam bidang penulisan, beliau juga aktif sebagai pengamal perubatan homeopati sehingga dipilih sebagai Timbalan Presiden Persatuan Perubatan Homeopati Malaysia pada sesi 1996 hingga 2008,” jelasnya mengenai tokoh ini yang mempunyai tiga ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sastera, pengurusan perniagaan dan homeopati.
Allahyarham juga seorang yang memperjuangkan nasib penulis yang disifatkannya menerima royalti sangat rendah sekitar 20 peratus sahaja atau kadangkala tidak dibayar langsung.
Beliau menyifatkan penulis sekadar dapat makan nasi dengan kuah dan tulang sahaja sedangkan penerbit dapat makan daging dan hatinya sekali.
Sebab itu pada 2004, Allahyarham mencuba idea baharu dengan memasarkan buku secara terus kepada pembaca yang akan mengirim bayaran secara pos atau memasukkan ke akaun bank beliau.
Satu lagi yang jarang diketahui, Atondra ialah bekas pemimpin pengakap dan mempunyai penampilan unik iaitu gemar memakai songkok secara senget seperti bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Abdul Razak Hussein yang selalunya melambangkan seorang berilmu.
Al-Fatihah. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.










